Breaking News
Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

Tuesday, May 13, 2014

KLIA2: PERJALANAN 5 TAHUN MEREDAH PANAS





Ahhh betapa selesanya kemudahan yang dapat dinikmati oleh manusia ramai setelah KLIA2 dilancarkan.

Lima tahun saya berulang alik setiap bulan dari Kuala Lumpur ke Banda Aceh menggunakan terminal LCCT di Sepang sejak Jun 2009.

Dan dalam tempoh berulang alik itu saya dan jutaan penumpang dalam dan luar negara yang masuk dan keluar melalui LCCT dapat merasakan susah payah berjalan meredah panas untuk menuju ke pesawat atau keluar dari pesawat menuju ke terminal.
KLIA2 dengan rekabentuk serba menarik.


Di waktu-waktu matahari memancar panas terik , di luar sana, bahang panas di bawah bumbung sepanjang laluan 100 atau 200 meter menuju ke pesawat bukan kepalang lagi. Jika di padang terbuka biasa suhu panas cuma 30 atau 34 darjah selsius, tapi di bawah bumbung laluan terminal itu dulu, ia meningkat 36 sehingga 38 darjah – dek ditambah bahang panas enjin pesawat dan pelbagai kenderaan yang mundar mandir.

Petang semalam semua perjalanan panas lima tahun itu sudahpun berakhir.

Hati tak sabar mahu melihat wajah kompleks lapangan terbang baru ini apabila pesawat penerbangan Air Asia AK 422 dari Banda Aceh mendarat dan merapati terminal baru KLIA2 jam 3.45 petang.
Penumpang dan keluarga masing-masing menuju ke Balai Ketibaan.


Suara ketua steward cuma mengucapkan selamat jalan serta terima kasih dan penghargaan kepada semua penumpang kerana menggunakan perkhidmatan Air Asia. Namun dia sepertikan terlupa (atau mungkin sengaja) tidak mahu mengucapkan kalimah alu-aluan “Selamat datang ke Malaysia” kepada semua penumpang dan pelancong yang bakal mencecahkan kaki di bumi Malaysia itu.

Tercengang juga saya apabila melihat hampir semua penumpang tidak lagi berebut-rebut mengeluarkan barang mereka dari kotak barangan, atau berpusu-pusu menuju ke pintu pesawat untuk keluar seperti yang lazimnya berlaku dalam setiap penerbangan yang saya ikuti sejak lima tahun dulu.

Penumpang-penumpang ini mungkin mengerti bahawa mereka tidak perlu berebut dan berpusu-pusu keluar meninggalkan pesawat seperti dulu kerana petang ini mereka akan meninggalkan pesawat dan berjalan melalui suasana terminal baru yang jauh lebih selesa dan nyaman.
Escalator tersedia untuk penumpang yang lelah berjalan jauh.

Udara sungguh nyaman dan dingin di aerobridge terminal baru ini berbanding dengan cuma dua jambatan  sama di bandar udara Sultan Iskandar Muda Banda Aceh yang udaranya terkempam dan hangat.

Memasuki ruang besar terminal saya berhenti sebentar memerhati keadaan sekitar di dalam dan di luar sana. Terpegun melihat suasana serba nyaman, indah, teratur dan demikian selesa. Penumpang-penumpang lain dari dalam dan luar negara juga tidak terburu-buru untuk segera meninggalkan Balai Ketibaan menuju ke bahagian Imigresen.
Suasana di ruang pasaraya bebas cukai selepas penumpang keluar dari bahagian epemeriksaan imigresen.

  Seperti penumpang-penumpang itu, saya berhenti menikmati suasana mulus ini. Keping-keping seramik yang memenuhi semua ruang lantainya tersusun rapi. Susun atur tumbuhan dalaman, ukiran dinding, papan arah tunjuk, hiasan siling dan lain-lainnya diletak demikian kemas. Teratur.

Semuanya demikian segar. Menyenangkan.

Anak-anak kecil berlari bebas penuh riang menuju ke escalator di sudut tepi. Cuma satu dua saja yang berjalan pantas, sebahagian besar penumpang berjalan tenang sambil menikmati suasana nyaman sepanjang laluan ke pusat pemeriksaan imigresen.
Pandangan di sayap kiri aerobridge KLIA2 yang membolehkan pesat memuat-turun penumpang serentak.

Ruang penumpang menunggu untuk berangkat meninggalkan KLIA2.
Tanya Saya. Petugas sukarelawan melayan penumpang.
 Di luar sana, bahagian kiri terminal baru ini, tiga pesawat Airbus 300 milik Air Asia masih berada di mulut aerobridge untuk menurun atau memasukkan penumpang. Sebuah pesawat Lion Air terlihat di sebelah kanan kompleks terminal.

Meski laluan dari aerobridge menuju ke balai ketibaan, bahagian pemeriksaan imigresen dan kastam sebelum menuju ke luar agak jauh, memakan hingga 100 meter, namun penumpang tidak terasa lenguh, longlai atau keluh kesah dengan laluan ini kerana seluruhnya demikian selesa dan dingin.

Imigresen Malaysia meletakkan beberapa petugasnya untuk memandu dan memudahkan semua pelawat melalui pintu masuk imigresen. Staf kastam juga menyediakan laluan mudah untuk untuk pemeriksaan lancar penumpang dalam dan luar negara.

Melalui pengimbas pemeriksaan kastam.

Di samping berapa tenaga sukarelawan yang membawa sapanduk ‘Ask Me’ (Tanya Saya) di beberapa ruang bahagian bagasi dan di bahagian luar kawasan bebas, beberapa anggota Rela dari Kuala Langat turut berada di beberapa bahagian ramai untuk membantu ribuan penumpang yang menggunakan terminal baru ini.


Penumpang keluar meninggalkan Balai Ketibaan. Selamat datang ke Malaysia.
Di antara ruang belibelah yang tersedia di terminal baru KLIA2.
 Kini tidak ada lagi wajah-wajah murung yang pucat termengah-mengah kerana kelelahan berjalan jauh di tengah panas seperti yang mesti dilalui oleh penumpang-penumpang di LCCT dulu.

Yang kita lihat cuma wajah-wajah tenang dan ceria, puashati dengan perubahan demikian nyaman yang disediakan.
Read more ...

Wednesday, September 2, 2009

RASUAH PEMBUNUH TAMADDUN BANGSA

RENUNGAN RAMADHAN: Rasuah Yang Semakin Membunuh Sebuah Bangsa Besar.

AWALNYA saya tertanya-tanya penuh kehairanan bagaimana sebuah bangsa besar dengan wilayah yang luas serta memiliki kekayaan hasil bumi yang melimpah ruah, tetapi rakyatnya terus hidup tertekan, terhimpit dengan kemiskinan dan keperitan yang berpanjangan?

Lalu beberapa bulan kemudiannya, setelah mengamati semua perkara dengan mendalam, saya terpegun ketakutan yang amat sangat menyedari bahawa wujudnya wabak penyakit yang lebih buruk dari aids, selsema burung atau selsema babi, menjadi punca utama yang menyebabkan negara dan bangsa besar itu terus terbelenggu dengan pelbagai kesempitan dan malapetaka berpanjangan ini.

Wabak penyakit paling bahaya yang bertapak di setiap inci bumi dan pulau-pulau negara itu ialah wabak penyahgunaan kuasa oleh setiap tenaga kerja pemerintah, penyakit rasuah, sogokan dan amalan korupsi yang berleluasa yang bertapak dari gedung-gedung pejabat paling tinggi di kota-kota hingga menyusup ke kampung-kampung dan perairan negaranya.

Di negara besar yang kita ceritakan ini, yang amat jauh dari benua kita ini, amalan rasuah saudah jadi makanan harian orang-orang yang berkuasanya, sampailah kepada rakyat-rakyatnya yang tinggal di bandar atau yang jauh di pedalaman.

SEMUANYA SOGOK, RASUAH

Hampir setiap urusan yang berkait dengan pihak berkuasa sentiasa terkait dengan amalan sogok, korupsi, rasuah dan amalan salahguna kuasa.

Sogokan duit atau matabenda lainnya menjadi syarat utama untuk membolehkan sesuatu urusan berjalan lancar dan terlaksana di negara dengan bangsa besar ini. Makin besar dan tinggi pegawai yang diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu urusan, maka makin besar dan tinggilah nilai sogokan dan suapan yang mesti disediakan. Tanpa wang suapan dan sogokan, maka urusan berkenaan akan ditinggal berlapok di atas meja.

Di negara dengan bangsa besar ini, sejak lebih 50 tahun yang dulu, ciri-ciri sogokan dan korupsi di kalangan pemerintah dan orang-orang yang berkuasanya, telah mula berkembang dan kemudiannya merebak dan berakar-umbi sehinggga ke peringkat bawahan serta setreusnya di kalangan masyarakat keseluruhannya.

Suapan, sogokan dan korupsi menjadi penentu segala urusan mereka. Industri kewangan yang mahukan kerajaan menggubal dasar yang memihak kepada kepentingan mereka, harus membuat sogokan kepada barisan pegawai-pegawai pemerintah yang membuat dasar.

Pihak berkuasa sebuah daerah yang mahukan sesuatu projek besar dilaksanakan di kawasan mereka, harus membuat sogokan kepada pemerintah negeri atau negara yang berkuasa di atasnya untuk membolehkan projek berkenaan dilaksanakan.

KUASA MASING-MASING

Setiap urusan pembelian kelengkapan keperluan negara atau negerinya tidak terlepas dari penyalahgunaan kuasa pihak teratas serta dengan pelbagai amalan rasuah yang sekaligus dipoketkan secara licin dan senyap-senyap oleh pegawai atasannya.

Di negara besar ini, setiap peringkat agensi negara mempunyai kuasa masing-masing. Petugas-petugasnya akan menggunakan setiap ruang kuasa yang ada pada mereka untuk mencari jalan bagaimana mereka boleh mendapat bahagian setimpal dari sesuatu urusan yang melalui jabatan masing-masing.

Kepentingan negara dan rakyat tidak menjadi keutamaan pegawai dan petugas-petugas yang duduk di agensi-agensi pemerintah ini di dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Perkara pokok yang menjadi perhatian masing-masing ialah untuk menyapu seberapa banyak sogokan yang boleh guna mengembungkan kantung duit mereka.

Berlaku satu insiden mengejutkan, di negara besar itu, tidak lama dulu bagaimana penguasa kastamnya di sebuah pelabuhan membekukan kelulusan dan pengeluaran 11 kontena peralatan perubatan yang didermakan oleh sebuah negara luar untuk sebuah hospital daerahnya.

Meskipun mengetahui bahawa perlatan yang dihantar dari luar itu semata-mata untuk kepentingan perubatan rakyat daerah yang ditujukan itu, namun penguasa kastam berkenaan tetap tidak memberi kelulusan keluar penghataran bekalan berkenaan dari gedung simpananan di pelabuhannya dengan memberikan pelbagai alasan peraturan.

Di negara dengan bangsa besar ini prinsip kuasa, siapa besar, sogok, suap dan korupsi menjadi penentu setiap urusan. Tanpa kaitan dengan orang besar dan berkuasa maka peluang sesiapa saja untuk memenangi sesuatu projek atau pekerjaan, sama sekali tertutup.

Seorang pelajar yang pintar tidak akan berpeluang menyambung pelajaran di unversiti atau kolej tanpa sokongan dan kaitan mereka yang bergelar ‘orang besar’ atau ‘orang berkuasa’.Jika tidak ada kaitan orang besar, maka keluarga pelajar pintar ini terpaksa menyediakan suapan untuk seribu atau dua ribu dollar kepada pihak berkuasa di atas untuk membolehkan ia belajar di universiti atau kolej negaranya.

Tanpa kaitan orang besar, seorang rakyat biasa mesti menyediakan suapan yang lebih tinggi nilainya untuk membolehkannya berpeluang mendapat kerja di jabatan-jabatan pemerintah.

Untuk menjadi seorang anggota polis atau tentera, atau seumpamnaya yang lain, setiap pemohon mesti menyediakan beribu-ribu dollar wang suapan.

KESAN BERAT RASUAH

Demikian pula dengan urusan-urusan lain seperti memohon passport perjalanan antarabangsa, memohon lesen perniagaan, memohon tapak pertanian atau lain-lainnya. Hampir semuanya mesti memerlukan wang sogokan dan suapan.

Namun, apakah kesan berat yang mesti ditanggung oleh negara dengan bangsa besar ini ekoran amalan salah guna kuasa serta korupsi yang bermaharaja-lela demikian lama ini?

A. Pemerintahan negara mereka menjadi kucar kacir dan tidak terurus dengan baik.
B. Salahguna kuasa dan penyelewengan pentadbiran berlaku di sana sini di semua peringkat.
C. Kekayaan negara diselewengkan oleh orang-orang besar yang haloba dan tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dan negara.
D. Terjadinya jurang perbezaan yang amat ketara antara golongan kaya dengan golongan miskin. Yang kaya terus kaya dan yang miskin terus terhimpit dan melarat.
E. Keberkatan dan rahmat dari Allah sama sekali tertahan untuk negara dengan bangsa besar ini untuk tempoh yang sangat panjang sehingga sekarang, meskipun mereka sebagai suatu bangsa yang besar di samping memiliki sumber alam yang melimpah ruah.

Bangsa besar ini terus dihantui dengan pelbagai masalah sosial tahun demi tahun.Satu demi satu malapetaka dan bencana terus-terusan mendatangi negara dengan bangsa besar ini tahun demi tahun lantaran maksiat salahguna kuasa dan korupsi yang terus mereka lakukan siang dan malam.

Sekiranya makan daging babi, minum arak, judi, merompak dan membunuh itu sebagai haram dan maksiat paling besar yang dilakukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, maka adakah perbuatan mencuri wang negara, salahguna kuasa, suapan, sogokan, rasuah dan korupsi itu bukan suatu yang haram dan maksiat yang besar?

HINANYA PERBUATAN KORUPSI

Mengambil dan memakan wang dari suapan, sogokan, rasuah dan korupsi itu tentulah lebih buruk, jauh lebih hina berbanding dengan orang yang minum arak atau hukum ke atas seorang yang makan daging babi. Beratnya rasuah dan korupsi adalah lantaran ia melibatkan hak negara dan hak rakyat ramai.

Jika ibadah seorang itu tidak diterima dalam tempoh 40 hari selepas ia minum arak, maka adakah sembahyang dan doa mereka yang setiap hari terbabit dengan amalan salahguna kuasa, sogok, rasuah dan korupsi, juga akan diterima oleh Allah?


Fikir-fikirkan dengan jauh. Maka apabila seluruh masyarakat dan bangsa besar itu yang pada setiap masa terdedah dan terbabit dengan amalan salahguna kuasa dan rasuah, lalu apakah mungkin doa yang mereka panjatkan kepada Allah pada setiap pagi, petang dan malam akan terangkat dan menembusi pintu-pintu langit?

Lalu tidak hairanlah kiranya bala dan bencana terus datang dan menimpa mereka masa demi masa. Bahawa sebanyak manapun doa yang mereka panjatkan tidak dapat menolak kadatangan malapetaka yang datang lantaran maksiat korupsi dan rasuah yang mereka lakukan setiap hari.

Demikianpun, kesan psikologi yang lebih buruk terpaksa dianggung oleh negara dengan bangsa besar ini akibat terbelenggu dengan budaya sogokan, suapan dan korupsi ini. Kesan balas itu di antaranya:-

A. Wujudnya sikap sombong dan meninggi diri yang melampau di kalangan golongan berada dalam semua situasi. Golongan rakyat biasa menjadi tertekan, menjadi pesuruh dan hamba kepada mereka yang berada.

B. Hilangnya nilai diri rakyat umum lantaran kuasa, kekayaan dan kedudukan, (bukannya budi dan akhlak yang tinggi) menjadi pengukur status mereka.

C. Wang menjadi penentu setiap sesuatu.

D. Hilangnya sikap menghormati jiran atau orang lain; yang baik di pandang buruk, manakala yang buruk dipandang baik.

E. Rasuah sekaligus mempengaruhi mentaliti dan sikap rakyat dari nilai baik kepada sesuatu yang hodoh dan jelik dari masa ke masa.

F. Budaya rasuah secara tidak langsung mengotori fikiran dan mentaliti masyarakat, dari sebuah bangsa besar yang mulia dan dihormati, bertukar menjadi masyarakat yang rendah mentaliti dan daya fikirnya.

Dan sesungguhnya yang lebih menyayatkan bahawa orang luar melihat rakyat dari negara dengan bangsa besar ini penuh dengan tandatanya, penuh sinis dan rendah.

Apakah mereka yang mendabik dada sebagai satu ‘Bangsa Yang Besar’ ini layak dipandang sebagai kumpulan bangsa yang mulia dan dihormati sekiranya hukum ‘siapa kuat siapa dapat’ menjadi asas budaya bangsa ini?

Dan suatu hari nanti Malaysia dan rakyatnya akan turut dipandang rendah oleh dunia, seperti apa yang dialami oleh negara dengan bangsa besar itu, sekiranya salahguna kuasa oleh mereka yang berkuasa, rasuah, sogokan, suapan dan korupsi dibiarkan terus membiak dalam sistem pentadbiran dan kehidupan rakyat sekarang.

SELAMATKAN MALAYSIA! Bunuhlah salahguana kuasa, korupsi dan rasuah hari ini juga kerana rasuah akan memembunuh tamaddun sebuah bangsa.
Read more ...

Wednesday, June 17, 2009

MEMORI TSUNAMI ACEH ( 2 )

Bot kayu ini terus berpangku di anjung terbuka kediaman Haji Misbah di Desa Lampulo sejak Tsunami melanda Aceh 24 Dis. 2004.

KISAH ANEH BAHTERA AJAIB MENJADI PENYELAMAT
59 PENDUDUK LAMPULO

Basyariah baru sahaja selesai melakukan solat sunat dhuha jam 8.00 pagi itu apabila seorang anak perempuannya berteriak dengan suara penuh terperanjat: “Air sudah naik makkk........!”.

Ibu berusia 60 tahun itu terus bergegas ke pintu depan. Dia terkejut melihat air laut meluru laju di lorong jalan di muka rumahnya. Dan dalam beberapa saat itu juga air yang penuh dengan sampah sarap dan kotoran sudah pun memenuhi ruang tamu rumah mereka.

Seluruh kejiranan Lampulo, sebuah perkampungan lama yang padat dengan penduduk, terletak di arah utara 4 km dari Banda Aceh, pagi itu riuh dan gempita dengan jeritan di sana sini. Gelombang gergasi paling dahsyat dan mengerikan tiba-tiba sahaja menjelma, menghempas dan membanting lumat kampung mereka pagi ini.

Dua anak lelakinya, Mujiburrijal dan Zulfilkar sudahpun memanjat serambi tingkat atas rumah jiran di sebelah mereka, rumah milik Haji Misbah, meninjau cemas kemaraan air laut yang begitu keras dan mendadak.

Anak perempuan berusia dua-puluhan tadi terus menyambar tangan ibu itu dan bergegas menariknya merandau air yang kini meningkat separas pinggang. Dia menarik kuat tubuh ibunya merempuh air berarus kencang dan terus memanjat tangga rumah jirannya. Basyariah dan anak perempuannya kini terselamat dari tarikan air laju ini.

Dan seketika itu juga seorang lelaki jiran di belakang rumahnya berteriak di depan tangga meminta tolong mengangkat seorang saudara perempuannya berusia 28 tahun yang cacat. Seorang ibu muda berwajah penuh cemas turut terkapai-kapai meredah air yang semakin tinggi sambil menghulur anak kecilnya yang baru berusia empat bulan untuk diselamatkan.

Dalam keadaan demikian tegang dan mengerikan, seorang tua berusia 80 tahun, yang juga jiran mereka, turut ditarik dua lelaki berhampiran ke tangga yang sama untuk diselamatkan dari kemaraan air laut yang terus meninggi.

Dua bilik sederhana bersama serambi terbuka di tingkat atas rumah Haji Misbah pagi itu menjadi kubu tunggal terakhir penduduk berhampiran menyelamatkan diri dari ancaman gelombang besar yang menghempas Lampulo dan seluruh pesisiran Aceh pagi itu.

Gegaran kuat hasil ledakan gunung berapi bawah laut di pantai barat Aceh jam 8.15 pagi itu
telah mencetuskan kemunculan gelombang laut maha dahsyat dan paling mengerikan pernah disaksikan dunia.

Gelombang yang bernama ‘tsunami’ itu menggulung dan meratah bumi di sepanjang pasisiran pantai Aceh, dari barat hingga ke hujung utara dan timurnya. Tsunami menghancurkan setiap apa saja yang dilalui dan ditemuinya.

Tsunami melambung dan menghayun kapal serta bot-bot besar hingga ke jarak 10 km ke tengah daratan. Rumah-rumah yang kecil dan besar, yang gagah mahupun yang lemah, diratahnya sehingga berkecai tanpa bekas. Jajaran tumbuhan yang membarisi pantai turut lumat dibahamnya. Beribu-ribu hektar jelapang padi yang luas dan kolam ternakan ikan dan udang musnah dan ranap seranapnya.

Seluruh persekitaran Lampulo serta Syah Kual, jiran di hujungnya, pagi itu tiba-tiba rata dan lebur diratah tsunami. Seluruh kolam ikan dan udang serta jelapan-jelapang padinya turut hancur dan lumat diganyang tsunami. Dan semakin menderita lagi apabila lebih 6,000 penduduknya terbunuh dalam keadaan paling mengerikan.

Di celah-celah 59 orang yang berasak-asak di lantai tingkat atas rumah Haji Misbah pagi itu, Basyariah memerhatikan perubahan arus yang semakin kencang dan tinggi. Kediaman mereka terletak hampir 2 km jauhnya dari pantai. Tak pernah air pantai sampai ke sini sebelum ini.

Gelombang kedua tiba-tiba menerpa dari jauh. Ia muncul bersama ombak yang keras menggulung dan berpusar, dan menghantar bersamanya sampah sarap serta pelbagai bahan bongkah yang kecil dan besar.

Mayat-mayat penduduk Lampulo dilihat berserakan di sana sini bercampur baur bersama bongkah dan sampah sarap yang bercampur baur tadi.

Basyariah melihat dekat pusaran air kencang yang menggegar tingkat atas tempat keluarganya dan jiran-jirannya yang sedang bertahan di situ.

Keadaan semakin cemas dan menakutkan. Semua mata bertumpu ke arah gelombang tsunami yang menghempas.

Kalbunya bergelora melihat gelombang di depan, seperti gelora ombak yang datang bersama tsunami. Dan di saat penuh bergelora itu tiba-tiba melompat kata-kata dari bibir Basyariah:

“Subhanallah....... kiamat kita hari ini.”

“Tidak mak........!” jerit anak perempuannya tadi untuk menenangkan hati ibunya itu. “Ini adalah suatu bencana mak, suatu bala yang Allah turunkan,” sambung anaknya itu lagi.

Rumah batu tempat bertahan kumpulan 59 anggota kejiranan Lampulo itu masih bertahan meskipun bertalu-talu dihentak gelombang tsunami. Pokok-pokok besar dan rumah-rumah lain di depan dan di sekeliling mereka tidak lagi tegak. Semuanya luluh, lumat diratah tsunami.

Tiap-tiap wajah manusia yang memenuhi lantai tingkat dua rumah kecil itu tampak resah dan cemas sekali. Air semakin meninggi dan laju. Ke mana mampu mereka menyelamatkan diri sekiranya ia terus meninggi menyapu bumbung rumah?

Mungkingkah mereka akan menerima nasib sama dengan mayat-mayat yang berserakan bersama timbunan sampah dan kayu-kayu dihanyutkan tsunami seperti yang mereka saksikan sekarang?

Di tengah semua keresahan itu tiba-tiba jauh di hujung utara Lampulo, sebuah bot besar muncul bersama gelombang tsunami yang datang dari arah laut. Bot itu menuju tepat ke arah rumah tunggal tempat berkubu 59 penduduk tersebut. Ia semakin hampir merapati rumah kubu mereka.

Suasana riuh dengan teriakan-teriakan cemas dan ngeri terus meletus. Di samping gelombang berarus deras dan berpusar-pusar, mereka kini berdepan dengan kemaraan sebuah bot besar yang bergerak laju, tepat mensasarkan haluan ke arah anjung kubu mereka.

Namun Basyariah bersama keluarganya serta semua jiran-jiran yang memenuhi anjung dan bilik-bilik lantai atas rumah Haji Misbah itu sekali lagi mengurut dada. Lega. Timbunan sampah sarap yang tersangkut pada anjung rumah itu telah memperlahankan dan menghalang bot besar itu dari terus menghentam mereka.

Ia tiba-tiba berpusing ditolak air, badannya mengiring dan tersangkut merobohkan bumbung dan tiang bahagian atas anjung itu.

Semua keluarga sasaran tsunami yang bertahan di rumah kecil ini kehairanan melihat bot kayu berukuran 60 kaki panjang itu. Ia datang bersendiri tanpa awak-awak, tanpa jurumudi.

Suasana sekaliling senyap dan sepi. Yang kedengaran cuma bunyi ombak dan arus yang menderu laju.

Mujiburrijal,25, dan adiknya Zulfikar,23, dibantu beberapa lelaki lain menghampiri bot itu. Mereka beramai-ramai cuba menolak dan menariknya sehingga ia benar-benar rapat tersangkut pada rumah kubu mereka.

Mujiburrijal, sekarang anggota kumpulan nasyid Raihan di Kuala Lumpur, dengan terkial-kial dan cemas terus saja cuba memanjat menaiki bot ajaib itu. Setelah berada di atasnya dia terperanjat sekali bahawa tiada sesiapa pun berada di dalamnya.

Dan tanpa berlengah dia terus melaungkan azan tiga kali berturut-turut di pelantar haluan bot itu, di bahagian tengah serta di bahagian kemudinya.

“Allah maha agung, maha besar,” bisik Basyariah kepada saya dalam pertemuan di rumahnya pagi Ahad lepas. “Allah telah menghantarkan kami sebuah perahu dan menyelamatkan kami dari maut ditelan tsunami,” ujar ibu itu lagi. Basyariah dan keluarga pulang menduduki rumah bertuah mereka itu sejak setahun lepas.

Bot keramat itu dilambung tsunami dari pengkalan perikanan Lampulo dan hanyut 2 km jauhnya hingga ke rumah kubu terakhir keluarga penduduk berkenaan.

Kesemua 59 orang yang berasak-asak di ruang sempit lantai atas rumah Haji Misbah di Lampulo pagi paling mengerikan itu seorang demi seorang memanjat naik bot keramat itu tanpa seorangpun yang tertinggal.

Tengahari itu, kira-kira jam 1.00, dua anak kecil, yang bersama terselamat bersama mereka, menangis lantaran lapar dan kehausan. Tapi si ibu tak mampu memberikannya apa. Bot penyelamat mereka kosong tanpa air, tanpa makanan. Air yang membuak tinggi di seluruh rantau Lampulo pagi itu menghantar semua daki dan kotoran. Penuh dengan danur, busuk dan segala yang mengerikan
.
Sekali lagi penghuni bahtera keramat itu teruji.

Dan sekali lagi kesemua mereka melihat kebesaran Allah seketika itu juga. Tiba-tiba mereka terlihat setandan kelapa muda terapung bersama ombak tusnami yang mula lemah, merapti bahtera tumpangan itu.

“Allah menghantar kami minuman ketika anak-anak kecil ini menangis lapar dan dahaga,” ujar Ibu Basyariah.

Dia dan beberapa ibu lain pun sama sedikit dapat menjamah isinya ketika kelaparan mula terasa.

Dan bot besar itu, yang kini masih terpangku di pelantar anjung terbuka tingkat atas rumah Haji Misbah, menjadi skasi bahawa ia adalah sebuah ‘bahtera keramat’ yang telah menyelamatkan 59 penduduk satu kejiranan kecil di Lampulo dari maut digulung dan diratah tsunami empat setengah tahun yang lalu.

Ia kini kekal sebagai salah satu daripada barisan bahan-bahan penting lain yang dikekalkan sebagai bukti penting mengenai sejarah betapa maha dahsyat dan ganasnya ‘tsunami’ yang menggulung bumi Aceh pagi 26 Disember 2004.

Nanggroe Aceh Darussalam lesu tak bermaya untuk tempoh setahun dua setelah dilanggar bencana maha mengerikan. Ia menangis hiba meratapi lebih 200,000 rakyatnya berselerakan maut digulung dan diratah tsunami. Berpuluh-puluh ribu lagi hilang tanpa terkesan.

Read more ...
Designed By