Ini merupakan kisah benar (suatu ending menyayat) yang menimpa ke atas seorang tokoh niaga dari KL setelah lima tahun berkahwin dengan cewek cilik dan mongel dari Kota Medan.
Alkisah bermula enam tahun yang silam bilamana seorang ahli perniagaan dari KL setiap bulan sepanjang tahun kerap terbang ke Medan kerana begitu terpikat dengan pelbagai tarikan yang dihidangkan oleh kota metropolitan ini.
Peluang niaga sangat terbuka di sini...... lumayan Pak. Lalu si peniaga berusia 57 tahun ini, dengan modal yang tidak terhad, terjun menyertai masyarakat peniaga Medan yang lain, memulakan usaha di bidang pelancongan.
Setelah tiga empat bulan berjalan lumayan sekali keuntungannya. Sangat mantap.
Sambil itu dia berkenalan dengan gadis cilik berusia 21 tahun. Gadis Medan ini memang mantap, menarik dan bergaya. Diambilnya si cilik ini bekerja dengan syarikatnya di kota ini. Sebulan dua kemudian si manis yang manja ini diambilnya sebagai seorang isteri. Dia bernikah dengan si cilik ini tanpa pendaftaran rasmi yang sepatutnya.
Selepas tiga empat bulan bernikah dia melantik isteri mudanya ini duduk sebagai pengarah dan pemegang saham utama syarikatnya. Semua urusan syarikat juga dikendalikan sepenuhnya oleh isteri barunya ini.
Masa terus berjalan. Perkahwinan peniaga KL dan cilik Medan ini dikurniakan dua orang anak – seorang lelaki dan seorang lagi perempuan. Kehidupan keluarga ini memang bahagia apalagi kerana usahawan KL ini membina sebuah rumah besar di suatu penempatan mewah kota Medan untuk isteri dan anak-anaknya di sini.
Lima tahun kemudian pak usahawan KL ini, dengan usianya yang sudah melepasi batas 60 tahun, tidak lagi dapat kerap terbang ke Medan untuk menjenguk isteri dan anak-anaknya. Kesihatannya sudah banyak terganggu oleh serangan macam-macam penyakit.
Meskipun tidak sihat seperti dulu, dia terbang juga ke kota Medan beberapa bulan kemudiannya walaupun terpaksa berjalan dengan sebatang tongkat.
Berulang kali dia menghugungi isteri ciliknya melalui telefon. Tapi tidak berjawab. Telefon isterinya dimatikan. Dia menuju ke rumah mewah yang dibinanya dulu. Tapi rumah itu sepi tanpa penghuni, tanpa kehadiran isteri dan anak-anaknya meskipun semua peralatan rumah tetap bersih, teratur.
Dia terus ke kantor syarikatnya di tengah kota. Urusan syarikatnya berjalan seperti biasa, tapi isterinya juga tidak ada di kantor pada hari itu.
Dilihatnya reaksi para pekerjanya tidak seperti biasa......... gembira atau ceria ketika setiap kali kehadirannya di kantor niaganya sebelum ini.
Dia masuk menjenguk pejabat pengarah. Namun isteri mudanya tidak ada di situ.
Semua pekerja menyepi, tanpa suara, tunduk tidak mengangkat muka.
Dia bertanya kepada mereka ke mana ibu pengarah syarikatnya. Dan masing-masing tetap tunduk menyepi.
Lalu kemudian seorang petugas agak berumur merapatinya berbisik perlahan:
“Maaf pak, isteri bapak sudah berlaku curang pak.”
“Dia sudah menikah dengan jejaka lain pak,” kata petugas itu dengan wajah penuh kesal.
Usahawan hebat dari KL itu terus terduduk. Tubunya lesu. Terasa seperti setiap saraf tubuhnya direntap keras. Matanya terbuka besar tanpa berkelip memandang ke arah potret isteri dan anak-anaknya yang terpapar di dinding depan.
Sel-sel di otak kepalanya berubah panas, menerjah kencang ke setiap penjuru dan rongga. Bagaimana harus dia menerima dan mempercayai semua ini akan berlaku ke atas dirinya.
Bagaimana dia mampu menerima hakikat bahawa isterinya telah berkahwin dan bernikah dengan seorang lelaki lain dalam ketika si cilik itu masih menjadi isterinya dan bahawa dia tidak pernah menceraikannya.
Namun apa yang berlaku pasti akan berlaku dan jejak-jejak episod ceritanya tidak dapat ditarik kembali.
Dan lebih parah dari itu bahawa lelaki yang menjadi suami baru isteri kesayangannya itu tidak lain dari supirnya (pemandu) sendiri yang diambil berekja bilamana isterinya dulu dilantik sebagai pengarah syarikat.
Rupa-rupanya si cilik isterinya dan supir tadi telah sekian lama berpacaran........ bercinta..... jauh sebelum lagi usahawan KL ini mengambilnya sebagai sang isteri.
No comments:
Post a Comment