Mereka Melihat Kita
Bulan lepas seorang mubaligh di Islamabad memberitahu rakan mubalighnya dari Malaysia bahawa dia terlalu kepingin bertandang ke Tanah Semenanjung untuk melihat dan mengenali lebih dekat siapakah sebenarnya yang dikatakan Melayu itu.
Mubaligh dari Bandar Sri Petaling itu agak terkejut mendengar kata-kata yang diungkapkan rakan Pakistannya tadi.“Apa sebenarnya yang menarik anta untuk mengenali orang Melayu sehingga anta mahu ziarah kami di Malaysia?” tanya rakan itu.
“Saya sangat terpegun setiap kali apabila bertemu dengan orang-orang Melayu yang pernah datang ke negara kami,” jawab Mubaligh yang sudah separuh umur itu. Suaranya terhenti sambil matanya merenung lembut ke wajah tetamu Malaysia yang duduk di depannya.
Rupa-rupanya, sejak beberapa tahun lepas, dia terpukau dengan peribadi orang Melayu yang dilihatnya penuh berhemah, sopan santun, peramah, pemurah dan terisi dengan pelbagai sifat-sifat murni.
Dia sangat tertarik melihat keikhlasan seorang Melayu bila bertemu dengan seorang asing yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Melayu ini nampak peramah, lembut, penyantun dan berbudi bahasa apabila berhadapan dengan orang lain.
Mubaligh Pakistan di atas sebenarnya mewakili sekelumit kecil dari masyarakat lain di dunia yang dapat memerhatikan keunikan budaya yang sedia tertanam pada diri seorang Melayu.
Masyarakat Arab dan Eropah sejak beratus tahun lampau, juga sangat tertarik dengan sifat-sifat murni dan budaya tinggi yang ada pada orang Melayu.
Ciri-ciri peribadi yang ada pada diri seorang Melayu itu, terutama yang berhubung dengan sifat-sifat penyantun, lemah lembut, berhamah dan berbudi bahasa, dikira sukar dilihat pada bangsa lain.
Nilai-nilai peribadi mulia ini tidak terbentuk dalam jangka waktu singkat.
Sebaliknya ia bersemai, bercambah dan berkembang melalui proses evolusi yang sangat panjang, memakan tempoh seribu tahun atau lebih lama dari itu.
Sebelum dirempuh pengaruh kehidupan Barat akhir-akhir ini, Melayu itu sentiasa terikat kehidupannya dengan adat resam yang tersusun, serta dengan budaya tersendiri, budaya yang diterima-pakai sejak abad berabad.
Dan Bahasa Melayu itu sendiri, pada hakikatnya, telah menjadi alat terpenting yang digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menyusun, mengatur dan memperkembangkan budaya dan adat-istiadat mereka.
Melalui keindahan bahasnya, Melayu memperkenalkan simpulan bahasa lengkap dengan kata-kata perbidalan, perumpamaan, pepatah, kias, pantun, syair, seloka dan gurindam.
Dan hampir semua perkara, yang menjadi peraturan dan hukum yang mesti dipatuhi oleh setiap diri Melayu itu di dalam masyarakatnya, sedia tersusun di dalam kata-kata perbidalan, perumpamaan, pantun, kias dan lain-lainnya seperti di atas tadi.
Melayu menggunakan kata-kata pepatah, perbidalan dan perumpamaan sebagai ‘kanun’ yang menggariskan hukum, tatacara, suruhan dan larangan yang mesti dipatuhi, diamal dan dipelihara oleh setiap diri dan mana-mana jua kumpulan masyarakat Melayu dalam menjalani urusan harian masing-masing.
Perbidalan seperti: Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul; Hidup sandar menyandar, bagaikan aur dengan tebing; Kasihkan padi buangkan rumput; Seperti membuka pekung di dada; Muafakat itu berkat; Tak akan harimau makan anak; Marahkan nyamuk kelambu dibakar.
Harapkan pagar, pagar makan padi; Lebih sudu dari senduk; Mendukung biawak hidup; Melepas batuk di tangga; Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit; Belakang parang diasah pun tajam juga; Tak dipecah ruyung manakan dapat sagunya; dan seribu bidalan atau perumpamaan lain, seperti di atas, merupakan batas-batas larangan dan anjakan yang mesti dipegang oleh setiap diri di dalam sebuah masyarakat Melayu.
Demikianlah ertinya nilai suatu bahasa. Dan Bahasa Melayu itu sendiri secara tidak disedari telah membentuk peribadi setiap individu Melayu untuk tempoh sekian lama. Mereka yang di seberang sana melihat kita sebagai Melayu yang penyantun dan berhemah.
Setidak-tidaknya maka benarlah kata hikmah bahawa: Usul Menunjukan Asal, Bahasa Menunjukan Bangsa.
No comments:
Post a Comment