Breaking News
Showing posts with label Sosial. Show all posts
Showing posts with label Sosial. Show all posts

Wednesday, April 11, 2012

HAKIM INDONESIA: KUCING BERBULU HARIMAU

Laporan Dari Banda Aceh - MEMANG aneh! Rata-rata masyarakat umum di Indonesia menganggap para hakim, dalam rangkaian mahkamah pengadilan dan hukum di negara itu, sebagai harimau yang seharusnya ditakuti.
Namun, di sebalik imej sang harimau yang sangat digeruni, sistem pantadbiran Indonesia secara simboliknya telah meletakkan para hakim ini duduk sebagai ‘sang miau’ sang kucing yang amat jinak serta boleh saja dipegang atau digosok kepalanya.
Kemelut para hakim dengan status harimau, tetapi cuma layak untuk mendapat makanan seekor kucing sahaja ini dibangkitkan oleh Gerakan Hakim Progresif Indonesia akhir-akhir ini.
Sebahagian hakim-hakim mahkamah di Indonesia akhir-akhir ini melancarkan mogok, meninggalkan sesi perbicaraan kendalian mereka, kerana membantah pemberian gaji yang rendah.
Gaji seorang hakim di Indonesia cuma antara Rp 1.9 juta hingga Rp 4.9 juta sahaja (RM 640 hingga RM 1,650) sahaja sebulan, sama dengan skim gaji pegawai-pegawai negeri lain di seluruh Indonesia.
Pemberian gaji rendah telah menyebabkan sistem perundangan negara besar ini dijangkiti masalah rasuah yang demikian buruk sejak sekian lama.
“Kami disebut sebagai harimau perundangan, tetapi kami dipaksa menjadi seekor kucing,” kata hakim Wahyu Sudrajat dalam pertemuan dengan Menteri Pemberdayaan Aparatur Negara, Azwar Abu Bakar, di Jakarta Kelmarin.
Sementara itu mantan Ketua Mahkamah Konstitusi, Jimly Ashsidiqie berkata: “Mohon jangan biarkan hakim demo tuntut haknya. Malu bangsa kalau hakim demo minta naik gaji.”
Bagaimana nanti jika para hakim di Malaysia pula buat demo, macam demo ‘Bersih’ atau demo-demo lain tajaan PKR................ emang lucu Pak
Read more ...

Wednesday, December 21, 2011

GAJI GURU SUKARELA ACEH RM 10.70 SEBULAN

TAHUKAH ANDA bahawa beribu-ribu orang guru yang berkhidmat secara sukarela, dikenal sebagai ‘Tenaga Honorer’, di seluruh provinsi Aceh cuma diberi wang saguhati antara Rp 30,000 (RM 10.70) hingga Rp 300,000 (RM 107) sahaja sebulan. Inilah gaji mereka.

Aceh, sejak merdeka di bawah Negara Kesatuan Republik Indonesia 64 tahun dulu, berhadapan dengan masalah pengangguran demikian kronik.

Sehingga sekarangpun, lebih 75 peratus dari keseluruhan 4.5 juta rakyat Aceh duduk di bawah kategori mengganggur. Mereka tidak punya pekerjaan tetap.

Sebahagian besar dari rakyat Aceh, terutama yang tinggal di luarbandar, terpaksa bergantung kepada bidang pertanian (yang secara kasarnya terlalu berat bagi generasi muda), atau melakukan apa jua kegiatan seadanya untuk mencari rezeki.

Berpuluh buah universiti dan kolej, yang berselerak di seluruh Aceh, mengeluarkan ribuan graduan setiap tahun. Namun bilangan pelabur luar atau perusahaan swasta yang beroperasi di sini terlalu kecil.

Dan hampir kesemua dari ribuan graduan lulusan universiti tempatannya, untuk tahun bertahun, berebut-rebut mengintai peluang kerja dengan ‘kantor’ pemerintah provinsi atau dengan pihak berkuasa tempatan.

Kini ramai dari pemegang ijazah di Aceh yang terpaksa mengadu nasib sebagai penarik beca dan buruh, turun ke sawah sebagai petani atau ke laut menjadi nelayan.

Lalu tidak hairanlah ramai dari mereka yang bersedia menjadi tenaga sukarela (honorer) di sekolah-sekolah atau mana juga jabatan milik pemerintah, meskipun untuk bertahun-tahun mereka cuma diberi bayaran saguhati Rp 30,000 hingga Rp 300,000 sahaja sebulan.

Dan setelah berkhidmat sebagai tenaga honorer ini selama enam tahun atau lebih, barulah mereka dikira layak untuk memohon jawatan sebagai staf pemerintah. (Ini pun jika mereka terpilih; namun lazimnya peluang mereka terpilih terlalu nipis).

Di Banda Aceh, pagi Isnin lalu, beratus Guru Honorer dari Kabupaten Aceh Besar menyerbu pejabat Dewan Perwakilan Aceh (DPRA) dalam tunjuk perasaan mengejut.

Guru-guru malang ini menuntut Gabenor dan DPRA mengusir 455 guru kontrak luar yang dihantar berkhidmat di Aceh Besar, Aceh Barat dan di Pulau Simeulu mulai 12 Disember lalu. Sejulah 109 dari guru-guru itu berasal dari Semarang, Jawa Tengah, manakala 246 lagi berasal dari wilayah Sumatera Utara.

Jurucakap kumpulan itu berkata, beribu Guru Honorer Aceh telah berkhidmat hingga berbelas tahun di sekolah-sekolah bermula dengan pemberian saguhati Rp 30,000 sebulan.

Ada sebahagian dari mereka sekarang yang hampir akan bersara, namun tidak diambil sebagai guru tetap.

Mereka mahukan Jakarta merujuk dulu kepada pejabat Gabenor atau DPRA sebelum bertindak menghantar sebarang tenaga kontrak ke Provinsi Aceh di dalam mengisi kekosongan yang ada.
Read more ...

Saturday, December 17, 2011

KEDUTAAN JERMAN, PERANCIS MELOMPAT BILA POLIS BOTAKKAN KEPALA ‘PUNK’ ACEH


Para wira 'punk' Aceh dan rakan-rakan mereka dari Jakarta, Bandung dan Medan terima hukuman rendam di kolam berair dingin di kawasan pergunungan Seulawah, Aceh Besar, selepas kepala masing-masing dibotakkan.

MASYARAKAT umum di Aceh ketawa besar dan bertepuk tangan apabila pihak berkuasa tempatan bertindak menangkap dan mencukur botak kepala sekumpulan remaja ‘punk’ dalam operasi perangkap khas di Banda Aceh kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan drastik pihak pemerintah kota yang dibantu oleh pasokan polis itu cepat saja menarik perhatian kedutaan Peranchis dan Jerman dari Jakarta yang melompat dan tersintak dengan kejadian itu.

Pihak pemerintah kota Banda Aceh sejak setahun dua ini berhadapan dengan pelbagai masalah sosial yang dicetuskan oleh kalangan remaja tempatan dan luar apabila ibu kota provinsi Aceh ini dibangun kembali dengan wajah baru selepas parah diterjang tsunami pada 24 Disember 2004.

Dalam ketika Aceh berusaha menerapkan hukum syariatnya, pihak pemerintahnya akhir-akhir ini berhadapan pula dengan isu sosial di kalangan para remaja tempatan – pergaulan muda mudi secara terbuka dan agak bebas yang semakin menjadi-jadi di pantai-pantainya, juga di beberapa pusat tumpuan ramai di kota.

Kahadiran kumpulan anak-anak punk, dengan rambut runcing dan kepala separuh botak, yang berkeliaran di tengah kota kebelakangan ini juga menimbulkan kejutan baru yang sukar diterima oleh sebahagian besar masyarakat Aceh.

Kantor Pemerintah Kota dikatakan telah memberi kebenaran kepada kumpulan anak-anak punk itu berkumpul dan membuat persembahan di sebuah taman budaya di Banda Aceh malam hujung minggu lepas.

Seramai 29 remaja punk dari Jakarta, Bandung dan Medan turut bertandang ke Banda Aceh malam itu mengambil kesempatan menyertai persembahan khas berkenaan anjuran 36 rakan Aceh mereka.

Namun ketika mereka rancak berpesta, pihak berkuasa Pemerintah Kota dibantu pasokan polis tempatan tiba-tiba masuk menyerbu dan memberkas kesemua 65 orang remaja punk terbabit.

Keesokan petangnya kesemua mereka, termasuk beberapa gadis punk, diangkut dengan kenderaan khas pemerintah dan dihantar ke pusat Sekolah Polis Negara di Seulawah, 50 km ke selatan Banda Aceh.

Di pusat latihan polis ini kesemua ramaja punk lelaki dikenakan hukum cukur botak seluruh kepala dan terpaksa berhadapan dengan perintah berendam dan mandi di sebuah kolam dalam cuaca pergunungan yang dingin.

Timbalan Walikota Banda Aceh, Illiza Sa’aduddin Jamal, berkata langkah mengumpul anak-anak punk itu dibuat ke arah memulihkan akhlak mereka kerana pihak pemerintah mahukan mereka mengamalkan cara kehidupan normal yang boleh diterima masyarakat.

Ketua Polis Aceh, Irjen Iskandar Hassan mengesahkan pejabatnya telah dihubungi pegawai-pegawai kedutaan Peranchis dan Jerman kelmarin untuk mengetahui sebab-sebab mengapa tindakan agak keras itu diambil terhadap kumpulan remaja-remaja punk terbabit.

“Kami tidak melanggar peraturan Hak Asasi Manusia,” tegas ketua polis itu.
Read more ...
Designed By