Para wira 'punk' Aceh dan rakan-rakan mereka dari Jakarta, Bandung dan Medan terima hukuman rendam di kolam berair dingin di kawasan pergunungan Seulawah, Aceh Besar, selepas kepala masing-masing dibotakkan.
MASYARAKAT umum di Aceh ketawa besar dan bertepuk tangan apabila pihak berkuasa tempatan bertindak menangkap dan mencukur botak kepala sekumpulan remaja ‘punk’ dalam operasi perangkap khas di Banda Aceh kelmarin.
Bagaimanapun, tindakan drastik pihak pemerintah kota yang dibantu oleh pasokan polis itu cepat saja menarik perhatian kedutaan Peranchis dan Jerman dari Jakarta yang melompat dan tersintak dengan kejadian itu.
Pihak pemerintah kota Banda Aceh sejak setahun dua ini berhadapan dengan pelbagai masalah sosial yang dicetuskan oleh kalangan remaja tempatan dan luar apabila ibu kota provinsi Aceh ini dibangun kembali dengan wajah baru selepas parah diterjang tsunami pada 24 Disember 2004.
Dalam ketika Aceh berusaha menerapkan hukum syariatnya, pihak pemerintahnya akhir-akhir ini berhadapan pula dengan isu sosial di kalangan para remaja tempatan – pergaulan muda mudi secara terbuka dan agak bebas yang semakin menjadi-jadi di pantai-pantainya, juga di beberapa pusat tumpuan ramai di kota.
Kahadiran kumpulan anak-anak punk, dengan rambut runcing dan kepala separuh botak, yang berkeliaran di tengah kota kebelakangan ini juga menimbulkan kejutan baru yang sukar diterima oleh sebahagian besar masyarakat Aceh.
Kantor Pemerintah Kota dikatakan telah memberi kebenaran kepada kumpulan anak-anak punk itu berkumpul dan membuat persembahan di sebuah taman budaya di Banda Aceh malam hujung minggu lepas.
Seramai 29 remaja punk dari Jakarta, Bandung dan Medan turut bertandang ke Banda Aceh malam itu mengambil kesempatan menyertai persembahan khas berkenaan anjuran 36 rakan Aceh mereka.
Namun ketika mereka rancak berpesta, pihak berkuasa Pemerintah Kota dibantu pasokan polis tempatan tiba-tiba masuk menyerbu dan memberkas kesemua 65 orang remaja punk terbabit.
Keesokan petangnya kesemua mereka, termasuk beberapa gadis punk, diangkut dengan kenderaan khas pemerintah dan dihantar ke pusat Sekolah Polis Negara di Seulawah, 50 km ke selatan Banda Aceh.
Di pusat latihan polis ini kesemua ramaja punk lelaki dikenakan hukum cukur botak seluruh kepala dan terpaksa berhadapan dengan perintah berendam dan mandi di sebuah kolam dalam cuaca pergunungan yang dingin.
Timbalan Walikota Banda Aceh, Illiza Sa’aduddin Jamal, berkata langkah mengumpul anak-anak punk itu dibuat ke arah memulihkan akhlak mereka kerana pihak pemerintah mahukan mereka mengamalkan cara kehidupan normal yang boleh diterima masyarakat.
Ketua Polis Aceh, Irjen Iskandar Hassan mengesahkan pejabatnya telah dihubungi pegawai-pegawai kedutaan Peranchis dan Jerman kelmarin untuk mengetahui sebab-sebab mengapa tindakan agak keras itu diambil terhadap kumpulan remaja-remaja punk terbabit.
“Kami tidak melanggar peraturan Hak Asasi Manusia,” tegas ketua polis itu.
No comments:
Post a Comment