Breaking News

Wednesday, December 21, 2011

GAJI GURU SUKARELA ACEH RM 10.70 SEBULAN

TAHUKAH ANDA bahawa beribu-ribu orang guru yang berkhidmat secara sukarela, dikenal sebagai ‘Tenaga Honorer’, di seluruh provinsi Aceh cuma diberi wang saguhati antara Rp 30,000 (RM 10.70) hingga Rp 300,000 (RM 107) sahaja sebulan. Inilah gaji mereka.

Aceh, sejak merdeka di bawah Negara Kesatuan Republik Indonesia 64 tahun dulu, berhadapan dengan masalah pengangguran demikian kronik.

Sehingga sekarangpun, lebih 75 peratus dari keseluruhan 4.5 juta rakyat Aceh duduk di bawah kategori mengganggur. Mereka tidak punya pekerjaan tetap.

Sebahagian besar dari rakyat Aceh, terutama yang tinggal di luarbandar, terpaksa bergantung kepada bidang pertanian (yang secara kasarnya terlalu berat bagi generasi muda), atau melakukan apa jua kegiatan seadanya untuk mencari rezeki.

Berpuluh buah universiti dan kolej, yang berselerak di seluruh Aceh, mengeluarkan ribuan graduan setiap tahun. Namun bilangan pelabur luar atau perusahaan swasta yang beroperasi di sini terlalu kecil.

Dan hampir kesemua dari ribuan graduan lulusan universiti tempatannya, untuk tahun bertahun, berebut-rebut mengintai peluang kerja dengan ‘kantor’ pemerintah provinsi atau dengan pihak berkuasa tempatan.

Kini ramai dari pemegang ijazah di Aceh yang terpaksa mengadu nasib sebagai penarik beca dan buruh, turun ke sawah sebagai petani atau ke laut menjadi nelayan.

Lalu tidak hairanlah ramai dari mereka yang bersedia menjadi tenaga sukarela (honorer) di sekolah-sekolah atau mana juga jabatan milik pemerintah, meskipun untuk bertahun-tahun mereka cuma diberi bayaran saguhati Rp 30,000 hingga Rp 300,000 sahaja sebulan.

Dan setelah berkhidmat sebagai tenaga honorer ini selama enam tahun atau lebih, barulah mereka dikira layak untuk memohon jawatan sebagai staf pemerintah. (Ini pun jika mereka terpilih; namun lazimnya peluang mereka terpilih terlalu nipis).

Di Banda Aceh, pagi Isnin lalu, beratus Guru Honorer dari Kabupaten Aceh Besar menyerbu pejabat Dewan Perwakilan Aceh (DPRA) dalam tunjuk perasaan mengejut.

Guru-guru malang ini menuntut Gabenor dan DPRA mengusir 455 guru kontrak luar yang dihantar berkhidmat di Aceh Besar, Aceh Barat dan di Pulau Simeulu mulai 12 Disember lalu. Sejulah 109 dari guru-guru itu berasal dari Semarang, Jawa Tengah, manakala 246 lagi berasal dari wilayah Sumatera Utara.

Jurucakap kumpulan itu berkata, beribu Guru Honorer Aceh telah berkhidmat hingga berbelas tahun di sekolah-sekolah bermula dengan pemberian saguhati Rp 30,000 sebulan.

Ada sebahagian dari mereka sekarang yang hampir akan bersara, namun tidak diambil sebagai guru tetap.

Mereka mahukan Jakarta merujuk dulu kepada pejabat Gabenor atau DPRA sebelum bertindak menghantar sebarang tenaga kontrak ke Provinsi Aceh di dalam mengisi kekosongan yang ada.

No comments:

Designed By