Breaking News

Monday, October 3, 2011

KEMBARA LHOKSEUMAWE 2


Saya berkunjung ke Medan, kota utama Pulau Sumatra, hujung minggu lepas. Perjalanan dari Medan ke Lhokseumawe, yang cuma berjarak lebih sedikit dari 320 kilometer, sangat meresahkan.
Jalan utama yang menyambung Medan dengan Bandar-bandar di provinsi Aceh ……..aduhhh…. memang menggetarkan. Teringat dengan wajah jalan-jalan yang kita lalui antara Johor Bharu hingga ke Alor Setar 50 tahun yang silam.
Mulai jam 9.30 pagi meninggalkan kota Medan Sabtu itu, bas yang dinaiki cuma tiba di kota Lhokseumawe jam 5.30 petangnya. Itupun dengan bas berhenti sekali sahaja selama 15 minit untuk penumpang makan dan minum.
Keesokannya, setelah berehat penuh sepanjang malam, hati terubat juga. Gembira dan ceria. Bahawa Lhokseumawe menghidangkan banyak keistimewaan yang boleh memikat pengunjung-pengunjungnya.
Anak-anak yang sedang memanjat umur remaja gembira bila foto mereka diabadikan di gigi air pantai Lhokseumawe
Lhokseumawe adalah sebuah kota berdataran luas dan rendah dengan dadanya menghala ke perairan luas Selat Melaka. Sungai dan teluk-teluk kecil membelah ke bahagian tepi kota kesayangan Aceh ini.
Pagi ini bersama seorang rakan tempatan, Razali Abdullah, saya menuju ke pantai di hujung kota Di sini merupakan kehidupan tersembunyi dan pusat kegiatan nelayan Lhokseumawe.
Lorong kecil yang membelah di tengah penempatan nelayan di belakang pasar umum Lhokseumawe menceritakan keindahan kehidupan warga-warga kecil pesisiran pantai Lhokseumawe.

Di belakang bangsal dan pondok-pondok berbumbung atap yang berselerak di pantai ini tercatat semua cerita keloh kesah dan kegembiran masayarakat nelayan Aceh.

Kami memasuki kawasan deretan rumah-rumah yang dibina di pesisiran pantai di bahagian belakang pasar umum kota Lhokseumawe. Anak-anak kecil bermain riang di lorong berlantai papan di tengah penempatan yang unik ini. Anak-anak ini tidak tahu dan tidak mengerti ancaman ekonomi yang mungkin melanda Lhokseumawe setahun dua lagi selepas tutupnya perusahaan gas asli dan baja urea di kota mereka.

Cuma beberapa buah sahaja bot nelayan komersial berlabuh di pengkalan nelayan ini pagi itu. Perahu-perahu tradisi yang kecil masih lagi bertahan di sini sehingga ke hari ini. Para nelayan ramai yang berehat di pagi minggu ini. Beberapa buah warong kopi di bibir pantai dipenuhi nelayan yang minum pagi.

Di warong-warong istimewa ini mereka bertukar pelbagai cerita mengenai tankapan sehari dua dulu, cerita keloh kesah mereka mencari rezeki, cerita tentang korupsi yang terus hidup dan membiak di tanah Aceh, atau cerita mengenai siapa yang bakal terpilih memimpin Aceh pada pilihanraya provinsi 24 Disember depan.

Mulanya saya kepingin mahu tahu apakah yang sedang dibuat oleh si kecl ini dengan bekas takungan air di pinggir lorong berlantai papan ini. Ohhh...... rupa-rupanya dia sedang bermain sendirian dengan permainannya. Anak-anak di penempatan agak sesak ini demikian kreatif. Mereka mampu menggunakan apa jua bahan yang ada untuk dijadikan alat permainan atau seumpamanya.

No comments:

Designed By