Breaking News

Wednesday, June 24, 2009

MENEROKA ALAM PULAU SABANG

Ibu-ibu di Pulau Sabang masih lagi malu menghadapi lensa kamera.

JIKA anda cintakan keindahan alam semulajadi, Sabang adalah 'pulau impian' yang harus anda kunjungi. Flora dan faunanya masih kekal terpelihara. Memang mempesonakan.

Namanya memang tidak sehebat Langkawi atau Pulau Pinang. Namun Sabang lebih indah dari 'Pulau Mutiara' itu dan tak kurang menandingi 'Pulau Mahsuri'.


Saya bersama seorang teman yang berasal dari Sigli bertandang ke Sabang kelmarin. Ia sebuah pulau paling penting yang setiap masa di kawal rapi oleh barisan seribu pengawal dari semua ketumbukan Tentera Nasional Indonesia.
Kedudukan Sabang amat strategik. Ia terletak di barisan hadapan perbatasan utara Indonesia. Cuma 45 minit jarak perjalanan dengan feri dari Banda Aceh. Di kanannya Selat Melaka, manakala di kirinya ialah Lautan Hindi.
Meski pelbagai kenderaan - kereta, van dan motosikal sentiasa merayap, memecah keheningan persekitaran pulau yang berbukit bukau ini bermula dari awal pagi hingga jauh ke tengah malam, namun semua kebisingan itu terperangkap di celah-celah rimbunan pohonan kecil dan besar yang memenuhi dada dan bukit-bukit di pulau ini.
Jalan-jalanraya di seluruh Sabang, sepanjang hampir 100km, dilihat baik dan selamat meskipun terdapat kawasan curam dan selekoh-selekoh tajam di sana sini.
Segalanya amat sentimental. Berada di Pulau Sabang sepertikan anda kembali menjelajahi zaman-zaman silam. Terasa bagaimana pahlawan-pahlawan Aceh terpaksa bertempur menentang asakan soldadu-soldadu Portugis, Belanda dan Inggeris empat atau 500 tahun yang lampau.
Tentera Jepun juga pernah menguasai pulau ini untuk beberapa tahun semasa Perang Dunia Kedua mulai 1941 dulu.
Pelbagai artifak sejarah membabitkan perjuangan pahlawan-pahlawan Aceh mempertahankan bumi mereka dari serangan keempat-empat 'kaum penceroboh' itu boleh di lihat di beberapa lokasi di pulau ini.
Foto di bawah memperlihatkan kawasan berteluk di Pulau Sabang yang begitu indah dan menarik.


Pedagang serta mubaligh Arab dan India menjadikan Sabang tempat persinggahan utama lebih 500 tahun dulu dalam misi mereka mengembangkan ajaran Islam di rantau Asia Tenggara.
Kehadiran ramai peniaga Tionghua (menguasai kira-kira 30 daripada bilangan 60 buah kedai) di Kota Sabang begitu menarik sekali. Bilangan mereka seakan lebih ramai daripada angka keseluruhan peniaga keturunan Cina yang menjalankan perniagaan di Banda Aceh masa ini.

Wajah serta perwatakan peniaga dan keluarga-keluarga Tionghua di sini seakan-akan murung dan lembab, sekaligus menunjukan mereka pewaris generasi pedagang Cina yang telah bertapak di pulau ini sejak tiga atau empat ratus tahun lampau.
Sejak sekian lama Pulau Sabang adalah sebuah pelabuhan tua dan sehingga kini ia kekal sebagai sebuah 'pelabuhan bebas'.
Bahan-bahan rempah ratus menjadi kebanggaan utama Sabang, menyebabkan ia menjadi rebutan penjajah. Buminya sejak beratus tahun dulu penuh dengan tanaman cengkih dan bunga lawang yang tumbuh subur. Sebatang pokok cengkih di Sabang mampu mengeluarkan hasil lima kali ganda lebih banyak dari pokok yang sama yang ditanam di daratan besar Aceh.
Malangnya, kebanggaan bunga cengkih Sabang berkubur sejak lebih 15 tahun dulu apabila tumbuhan itu diserang wabak penyakit aneh sehingga tidak sebatangpun pokok cengkih yang mampu bertahan dan hidup di pulau itu untuk sekian lama.
Ketandusan cengkih dan bunga lawang turut mematikan semangat pedagang-pedagang Arab dan India, menyebabkan mereka meninggalkan Pulau Sabang kemudiannya.
Persekitaran Sabang amat unik dan menarik. Pantai-pantainya dibarisi dengan teluk-teluk indah dan nyaman. Ia memiliki tiga pulau kecil menemaninya. Airnya berkaca jernih membiru.
Dua kawasan rehat utama disediakan di Iboih, 20km dari Kota Sabang. Ia lengkap dengan pondok-pondok dan 'chalet' yang mampu mengisi lebih 200 pengunjung.
Bangunan-bangunan masjid kecil dan besar menghiasai panorama pulau ini. Setiap satunya unik dan amat menarik. Masing-masing terhias dengan seni dan ukiran ciri Islam yang memang menawan.
Bila pulang jangan lupa membawa bersama sekilo dua buah salak Sabang yang terkenal sebagai salak 'paling top' seantero Indonesia. Rasanya lemak dan manis, tanpa kelat dan kesat seperti buah-buah salak lainnya.

4 comments:

MOLY said...

ayah ..
bubuh la gambar banyak
gambar pulau takde pun ??
:D

Anonymous said...

salam pakcik shaharon teww.. me singgah dari blog akak lily lulu itteww.. nice

nasazfrog... said...

wah satu perkembangan yang bagus ni pakcik.. tak lily ade leh tunjuk ajor.. hihi hope blog ni boleh bagi info yang berguna untuk pembaca bloggers..

Anonymous said...

your blog is good .
I like it.

Designed By