Breaking News

Wednesday, September 2, 2009

RASUAH PEMBUNUH TAMADDUN BANGSA

RENUNGAN RAMADHAN: Rasuah Yang Semakin Membunuh Sebuah Bangsa Besar.

AWALNYA saya tertanya-tanya penuh kehairanan bagaimana sebuah bangsa besar dengan wilayah yang luas serta memiliki kekayaan hasil bumi yang melimpah ruah, tetapi rakyatnya terus hidup tertekan, terhimpit dengan kemiskinan dan keperitan yang berpanjangan?

Lalu beberapa bulan kemudiannya, setelah mengamati semua perkara dengan mendalam, saya terpegun ketakutan yang amat sangat menyedari bahawa wujudnya wabak penyakit yang lebih buruk dari aids, selsema burung atau selsema babi, menjadi punca utama yang menyebabkan negara dan bangsa besar itu terus terbelenggu dengan pelbagai kesempitan dan malapetaka berpanjangan ini.

Wabak penyakit paling bahaya yang bertapak di setiap inci bumi dan pulau-pulau negara itu ialah wabak penyahgunaan kuasa oleh setiap tenaga kerja pemerintah, penyakit rasuah, sogokan dan amalan korupsi yang berleluasa yang bertapak dari gedung-gedung pejabat paling tinggi di kota-kota hingga menyusup ke kampung-kampung dan perairan negaranya.

Di negara besar yang kita ceritakan ini, yang amat jauh dari benua kita ini, amalan rasuah saudah jadi makanan harian orang-orang yang berkuasanya, sampailah kepada rakyat-rakyatnya yang tinggal di bandar atau yang jauh di pedalaman.

SEMUANYA SOGOK, RASUAH

Hampir setiap urusan yang berkait dengan pihak berkuasa sentiasa terkait dengan amalan sogok, korupsi, rasuah dan amalan salahguna kuasa.

Sogokan duit atau matabenda lainnya menjadi syarat utama untuk membolehkan sesuatu urusan berjalan lancar dan terlaksana di negara dengan bangsa besar ini. Makin besar dan tinggi pegawai yang diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu urusan, maka makin besar dan tinggilah nilai sogokan dan suapan yang mesti disediakan. Tanpa wang suapan dan sogokan, maka urusan berkenaan akan ditinggal berlapok di atas meja.

Di negara dengan bangsa besar ini, sejak lebih 50 tahun yang dulu, ciri-ciri sogokan dan korupsi di kalangan pemerintah dan orang-orang yang berkuasanya, telah mula berkembang dan kemudiannya merebak dan berakar-umbi sehinggga ke peringkat bawahan serta setreusnya di kalangan masyarakat keseluruhannya.

Suapan, sogokan dan korupsi menjadi penentu segala urusan mereka. Industri kewangan yang mahukan kerajaan menggubal dasar yang memihak kepada kepentingan mereka, harus membuat sogokan kepada barisan pegawai-pegawai pemerintah yang membuat dasar.

Pihak berkuasa sebuah daerah yang mahukan sesuatu projek besar dilaksanakan di kawasan mereka, harus membuat sogokan kepada pemerintah negeri atau negara yang berkuasa di atasnya untuk membolehkan projek berkenaan dilaksanakan.

KUASA MASING-MASING

Setiap urusan pembelian kelengkapan keperluan negara atau negerinya tidak terlepas dari penyalahgunaan kuasa pihak teratas serta dengan pelbagai amalan rasuah yang sekaligus dipoketkan secara licin dan senyap-senyap oleh pegawai atasannya.

Di negara besar ini, setiap peringkat agensi negara mempunyai kuasa masing-masing. Petugas-petugasnya akan menggunakan setiap ruang kuasa yang ada pada mereka untuk mencari jalan bagaimana mereka boleh mendapat bahagian setimpal dari sesuatu urusan yang melalui jabatan masing-masing.

Kepentingan negara dan rakyat tidak menjadi keutamaan pegawai dan petugas-petugas yang duduk di agensi-agensi pemerintah ini di dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Perkara pokok yang menjadi perhatian masing-masing ialah untuk menyapu seberapa banyak sogokan yang boleh guna mengembungkan kantung duit mereka.

Berlaku satu insiden mengejutkan, di negara besar itu, tidak lama dulu bagaimana penguasa kastamnya di sebuah pelabuhan membekukan kelulusan dan pengeluaran 11 kontena peralatan perubatan yang didermakan oleh sebuah negara luar untuk sebuah hospital daerahnya.

Meskipun mengetahui bahawa perlatan yang dihantar dari luar itu semata-mata untuk kepentingan perubatan rakyat daerah yang ditujukan itu, namun penguasa kastam berkenaan tetap tidak memberi kelulusan keluar penghataran bekalan berkenaan dari gedung simpananan di pelabuhannya dengan memberikan pelbagai alasan peraturan.

Di negara dengan bangsa besar ini prinsip kuasa, siapa besar, sogok, suap dan korupsi menjadi penentu setiap urusan. Tanpa kaitan dengan orang besar dan berkuasa maka peluang sesiapa saja untuk memenangi sesuatu projek atau pekerjaan, sama sekali tertutup.

Seorang pelajar yang pintar tidak akan berpeluang menyambung pelajaran di unversiti atau kolej tanpa sokongan dan kaitan mereka yang bergelar ‘orang besar’ atau ‘orang berkuasa’.Jika tidak ada kaitan orang besar, maka keluarga pelajar pintar ini terpaksa menyediakan suapan untuk seribu atau dua ribu dollar kepada pihak berkuasa di atas untuk membolehkan ia belajar di universiti atau kolej negaranya.

Tanpa kaitan orang besar, seorang rakyat biasa mesti menyediakan suapan yang lebih tinggi nilainya untuk membolehkannya berpeluang mendapat kerja di jabatan-jabatan pemerintah.

Untuk menjadi seorang anggota polis atau tentera, atau seumpamnaya yang lain, setiap pemohon mesti menyediakan beribu-ribu dollar wang suapan.

KESAN BERAT RASUAH

Demikian pula dengan urusan-urusan lain seperti memohon passport perjalanan antarabangsa, memohon lesen perniagaan, memohon tapak pertanian atau lain-lainnya. Hampir semuanya mesti memerlukan wang sogokan dan suapan.

Namun, apakah kesan berat yang mesti ditanggung oleh negara dengan bangsa besar ini ekoran amalan salah guna kuasa serta korupsi yang bermaharaja-lela demikian lama ini?

A. Pemerintahan negara mereka menjadi kucar kacir dan tidak terurus dengan baik.
B. Salahguna kuasa dan penyelewengan pentadbiran berlaku di sana sini di semua peringkat.
C. Kekayaan negara diselewengkan oleh orang-orang besar yang haloba dan tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dan negara.
D. Terjadinya jurang perbezaan yang amat ketara antara golongan kaya dengan golongan miskin. Yang kaya terus kaya dan yang miskin terus terhimpit dan melarat.
E. Keberkatan dan rahmat dari Allah sama sekali tertahan untuk negara dengan bangsa besar ini untuk tempoh yang sangat panjang sehingga sekarang, meskipun mereka sebagai suatu bangsa yang besar di samping memiliki sumber alam yang melimpah ruah.

Bangsa besar ini terus dihantui dengan pelbagai masalah sosial tahun demi tahun.Satu demi satu malapetaka dan bencana terus-terusan mendatangi negara dengan bangsa besar ini tahun demi tahun lantaran maksiat salahguna kuasa dan korupsi yang terus mereka lakukan siang dan malam.

Sekiranya makan daging babi, minum arak, judi, merompak dan membunuh itu sebagai haram dan maksiat paling besar yang dilakukan oleh seorang hamba terhadap Tuhannya, maka adakah perbuatan mencuri wang negara, salahguna kuasa, suapan, sogokan, rasuah dan korupsi itu bukan suatu yang haram dan maksiat yang besar?

HINANYA PERBUATAN KORUPSI

Mengambil dan memakan wang dari suapan, sogokan, rasuah dan korupsi itu tentulah lebih buruk, jauh lebih hina berbanding dengan orang yang minum arak atau hukum ke atas seorang yang makan daging babi. Beratnya rasuah dan korupsi adalah lantaran ia melibatkan hak negara dan hak rakyat ramai.

Jika ibadah seorang itu tidak diterima dalam tempoh 40 hari selepas ia minum arak, maka adakah sembahyang dan doa mereka yang setiap hari terbabit dengan amalan salahguna kuasa, sogok, rasuah dan korupsi, juga akan diterima oleh Allah?


Fikir-fikirkan dengan jauh. Maka apabila seluruh masyarakat dan bangsa besar itu yang pada setiap masa terdedah dan terbabit dengan amalan salahguna kuasa dan rasuah, lalu apakah mungkin doa yang mereka panjatkan kepada Allah pada setiap pagi, petang dan malam akan terangkat dan menembusi pintu-pintu langit?

Lalu tidak hairanlah kiranya bala dan bencana terus datang dan menimpa mereka masa demi masa. Bahawa sebanyak manapun doa yang mereka panjatkan tidak dapat menolak kadatangan malapetaka yang datang lantaran maksiat korupsi dan rasuah yang mereka lakukan setiap hari.

Demikianpun, kesan psikologi yang lebih buruk terpaksa dianggung oleh negara dengan bangsa besar ini akibat terbelenggu dengan budaya sogokan, suapan dan korupsi ini. Kesan balas itu di antaranya:-

A. Wujudnya sikap sombong dan meninggi diri yang melampau di kalangan golongan berada dalam semua situasi. Golongan rakyat biasa menjadi tertekan, menjadi pesuruh dan hamba kepada mereka yang berada.

B. Hilangnya nilai diri rakyat umum lantaran kuasa, kekayaan dan kedudukan, (bukannya budi dan akhlak yang tinggi) menjadi pengukur status mereka.

C. Wang menjadi penentu setiap sesuatu.

D. Hilangnya sikap menghormati jiran atau orang lain; yang baik di pandang buruk, manakala yang buruk dipandang baik.

E. Rasuah sekaligus mempengaruhi mentaliti dan sikap rakyat dari nilai baik kepada sesuatu yang hodoh dan jelik dari masa ke masa.

F. Budaya rasuah secara tidak langsung mengotori fikiran dan mentaliti masyarakat, dari sebuah bangsa besar yang mulia dan dihormati, bertukar menjadi masyarakat yang rendah mentaliti dan daya fikirnya.

Dan sesungguhnya yang lebih menyayatkan bahawa orang luar melihat rakyat dari negara dengan bangsa besar ini penuh dengan tandatanya, penuh sinis dan rendah.

Apakah mereka yang mendabik dada sebagai satu ‘Bangsa Yang Besar’ ini layak dipandang sebagai kumpulan bangsa yang mulia dan dihormati sekiranya hukum ‘siapa kuat siapa dapat’ menjadi asas budaya bangsa ini?

Dan suatu hari nanti Malaysia dan rakyatnya akan turut dipandang rendah oleh dunia, seperti apa yang dialami oleh negara dengan bangsa besar itu, sekiranya salahguna kuasa oleh mereka yang berkuasa, rasuah, sogokan, suapan dan korupsi dibiarkan terus membiak dalam sistem pentadbiran dan kehidupan rakyat sekarang.

SELAMATKAN MALAYSIA! Bunuhlah salahguana kuasa, korupsi dan rasuah hari ini juga kerana rasuah akan memembunuh tamaddun sebuah bangsa.

No comments:

Designed By