Breaking News

Saturday, July 25, 2009

ACEH: RUMAH TRADISIONALNYA MENAWAN


Membina sebuah rumah tradisional yang penuh dengan pelbagai ukiran unik bukan suatu yang mudah. Apalagi rumah yang hendak didirikan sebuah rumah Melayu berseni Aceh.

Kerja membina rumah tradisional Aceh memang terlalu rumit. Ia penuh dengan disiplin dari semua sudut. Bahan kayunya mestilah dari jenis yang terbaik sahaja. Lazimnya dari kayu-kayu jenis keras yang terdapat di kawasan pergunungan sahaja,

Di zaman silam, empat atau lima ratus tahun yang lampau, tukang-tukang kayu di Aceh terpaksa membanting tulang, menggunakan setiap kudrat untuk mendapatkan bahan kayu ini. Kalau tidak punya gajah, maka tenaga sang kerbau terpaksa mereka gunakan untuk mengangkut batang-batang kayu berat ini turun dari gunung.

Rumah-rumah tradisional Aceh dibina demikian rapi dan teguh sehinggakan sebuah rumah yang menggunakan bahan-bahan kayu gunungnya boleh bertahan lama sehingga dua atau tiga ratus tahun. Batang-batang kayu yang keras digunakan sebagai tiang-tiang rumah.Setiap satunya dikekalkan betuk asalnya, bulat. Yang lainnya digunakan untuk membina tangga, lantai, gelegar, rasuk, dinding, dan pelbagai lagi.

Bahagian tepi sebuah balai tradisional Aceh (kanan) kelihatan dipenuhi dengan ukiran halus dan menarik.

Sebuah rumah tua Aceh lazimnya tidak mempunyai pintu masuk di bahagian depan, belakang atau di serambinya seperti rumah-rumah Melayu lain. Sebaliknya pintu masuk ke rumah dibina pada lantai rumah, sama ada di ruang tamu atau di lantai bahagian belakang rumah. Ancaman binatang buas atau pencuri dan perompak, maka pintu masuknya sengaja dibina pada lantai rumah. Atau mungkin ia lebih bersifat simbolik: bahawa sesipa yang bertamu ke rumah mereka mestilah tunduk pada adat dan resam Aceh.

Bahagian bawah rumah yang luas dan lapang, dengan ketinggian melebihi enam kaki, dijadikan medan kreatif - membuat kerja tangan, ukir mengukir, menumbuk padi dan lain-lainnya. Dan seterusnya ia dijadikan ruang menyimpan hasil tanaman.

Sebuah rumah tradisional Aceh berusia lebih 20 tahun di Kampung Padang Tigi, Sigli, kira-kira 2 jam perjalanan dari Banda Aceh.

Atap, untuk menutup bumbung rumah, yang diperbuat dari daun rumbia pula disusun dan diikat rapi dengan setiap satu pada jarak tidak lebih 2 inci, menjadikan atap bumbung rumah tradisional ini kelihatan begitu tebal, lebih dan 7 inci. Kaedah menyusun tebal atap bumbung ini sekaligus menghalang haba panas menembusi ruang dalam rumah, seterusnya membolehkan atap rumah mereka bertahan lebih daripada 20 tahun.

Bahagian luar dan dalam rumah, khususnya di bahagian dan sudut-sudut utama, dihias dengan pelbagai ukiran menarik untuk menjadikan rumah tradisional ini benar-benar istimewa dan menawan.

Motif kelopak bunga, dedaun, kerawang dan tumbuhan menjalar menjadi pilihan utama pengukir-pengukir Aceh di dalam menambahkan seri keindahan pada seni ukiran rumah-rumah mereka.

Pandangan sebuah dapor di rumah tradisional Aceh (kanan). Periok, belanga dan kuali yang diperbuat dari tanah liat.

Ukiran yang ditebuk pada dada tingka atau pada muka ambang sudut bumbung, memberi kesegeran kepada ruang dalam rumah dengan udara dan angin sentiasa bebas masuk dan
keluar. Kayu pemanis di bibir atap serta ruang-ruang di sudut lain, juga diukir dengan motif sendiri, menyeriakan wajah sebuah kediaman untuk keluarga.

Anda tidak perlu bersusah payah atau terpaksa berkereta masuk ke kampung-kampung pedalaman untuk melihat sendiri rumah tradisional Aceh ini. Sebuah rumah tradisional Aceh berusia hempir seratus tahun kini berdiri megah di kompleks mUzium Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam, di Banda Aceh, menanti untuk anda saksikan.

Jangan lupa singgah di muzium ini bila bertandang ke Aceh nanti untuk anda saksikan sendiri keunikan rumah Melayu Aceh. Ini kerana di dalamnya dipenuhi dengan pelbagai artifak, peralatan dan bahan-bahan lama yang boleh memberi gambaran sebenar akan sejarah dan budaya Aceh itu sendiri.

No comments:

Designed By