Toleh kanan. Tengok kiri. Semua orang terus mencari. Mencari dan mencari. Malang tak ada siapa yang boleh disandar. Tak ada siapa yang boleh diharap.
Kita sepertikan ketandusan pemimpin hari ini. Kepimpinan kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO akhir-akhir ini dilihat semakin lemah, terhimpit, tenat.
Pak Lah dan barisan kabinetnya kini benar-benar berhadapan dengan krisis ‘integrity’ yang paling mengaibkan. Keupayaan kabinet selepas PRU-12, 8 Mac lepas untuk meringankan beban rakyat yang tertekan oleh masalah ekonomi, kenaikan harga barangan dan kos hidup yang melambung, terus dipersoal.
Rakyat bawahan yang selama ini tidak pernah ambil tahu, tidak pernah bertanya berhubung soal perolehan dan belanjawa negara, kini mahu tahu semuanya. Mereka mahu tahu berapa banyak perolehan dan keuntungan yang dibawa masuk Petronas. Orang kampung pun sudah mula bertanya ke mana dan bagaimana puluhan billion RM wang negara ditabur dan dibelanjakan.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah 50 tahun Malaysia apabila kepimpinan negara, khususnya diri Perdana Menteri itu sendiri, dipersoalkan krediblitinya secara terbuka, seperti yang berlaku hari ini.
Ke arah mana pun yang hendak kita lihat hari ini, di kalangan barisan kepimpinan kerajaan sedia ada, memang terlalu sukar untuk kita mencari seorang tokoh impian, tokoh dinamis yang layak menduduki kerusi PM (jika kualiti kepimpinan sebelumnya diambil sebagai tali pengukur).
Selepas Pak Lah, pemerhati-pemerhati politik tidak melihat wujudnya seorang tokoh lain di dalam UMNO sendiri yang mampu mengembalikan kekuatan parti, atau mampu mengatasi situasi ekonomi dan kenaikan harga barangan yang kian meruncing sekarang.
Barisan pemimpin yang ada rata-rata dari kumpulan lama yang telah diberi kesempatan memimpin negara selama berbelas tahun, malangnya rata-rata mereka gagal memperlihatkan prestasi cemerlang selaku pemimpin dan tokoh menteri yang benar-benar berkualiti yang boleh diharapkan oleh rakyat.
Jika ditanya kalangan yang rapat dengan parti, mereka akan berkata bahawa barisan menteri-menteri kabinet UMNO di Putrajaya, keseluruhannya, lebih hebat dan lebih tertumpu kepada politik berbanding tugas utama masing-masing untuk mengurus pentadbiran negara.
Kedudukan dan pengaruh dalam parti menentukan ‘nasib’ atau cerah malapnya masa depan seseorang tokoh di dalam kerajaan. Maka tidak hairanlah sekiranya bapak-bapak menteri ini menghabiskan lebih banyak dari masa mereka kepada parti dan untuk berpolitik, berbanding dengan masa yang mesti ditumpukan untuk tugas sebagai seorang menteri.
Ringkasnya, UMNO sekarang tak punya calon layak untuk menduduki kerusi PM mengantikan tempat Pak Lah. Barisan tokoh-tokoh pemimpinnya yang ada kini sudah terlalu lapok, terlalu banyak kuman kudisnya – bahawa cerita-cerita sinis di be sebalik tirai mereka sudah banyak yang tersingkap dan diketahui umum.
UMNO barangkali terpaksa bertindak drastik dengan mengimpot seorang tokoh luar untuk meneraju parti dan negara menggantikan Pak Lah.
Dan selepas Tok Sheikh Anwar Ibrahim, yang kini terpalit oleh kes Liwat & Lari, tokoh lain yang lebih berwibawa dan berpotensi untuk mengambil tempat Pak Lah dalam kemelut UMNO yang ketandusan pemimpin hari ini, kita melihat tidak lain dari diri Tok Guru Nik Aziz sendiri.
Keupayaan Tok Guru Pas ini untuk menerajui kepimpinan Putrajaya mungkin diragui ramai pihak. Namun kualiti beliau sebagai seorang pemimpin yang bersih dan prestasinya menerajui Kerajaan Kelantan selama bebelas tahun, dalam ketika kerajaannya berhadapan dengan pelbagai masalah kewangan yang kronik, boleh menjadi ukuran.
Atau UMNO sendiri harus melahirkan seorang tok guru seperti Nik Aziz dalam masa terdekat ini untuk memimpin parti setelah Pak Lah tidak berupaya menimba Al-Quraan, Asy-Syafie dan Al-Ghazali yang cuba digalinya selama lima tahun ini.
No comments:
Post a Comment