Breaking News

Friday, September 4, 2009

PELAJAR INDON NYALAKAN API KONFRONTASI

DALAM ketika Malaysia bekerja keras membangun negara dan mengangkat darjat bangsa ke tahap lebih tinggi, ada jiran yang merasa tidak senang dengan pencapaian kita.

Rata-rata rakyat Malaysia kini benar-benar kebingungan melihat telatah lucu penuh jengkel oleh sebahagian kecil rakyat jiran terdekat kita, Indonesia, yang tiba-tiba melenting mahu mengganyang Malaysia seminggu dua ini, cuma kerana isu pemakaian tarian ‘Pendet’dalam klip pelancongan ‘Enigmatic Malaysia’ yang disiarkan melalui Discovery Channel.

Kemarahan mereka, di tengah-tengah kepanasan itu, diledakkan lagi oleh kemunculan satu lirik sindiran terbitan seorang blogger misteri, melalui satu posting di Amerika Syarikat, lirik yang dianggap memperlekehkan lagu nasional ‘Indonesia Raya’ dengan isi kata yang seolah-olah merendahkan martabat rakyat dan Indon sendiri.

Dan selepas ‘kecurian’ pendet, lirik sindiran panas oleh blogger misteri itu, seperti yang disebar luas oleh media-media Indon, antara lain berbunyi:-

Negaraku
Gugusan pulau tidak bermutu,
Kebakaran jenggot berkutu,
Sepanjanglah waktu,

Rahmat yang ada,
Selalu dipersia,
Sultan lamanya,
Ke manakah baginda?

Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia Isnin 31 Ogos lepas, kumpulan Ikatan Mahasiswa Muhamadiyah di Medan mengadakan demonstrasi berarak menuju ke pejabat kosong Konsul Besar Malaysia di Jalan Diponegoro, melaungkan teriakan “Ganyang Malaysia!”

Mereka terjerit-jerit dengan laungan: Malaysia tak punya jati diri, tak punya wibawa, merampas kekayaan Indonesia. Dengan penuh emosi dan kebencian pelajar-pelajar ini membakar bendera Malaysia disamping menconteng papan tanda nama pejabat konsol Malaysia di sana.

Tunjuk perasaan dan tindakan membakar bendera yang sama dilakukan oleh kumpulan mahasiswa di Jakarta pagi Rabu lepas. Dan petangnya tunjuk perasaan mereka disambut dengan gegaran gunung berapi di Tasik Malaya dan persekitarannya di Jawa Barat yang meragut lebih 50 jiwa dan meranapkan lebih 10,000 rumah kediaman.

Lewat seminggu lepas Universiti Diponegoro, Semarang, mengambil keputusan tidak akan menerima sebarang permohonan pelajar baru dari Malaysia untuk tahun pengajian 2009-2010. Mereka bagaimanapun tidak memberitahu wujud tidaknya sebarang permohonan dari pelajar Malaysia untuk menuntut di sana sehingga kini.

Rektor Undip, Susilo Wibowo berkata penolakan itu kerana selama ini Malaysia dalam banyak hal sering tidak menghargai nilai dan martabat bangsa Indonesia termasuk, apa yang menurutnya, perbuatan Malaysia mengguna pakai beberapa budaya yang berasal dari Indonesia.

Hujung minggu lalu setiausaha agung Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia, Cokro Wibowo menggesa Jakarta menyemak kembali hubungan diplomatiknya dengan Kuala Lumpur kerana, dakwanya, Malaysia kerap melukakan perasaan dan menyanggah kewibawaan Indonesia.

Diantara seni yang sangat menyakiti dan menyedihkan perasaan masyarakat Indon termasuklah perbuatan masyarakat Malaysia mempopularkan lagu ‘Rasa Sayanga Eh’ (katanya berasal dari Maluku), Soleram (Riau), Enjit-enjit Semut (Jambi), senireka batik, tenunan, hidangan makanan dan beberapa yang lain.

Kemarahan terhadap isu ‘pendet’ sehingga mendorong pemimpin-pemimpin budaya Bali serta beberapa kumpulan ‘mahasiswa demonstrasi Indon’ mendesak kerajaan mereka memutuskan hubungan dua hala dengan Kuala Lumpur.

Di samping laungan supaya rakyat Indon memboikot semua barangan Malaysia, ada pula suara-suara keras, terutama komentar pembaca menerusi berita-berita medianya, yang mahukan rakyat Indon mengangkat senjata menyerang, mengganyang dan menawan Malaysia seperti kempen ‘Konfrontasi’ dan ‘Ganyang Malaysia’ yang dilancarkan oleh kepimpinan Sukarno di bawah pengaruh komunis 1963 dulu.

Dan tidak kurang pula suara yang mahukan Jakarta memanggil pulang semua tenaga kerja Indon (TKI) di Malaysia kerana bagi mereka Malaysia tidak mampu membangun seperti sekarang tanpa bantuan dan kerja keras semua tenaga kontrak ini.

Sampai bila harus kumpulan kecil pelajar dan penggerak-penggerak ‘budaya demonstrasi’ Indonesia ini terus menyalakan api kebencian dan permusuhan terhadap Malaysia, pastinya diperhatikan oleh dunia dengan penuh sinis. Ikatan budaya yang seharusnya menjadi alat jalinan dua bangsa kini, hairannya, bertukar menjadi punca ketegangan yang sama sekali tidak dapat diterima oleh sebahagian kecil masyarakat Indon.

No comments:

Designed By