Breaking News

Tuesday, June 23, 2009

MEMORI TSUNAMI ACEH ( 3 )

PULAU HADAPAN INDONESIA TERSELAMAT
DARI AMOKAN TSUNAMI

Bekerja keras membaiki jaring yang rabak akibat batu karang. Pandangan di pelantar Pelabuhan Pulau Sabang.

HAMPIR semua pihak menyangka Pulau Sabang pastinya ranap dan tenggelam apabila tsunami melanggar Aceh dalam peristiwa maha dahsyat pernah disaksikan dunia pagi 26 Disember 2004.
Bagaimana mungkin Sabang terselamat dan rempuhan tsunami dalam ketika Banda Aceh remuk dan luluh digulung gelombang dan ombak raksaksa makhluk penuh misteri itu, sementara pulau di garisan hadapan perbatasan Indonesia itu jaraknya cuma 45 minit perjalanan feri laju di utara Banda Aceh.
Pulau Sabang, yang luas kawasannya hampir sama dengan keluasan Pulau Pinang, juga benar-benar terdedah pada rempuhan tsunami yang menggasak Pulau Phuket di Thailand dan kumpulan pulau-pulau di Laut Andaman serta Sri Lanka.
"Semua sanak saudara dan kenalan kami di daratan Aceh menyangka Sabang ranap dan tenggelam dilanda tsunami," kata Sharifuddin, Pak Lurah penempatan Balohan di Pulau Sabang ketika ditemui di kediamannya di pulau itu semalam.
"Bagi mereka keseluruhan 23,000 penduduk Sabang pastinya menemui maut, kerana kota-kota seluruh Aceh yang lain yang terletak di daratan musnah dan parah akibat dihempas tsunami," sambung Pak Lurah itu.

Hubungan Sabang dengan Banda Aceh dan dunia luar samasekali terputus selama lebih 48 jam selepas gempa bumi dan tsunami yang membawa gelombang penuh ngeri pada pagi Ahad itu.
Kira-kira 5,000 penduduk Sabang yang tinggal berhampiran pantai bertempiaran menyelamatkan diri menghala ke kawasan bukit dan tanah tinggi apabila mereka dikejutkan dengan kedatangan gelombang tsunami yang tiba-tiba menjelma dari laut.

Namun mereka bernasib baik apabila gelombang yang mengasak pulau itu cuma sekadar dua tiga meter tinggi sahaja, tidak sekeras amokan tsunami setinggi 10 atau 20 meter yang menghempas pantai-pantai di seluruh Aceh.
Pak Lurah berusia 56 tahun itu lebih menarik nafas panjang kerana cuma 6 orang sahaja dari warga Pulau Sabang yang terkorban akibat disambar ombak tsunami berbanding lebih 200,000 nyawa yang melayang serta berpuluh-puluh ribu lagi warga Aceh yang hilang tanpa kesan dalam malapetaka demikian mengerikan itu.
Penduduk Sabang kehairanan dan tertanya-tanya mengapa dua buah feri yang selama ini setiap hari membawa penumbang berulang alik dari Banda Aceh, tidak juga muncul sejak dua hari lalu sejak pulau mereka dilanda gelombang besar.
Hari ketiganya mereka bergerak menuju ke daratan menggunakan bot besar. Bila merapati pantai mereka menghdapi kejutan besar bagaikan tidak mempercayai apa yang berada di depan mata mereka sekarang. Tidak ada lagi pelabuhan, tidak ada lagi pengkalan, dan tidak ada lagi deretan rumah penduduk sepanjang pantai di hadapan Banda Aceh seperti yang biasa mereka lihat sebelum ini.
Kengerian sangat terasa. Mereka melihat bumi Aceh musah, luluh dan rata. Mayat-mayat manusia bergelempangan di tepi-tepi pantai, remuk dan reput bersama sampah sarap dan lumpur hitam. Ia sutau pemandangan yang amat menakutkan, yang sama sekali tidak pernah dibayangkan oleh penduduk Pulau Sabang selama ini.

No comments:

Designed By