Breaking News

Wednesday, April 14, 2010

100 RIBU MUBALIGH BERHIMPUN DI KEMBOJA


SEMAMANGNYA luar biasa. Lebih 100,000 orang para mubaligh Muslim dari seluruh dunia dijangka berhimpun di Kemboja, selama tiga hari mulai 23 April ini.

FOTO: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, senang hati menyambut para tamu mubaligh Islam.

Kehadiran para mubaligh bersarban, dengan janggut tebal, berpakaian jubah atau berbaju labuh yang serba putih akan menukar wajah Kampong Cham, sebuah penempatan utama masyarakat Islam Kemboja 100 kilometer dari Phnom Penh, kepada satu panorama yang amat menakjubkan.

Hairannya, mengapa para mubaligh ini harus berhimpun di Kemboja, bumi keramat kaum Budha dengan Angkor Wat dan tanah Pol Pot, pemimpin komunis paling kejam yang telah menyembelih lebih sejuta manusia tidak bersalah dalam sejarah gelora pertumpahan darah di bumi Kemboja selama 22 tahun antara 1975 hingga 1997.

Sepanjang tiga hari perhimpunan di Kampong Cham itu, pinggiran-pinggiran Sungai Mekong akan bertukar wajah – dipenuhi khemah dengan lebih 100,000 manusia yang hampirnya kesemuanya berpakaian serba putih berhimpun.

Panorama seperti ini pernah disaksikan oleh penduduk dan rakyat Kemboja apabila lebih 30,000 orang terdiri dari para mubaligh Islam dari semua rantau di dunia mengadakan perhimpunan di sini pada bulan yang sama tahun lepas.

HUN SEN SAMBUT JEMAAH

Perhimpunan tahunan para mubaligh dari pelbagai negara bermula di Kemboja lebih sepuluh tahun dulu dengan perhimpunan pertamanya cuma dihadiri lebih sedikit dari 3 ribu jemaah.

Hairannya, Perdana Menteri Hun Sen menyambut dengan tangan luas terbuka kepada lebih 100,000 jemaah mubaligh ini dalam ketika Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Baratnya melabelkan: setiap lelaki berjanggut, bersarban dan berjubah putih sebagai pengganas (teroris).

Perasangka buruk yang sama turut dilemparkan oleh beberapa negara Islam sendiri, Indonesia (umpamanya), yang tidak kurang curiga terhadap lelaki berjanggut, bersarban dan berjubah putih.

Hun Sen gembira menerima tetamu mubaligh ini kerana dia percaya, melalui pengalaman Kemboja sejak sepuluh tahun lepas, bahawa kehadiran jemaah besar para mubaligh ini lebih banyak membawa keuntungan kepada negaranya dari semua sudut.

Perdana Menteri itu tidak pernah bersangka buruk terhadap para mubaligh Islam ini, sama ada sesuatu yang mungkin mengancam struktur sosial, politik atau keselamatan Kemboja. Sebaliknya dia melihat Kemboja terus mendapat kepercayaan masyarakat antarabangsa; pelaburan asing terus mencurah masuk ke negaranya.

PENDUDUK ISLAM SELAMATKAN BUN RANY

Dia sendiri akan menghantar anggota-anggota tentera Kemboja membuat kawalan sebaik mungkin di sepanjang Sungai Mekong sepanjang berlangsungnya perhimpunan mubaligh ini untuk mempastikan keselamatan tetamu yang berhimpun kelak.

Dan ada cerita yang mengatakan Hun Sen senang bersahabat dengan penganut Islam; lantaran isterinya, Bun Rany, dan keluarganya pernah diselamatkan oleh penduduk Islam Kampong Cham semasa gelora peperangan dan perebutan kuasa di kemboja antara 1990 hingga 1997.

Barisan petugas keselamatan dan immigresen di lapangan terbang Phnom Penh sehingga hari ini (Rabu 14 Mac) dikhabarkan telahpun menerima kebanjiran lebih 80,000 mubaligh luar yang kini memenuhi semua hotel dan masjid di Phnom Penh, ibu kota Kemboja ini, atau di Kampong Cham sendiri.

Beberapa kumpulan mubaligh dari Kuala Lumpur sendiri sejak seminggu lepas, sehingga ke hari ini, menghadapi masalah mendapatkan tiket penerbangan ke Phnom Penh kerana tiket-tiket bagi hampir semua syarikat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kemboja telah habis dijual.

UNTUNG KUTIP CUKAI PELANCONG

Kemboja mengenakan cukai RM80 bagi setiap pelancong Asean untuk keluar di lapangan terbang Phnom Penh, dan RM 160 bagi pelancong antarabangsa lain.

Dari kutipan cukai pelancong sahaja sepanjang perhimpunan mubaligh ini berlangsung, kerajaan Kemboja dianggarkan akan mampu mengutip sehingga RM 15 juta. Angka ini tidak termasuk hasil lain yang bakal dinikmati oleh pelbagai sektor di Kemboja apabila jemaah pelancong yang ramai ini berbelanja untuk penginapan, makan, minum dan membeli belah.

Perhimpunan mubaligh antarabangsa yang berlangsung di Sepang, Malaysia, Julai tahun lepas dihadiri lebih dari 600,000 jemaah tempatan dan antarabangsa, meskipun pihak penganjur awalnya menjangka cuma 200,000 orang akan hadir.

Gubnor Irwandi Yusuf dan masyarakat Aceh seluruhnya perlu memandang jauh ke depan dan bersikap lebih terbuka, tanpa prajudis atau buruk sangka, mengambil iktibar keterbukaan Perdana Menteri Hun Sen dan Kerajaan Kemboja berhubung jemaah mubaligh berjanggut, bersarban dan berjubah putih.

Hasrat menghidupkan kembali aura Tanah Serambi Mekah dan Kota Pelancong Islam untuk Banda Aceh mungkin akan kekal tenggelam di dalam impian sahaja sekiranya Aceh cuma terus terbuai dengan kenangan sejarah gemilang lampaunya.

Tidaklah harus Nanggroe Darussalam ini membiarkan dirinya cuma lebih dikenal dunia sebagai ‘Jelapang Tsunami’ atau ‘Tanah Rincong’ yang cuma kaya dengan budaya dan adatnya sahaja.

Aceh harus keluar dari kelambu perasangka dan penderitaannya yang sekian lama. Tunjukkan ramah, mesra dan keterbukaanmu seperti keindahaan budi masyarakat Sunda – sehingga Jawa Barat dan Kota Bandung itu sendiri kini menjadi kota paling disenangi oleh mana-mana jua pelancong dari seluruh pelusuk dunia yang pernah mengunjunginya.
Read more ...

SURAT TERBUKA UNTUK GUBNOR ACEH


“PEMERINTAH DAN SEBAHAGIAN MASYARAKAT ACEH DILIHAT TIDAK BENAR-BENAR MESRA TERHADAP PELANCONG BERJANGGUT DAN BERJUBAH”

Masyarakat Islam seluruh dunia akhir-akhir ini memberi penilaian paling tinggi terhadap Aceh ekoran kesungguhan pemerintah Tanah ‘Serambi Mekah’ ini ke arah memertabatkan syariat Islam sebagai

FOTO: Irwandi Yusuf selaku Gubnor Nanggroe Aceh Darussalam.

undang-undang, perturan dan hukum yang bakal digunapakai untuk seluruh jentera pentadbiran dan rakyatnya.


Berita-berita berhubung hukuman ‘cambuk’ yang pernah dikenakan ke atas pesalah-pesalah, seperti yang dilaksanakan di beberapa kabupaten di Aceh sejak setahun yang lepas, kerap menjadi bahan menarik diungkapkan oleh para penceramah di surau dan masjid-masjid seluruh Malaysia sejak setahun lepas.


Tindakan berani pihak berkuasa di Aceh Barat dan satu dua pemerintah kabupaten lain yang mengharamkan kaum wanita berpakaian ketat atau ‘tidak Islami’ (menurut istilah tempatan) memasuki pejabat-pejabat pemerintah atau berurusan di kota dan bandar-bandar, juga mendapat sanjungan ummat Islam di Malaysia dan di dunia seluruhnya.


Kerajaan Pas pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan (sebuah negeri paling banyak melahirkan pendekar-pendekar aliran agama, juga terkenal dengan panggilan Negeri Serambi Mekah) pun tidak terdaya melaksanakan hukuman seperti yang dilakukan di Aceh akhir-akhir ini, meskipun Pas telah menguasai Kelantan sejak lebih 20 tahun yang lepas.


TIDAK MAMPU TANDATANGAN

Ummat Islam di seluruh nusantara Melayu sedang menunggu dan memerhati sejauh mana kesungguhan pemerintah Aceh di bawah pimpinan Irwandi Yusuf, selaku Gubnornya, melaksanakan hukum dan syariat Islam setelah Aceh mendapat hak autonomi mentadbir wilayahnya sendiri, dari Jakarta, melalui perjanjian persefahaman 15 Ogos 2005.

Demikianpun, kuasa autonomi tidak menjanjikan segala-galanya kepada Aceh dan barisan pemimpin-pemimpin provinsi ini yang sejak empat tahun lepas dikuasai oleh kalangan pendokong dan bekas pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM).
Irwandi sekarang terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan peraturan dan hukum negara, terutamanya yang menyentuh soal kebebasan Hak Asasi Manusia (HAM), sehingga Gubnor itu tidak mampu menunrunkan tandatangan terhadap beberapa Qanun Jenayah dan Hudud yang lebih berat: hukum potong tangan dan rejam, umpamanya, seperti yang dituntut oleh pelbagai pihak di Aceh.

Secara umumnya masyarakat seluruh Aceh lima enam bulan yang lepas dilihat penuh bersemangat mahu mengembalikan kegemilangan Islamnya seperti ketika Tanah Serambi Mekah ini duduk di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda 400 tahun yang lampau.


DESAK HUKUM SYARIAT


Kalangan tertentu dari pendokong Islam di Aceh dilihat mahukan Irwandi dan Muhammad Nazar, selaku Timbalan Gubnor, segera melaksanakan hukum dan syariat Islam di Aceh. Gerakan mendesak pelaksanaan hukum syariat ini hangat dilakukan melalui masjid dan surau-surau, serta juga di halaman-halaman akhbar tempatan.

Selaras dengan pelaksanaan hukum syariat Islam, pemerintah Aceh kini mengatur perancangan menjadikan Banda Aceh, ibu kota provinsinya yang pernah digulung ombak tsunami lima tahun dulu, sebagai ‘Kota Pelancongan Islam’.

Namun, perkembangan mutakhir memperlihatkan banyak lagi hambatan lebih berat yang mesti ditempuh oleh Irwandi dan masyarakat Nanggroe Darussalam ini ke arah menegakkan sebuah wilayah Islam dan Kota Pelancongan Islam yang diimpikan itu.


Seorang teman yang baru pulang ke Kuala Lumpur, setelah bertandang empat hari di Aceh baru-baru ini, melontarkan keraguan mendalam bila bercakap mengenai penegakan sebuah wilayah Islam di Aceh dan hasrat menjadikan Banda Aceh sebagai Bandar Pelancongan Islam serantau.


“Setelah berkunjung singkat ke sana saya tidak melihat pihak pemerintah dan sebahagian dari orang Aceh sebagai masyarakat yang benar-benar mesra terhadap pelancong-pelancong Islam,” kata teman mubaligh itu. Teman yang berjanggut, berkopiah dan berbaju putih ala seorang mubaligh Pakistan ini menceritakan bagaimana kehadirannya di banyak tempat di Aceh dilayan dengan pelbagai pandangan yang penuh tanda tanya serta kerlingan-kerlingan mata yang sangat mencurigakan.

Barangkali kehadiran teman dari Kuala Lumpur itu minggu lepas tidak sesuai dengan masanya, ketika pihak keselamatan di Aceh masih lagi memburu pendokong-pendokong gerakan jihad Islam yang mereka labelkan sebagai ‘pengganas’ atau ‘teroris’. Dan nasib teman ini menjadi lebih malang lagi kerana bagi sesetengah pihak, pihak keselamatan atau masyarakat umum sendiri, yang melihat lelaki berjanggut, berkopiah dan berjubah atau berbaju putih yang labuh itu adalah mereka yang kerap dicurigai sebagai teroris.

Namun teman yang sempat berkunjung ke Bireuen itu, sebuah bandar 4 jam perjalanan ke selatan Banda Aceh, masih lagi dianggap sebagai sangat bernasib baik, lantaran dia mungkin terpaksa melalui pengalaman yang lebih pahit sekiranya kunjungannya ke Nanggroe Darussalam ini dilakukan dalam tempoh satu atau dua bulan yang lepas.

Dalam tempoh tersebut pasokan komando tentera dan polis Indonesia menggempur markas latihan kumpulan radikal bersenjata di Desa Meunasah Tunong, Kecamatan Seulimuem, Aceh Besar, 3 Mac lepas serta gerakan pembersihan di seluruh Aceh selama dua minggu berikutnya yang menghasilkan 31 lelaki disyaki sebagai ‘teroris’ ditangkap manakala 7 lagi ditembak mati.


SAF SUBUH SEDIKIT

Dalam hal yang lain pula teman tadi lebih terkejut melihat bilangan jemaah yang menunaikan solat Subuh di Masjid Baitur-Rahman, sebuah masjid yang paling diingati dunia ketika Tsunami dulu, terlalu sedikit jemaah subuhnya – tidak memenuhi tiga saf pendek dengan 40 jemaah satu baris, seimbang dengan penduduk persekitarannya dan sesuai dengan nama hebat Aceh sebagai Tanah Serambi Mekah.


“Bagaimana Banda Aceh mampu menjadi Banda Pelancong Islam, dan bagaimana mungkin Islam dapat dipancarkan semula cahayanya di Aceh kalau pemimpin dan masyarakat Aceh sendiri tidak mahu mengimarahkan Baitur-Rahman di waktu subuhnya,” tanya teman itu lagi.

Sesungguhnya teman ini amat meyakini bahawa Islam akan terpancar kembali cahaya dan kegemilangannya apabila ummatnya mengimarahkan masjid-masjid mereka pada setiap waktu solat, terutama untuk solat Subuh itu sendiri.
Read more ...

Thursday, April 8, 2010

AECH BERGEGAR LAGI


ACEH BERGEGAR LAGI PAGI RABU DUA HARI LALU DENGAN ANCAMAN TSUNAMI

Pandangan kawasan pesisiran pantai di penempatan Shah Kuala, dekat Banda Aceh, yang hancur luluh di gulung tsunami dalam sejarah tsunami yang kekal diingati masyarakat seluruh dunia penghujung 2004 dulu.


Pagi semalam........... subuh saya di Banda Aceh dikejutkan dengan goncangan gempa bumi yang memang mencemaskan.

Ketika kedinginan sedang menyelimuti seluruh bumi Aceh, menjelang masuknya waktu subuh dalam suasana penuh sepi, tiba-tiba terasa tubuh seperti diayun di atas tilam; sepertikan tepung yang diayak di dalam satu tapisan.

Dalam keadaan penuh tandatanya, agak terperanjat, saya bergegas bangkit melihat jam di dinding yang baru saja melapasi waktu 5.15 pagi - cuma seminit dua lagi akan memasuki waktu solat subuh.

Serentak itu juga sayu membuka pintu bilik dan terus berkejar ke ruang legar di depan di tingkat satu untuk melihat apa yang berlaku di luar.

Lima anak-anak pelajar kami sudahpun berada di ruang legar. Aulia (pelajar tingkatan 4), Rahmayadi (Tingkatan 4)Fahmi (tingkatan 3), Mursalin (Darjah 6) dan Nasfi (Darjah 3) tertinjau-tinjau ke luar melihat keadaan sekitar yang masih gelap, tenang dan sepi.

"Apa.... ada berlaku gempa bumi ke?" tanya saya pada anak-anak pelajar itu. Mereka merupakan anak-anak yatim yang pernah bertarung dengan tsunami dalam sejarah paling ngeri apabila gelombang gergasi tsunami melanda dan meratah bumi Aceh pagi 26 Disember 2004.

"Benar Papa, memang ada gegaran sebentar tadi," ujar Aulia, pelajar paling awal menghuni Rumah Anak Yatim Melaka-Tsunami Aceh di Desa Punie, Banda Aceh mulai Oktober 2005 dulu.

"Tapi gegaran ini nggak keras Pa. Ini biasa saja," tambah pelajar bertubuh besar itu.

Meskipun ia gegaran biasa, namun goncangan gempa bumi ini yang meletus di perairan barat Aceh, berhampiran Pulau Pulau Semeulue, 400 kilometer dari Banda Aceh, tetap menggemparkan sebahagian penduduk pesisiran pantai yang bergegas melarikan diri ke kawasan tinggi.

Berita awal menunjukan gempa berukuran 7.2 pada skala Richter ini memusnahkan beberapa penempatan penduduk di Senabang, sebuah bandar utama di Semeulue. Setakat ini seramai 14 mangsa gempa dikejarkan ke rumah sakit tempatan.

Gegaran kuat dari gempa bumi ini turut mencemaskan penduduk di kota Medan serta di semua bandar utama di seluruh provinsi Aceh.

Anak-anak pelajar di asrama kami di Desa Punie sudah terlalu biasa melalui gegaran gampa-gempa kecil dan sederhana yang menggegar Aceh dua atau tiga kali setiap tahun. Mereka malah pernah bertempur dengan tsunami yang meragut nyawa ayah atau ibu mereka dalam sejarah tsunami yang menggulung Aceh lebih lima tahun lalu.

Malah yang paling bimbang dengan gempa pagi Rabu yang lalu ini ialah keluarga dan teman-teman rapat dari Kuala Lumpur yang bertalu-talu menghantar 'SMS' bertanyakan perkembangan yang berlaku.
Read more ...

Saturday, April 3, 2010

PEAGAWAI CUKAI LESAPKAN WANG NEGARA


HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI. Demikianlah keluhan yang kerap berputar dalam benak kepala sebahagian besar dari rakyat Indonesia dari dahulu sampai sekarang apabila menyebut perihal kedurjanaan barisan pegawai-pegawai pemerintah mereka yang secara wenang melasapkan hasil dan wang negara.

GAYUS HALOMOAN TAMBUNAN ketika tiba di lapangan terbang Sukarno Hatta, Jakarta, petang Rabu setelah cuba melarikan diri ke Pulau Singapura seminggu sebelumnya.

Ketika skandal Bank Century, melibatkan kes penggelapan wang negara berjumlah Rp 6.7 trillion (RM 2.4 billion), masih dalam keadaan tidak menentu, negara pendokong prinsip demokrasi dan kebebasan ‘hak asasi manusia’ terbesar di rantau Asean ini tiba-tiba dikejutkan pula dengan kejadian seorang pegawai junior di jabatan cukai Indonesia disyaki menggelapkan Rp 28 bilion (RM 10 juta) dari wang kutipan cukai negara.

GAYUS HALOMOAN TAMBUNAN, 30, cuma seorang pegawai junior yang baru lima tahun berkhidmat di jabatan cukai di Jakarta, dengan gaji pokok Rp 8 juta (RM 2,856) sebulan, melarikan diri ke Pulau Singapura 24 Mac lalu setelah pihak berkuasa Indonesia mendapati dia memliki simpinan tunai begitu besar, berjumlah Rp 28 billion, di dalam 23 akaun banknya.

Berasal dari keluarga biasa Tanjung Periok, Jakarta Utara, yang sebelumnya mengungsi sebuah rumah usang di sebuah kawasan sesak di pinggiran Jakarta, gaya hidup Gayus meledak berubah, tiba-tiba saja mewah setelah setahun dua berkhidmat dengan jabatan cukai.

Dia tiba-tiba membeli sebuah rumah mewah bernilai lebih RM 1 juta di sebuah kawasan mewah, memiliki 3 buah kienderaan mewah serta sebuah motosikal berkuasa besar disamping hidup penuh bergaya serta simpanan tunai begitu tinggi di dalam bank.

Gayus dipercayai berupaya mengumpul begitu banyak wang gelapnya hasil menipulasi licik apabila menangani urusan pembayaran cukai yang seharusnya dipenuhi oleh 149 buah syarikat yang dibuat melalui bahagiannya.

Pihak berkuasa pada penghujung 2009 telah bertindak membekukan akaun bank Gayus. Namun dia dikatakan bertindak pantas menggunakan wang terkumpulnya mempengaruhi pihak berkuasa Polis Republik Indonesia (Polri) dan Jabatan Kehakiman untuk membatalkan perintah pembekuan akaunnya itu.

Polri dengan kerjasama Polis Singapura telah membawa Gayus pulang ke Jakarta petang dua hari lepas (Rabu 31 Mac) setelah Imigresen Indonesia membatalkan paspot perjalanan pemuda licik ini kerana mendapati dia telah memalsukan maklumat peribadinya sebagai seorang kakitangan swasta, sedangkan dia adalah seorang pegawai pemerintah, ketika permohonan paspot itu di buat dulu.

Pembongkaran awal Polri mendapati Gayus menggunakan jaringan peringkat tinggi polis dan kehakiman untuk melepaskan dirinya dari tindakan.

Siang tadi Ketua Polri, Jeneral Bambang Hendarso Dhanuri mengumumkan tindakan menggantung kerja Ketua Polis Daerah Lampong, Brigadier Jeneral Edmon Ilyas dan seorang pegawai kanan bahagian penyiasatan khusus di markas besar Polri, Pesuruhjaya Polis Arafat. Kedua-duanya disyaki terlibat mengatur laluan membolehkan perintah pembekuan akaun bank Gayus ditarik bulan bulan lepas.

Kes penyelewengan Gayus meledakkan sentimen baru di kalangan segelintir masyarakat perihatin Indonesia yang baru-baru ini melancarkan kempen ‘ Jangan Bayar Cukai’ yang dibuat melalui Facebook, sebagai bantahan terhadap kelemahan pemerintah negara itu di dalam membanteras amalan rasuah dan penyelewengan hasil negara yang memang kerap dilakukan oleh jentera pentadbirannya.

Mungkinkah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mampu melegakan kemarahan 280 juta rakyat Indonesia yang mahu menyaksikan pemerintah bertindak tegas menghukum pegawai-pegawai polis atau mana-mana anggota kehakimannya yang dikhuatiri terbabit dengan penyelewengan Gayus ini dalam masa terdekat nanti?

Namun, seperti kes Bank Century yang semakin rumit, lelah dan pudar, harapan rakyat golongan miskin dan tidak berada untuk melihat penyelewengan, salahlaku dan korupsi segera dihapuskan dari bumi Indonesia, lazimnya akan terkapar di pentas-pentas ‘demonstrasi’ yang cuma membara untuk seketika, lalu kemudian mati tanpa pun dikebumi atau ditalqinkan.

Atau mungkin Pak SBY dan barisan cendikiawan Indonesia perlu mencari istilah lain bagi perkataan ‘aparat’ (bermaksud kakitangan, pegawai atau petugas jabatan dan pemerintah, yang sangat popular digunakan dalam sistem pentadbiran negara) kerana ternyata aparat-aparat ini tidak lebih dari barisan ‘keparat’ yang sangat meresahkan rakyat.
Read more ...
Designed By