Breaking News

Monday, November 24, 2014

RAYMTA: PELAJAR KAMI TELUSURI MAKAM BERSEJARAH ACEH




SAMASEKALI tidak sia-sia kunjungan kami ke Desa Lambaro Biluy di Kabupaten Darul Kamal, Aceh Besar pagi ini. Di desa yang berlatar-belakangkan sawah dan gunung menghijau di pagi lembut ini pelajar-pelajar dari Rumah Anak Yatim Melaka – Tsunami Aceh (RAYMTA) menemui kelompok lima makam tua yang dipercayai berusia lebih 600 tahun.

Kami menyertai misi Masyarakat Peduli Sejarah Aceh (MAPESA) dan Centre for Information of Samudera Pasai Heritage (CISAH) membongkar sejarah Darul Kamar, sebuah kerajaan Islam yang pernah wujud di Aceh Besar pada awal kurun ke-15 dulu.

Pekan Biluy menjadi pusat kerajaan Islam Darul Kamar suatu ketika dulu. Ia merupakan hulu sungai yang mengalir melalui Montasik sebelum menembusi Kuala Sungai Aceh menuju lautan lepas sejauh 20 kilometer. 
Pelajar RAYMTA bersama anggota Mapesa di kawasan makam lama Desa Lambaro Biluy, Aceh Besar

Lima pelajar asrama RAYMTA: Shamsudin, Amrizal, Jamal, Ikram dan Asnawi menyertai kumpulan pakar penyelidik khat Arab & Parsi, arkeologi dan seni ukir purba dari Mapesa dan Cisah pagi ini apabila kumpulan lima pesara tua ini ditemui di Lambaro Biluy yang menempatkan sama lebih sertus pusara lain dalam berpuluh kelompok kecil secara berselerak di desa ini.

Tulisan pada batu-batu nisan yang mengisi makam raja, ulamak, bangsawan dan orang besar kerajaan Darul Kamar di Biluy kebanyakannya memiliki ciri ukiran dan bahan yang dikenalpasti bermula sejak kurun ke-16. Namun lima pusara tua di sudut pagar di pinggir jalan kebun berisi empat rumpun pisang, batang-batang kelapa dan beberapa pokok lain ini, demikian istimewa.





Dua batu nisan yang memiliki ciri kerajaan Islam Lamuri Aceh yang kami temui di satu sudut sebuah kebun di Desa Lambaru Biluy. Batui nisan kiri menunjukan ukiran huruf 'sin' pada bahagian bawahnya. Di sebelah kanan pula batu nisan dengan ukiran kerawang melalui pengaruh Hindi dan China.


Tenaga pengajar dari RAYMTA,Tengku Afrizal Hidayat, bersama Sdr Mawardi, anggota dari Mapesa, terpaksa bekerja keras menegakkan kembali batu nisan berusia lebih 400 tahun yang sebelumnya rebah di Desa Lambaro Biluy.

Pelajar RAYMTA, Amrizal, sedang membuat catatan di kawasan perkuburan yang menempatkan lebih daripada 20 kuburan lama berusia 300 hinggga 400 tahun dalam penelusuran kami di Kabupaten Darul Kamal pagi Ahad kelmrin.
Meski beberapa huruf Arab nyata tertulis pada satu paparan kecil batu ini, namun ukiran bunga kerawangnya yang dipercayai memiliki pengaruh Hindi dan Cina, memenuhi keseluruhan hisan ukirannya.

Ahli arkeologi Dedi Satria memberitahu bahawa nisan tua Lambaro Biluy ini sama umurnya dengan nisan-nisan tua lain yang ditemui di tapak bersejarah Kerajaan tua Lamuri di Krueng Raya, 30 kilometer dari Darul Kamal.

Penulis bersama pakar khat dan manuskrip lama Cisah, Tgk Taqiyuddin Muhammad, Sdr Mawardi dari Mapesa dan arkeologis Dedi Satria ketika berada di kawasan perkuruan di Lambaro Biluy, salah satu tapak utama kerajaan Islam Darul Kamal dulu. Kawasan itu kini terletak di Kabupaten Aceh Besar.



Dikhabarkan bahawa ratusan tahun dulu kerajaan Darul Kamal telah membina sebuah pelabuhan di Pekan Biluy sehingga membolehkan kapal-kapal kecil mudik hingga ke sini melalui sungai yang dikira besar sehingga membolehkan air masin mampu melempah ke kawasan ini. Menurut penduduk setempat sehingga sekarangpun air dari perigi-perigi yang terdapat di lembah Biluy masih terasa payau, dipercayai oleh kemasukan air masin yang berlaku dulu.

Pengaruh Islam demikian besar di Darul Kamal sehingga membolehkan beberapa pondok pengajian agama didirikan di setiap kampungnya. Dikatakan bahawa Darul Kamal sebelum ini juga telah melahirkan tokoh-tokoh ulama terkemuka. Di antaranya termasuk pengarang kitab Tajul Muluk (asalanya dari kitab Parsi diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu) yang dikatakan berasal dari Biluy pada awal kurun ke-16.
Minggu depan, insya-Allah kami akan turun lagi menelusuri kampung-kampung lain di Aceh Besar untuk membongkar banyak lagi sejarah terpendam di Tanah Serambi Mekah ini.


 
Arkeologis Dedi Satria menerangkan sesuatu berhubung ciri-ciri penegalan sebuah tiang nisan lama dalam penelusuran kami di tapak asal kerajaan Islam Darul Kamal di Biluy, Aceh Besar, kelmarin. Dedi pernah membuat penelitian yang sama di Makam Langgar, Alor Setar, Kedah, tahun lepas untuk mengenal pasti sebuah makam diraja di situ yang dipercayaai berasal dari keluarga diraja Perak.


Read more ...
Designed By