Breaking News

Wednesday, November 6, 2019


TERUBAT RINDU
BILA KAMI BERTEMU



Malam ini tiga pelajar lama yang pernah tinggal di Rumah Anak Yatim Melaka – Tsunami Aceh selama enam tahun mulai 2009, kembali menjenguk saya setelah empat tahun mereka meninggalkan asrama apabila tamat pengajian Sekolah Menengah Atas (SMA) pada Julai 2015.

Setiap seorang dari mereka memeluk saya dengan erat, sepertikan pertemuan kembali seorang ayah dengan anak-anaknya setelah sekian lama mereka tidak bertemu.



Jamal, 23, anak muda dari sebuah desa di Aceh Jaya, muncul malam ini dengan tubuh kental; sudah punya misai dan jambang. Sejak beberapa bulan lepas Jamal kembali ke Banda Aceh untuk bekerja di sebuah syarikat pengedaran air minuman.

Zulfikar, 23, dari Desa Rinon, kini sangat dikenali sebagai usahawan muda yang bekerja keras sejak lebih tiga tahun lepas mengusahakan lahan cengkih dan buah pala di Pulo Aceh. Dia juga menternak sapi serta ayam daging untuk keperluan tempatan.

Saya menggenggam erat tangan Zulfikar (duduk di kiri saya) ketika kami ngobrol ringan di ruang studi. Sangat luar biasa – tapak tangannya keras dengan benjol-benjol daging yang seakan kematu sebagai bukti bahawa dia memang bekerja keras selama beberapa tahun ini untuk membangun usahanya sendiri.



Dan si Amri, 20, nampak santai sahaja melihat saya bersama Jamal dan Zulfikar ngobrol penuh bersemangat dalam pertemuan mengejut ini.

Amri juga sudah mempunyai kerjaya yang mantap di Grand Nanggroe, sebuah hotel lima bintang yang memang terkemuka di Banda Aceh.

Jauh sana di sudut hati, saya menangis penuh gembira melihat anak-anak muda, dulunya merupakan anak-anak yatim yang tinggal di bawah payung asrama RAYMTA, kini sudah mampu bertapak, membina kerjaya mereka dalam ketika sebahagian besar warga muda Aceh bertahun-tahun resah mengintai peluang kerja yang samar-samar.
Read more ...
Designed By