Breaking News

Monday, June 15, 2009

SETAHUN MENYEPI............

POTRET penulis di hadapan bot besar yang paling popular di dunia. Bot besar ini yang tersadai di tingkat atas sebuah rumah di desa Lampulo, dekat Banda Aceh, mencatat sejarah paling sukar dilupakan bilamana ia menjadi 'Bahtera Keramat' yang menyelamatkan 59 penduduk desa berkenaan dari disambar maut ketika Aceh digulung tsunmai pagi 26 Disember 2004.


JUTAAN maaf sewajibnya saya hamparkan di sini kerana hampir setahun saya menyepi, tidak turun menulis seperti yang seharusnya dilakukan oleh seorang Blogger.

Pelbagai hal-hal yang melingkari diri, kesibukan dengan urusan harian, dengan keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan dengan pihak-pihak lain selama itu, menjadi punca utama yang menyebabkan halaman 'Bila Gendang Dipalu' ini telah tidak diisi.

Sejak awal Jun 2009 ini saya bertandang ke Banda Aceh, Indonesia, untuk memenuhi tugas dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sebuah 'orgnaisasi bukan kerajaan' yang didokong kuat penubuhannya oleh Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Y.A.B Datuk Seri Haji Mohd. Ali Mohd. Rostam.

Aceh menyimpan banyak sejarah silam yang amat berharga kepada dunia Melayu serta kepada dunia Islam itu sendiri.

Sejarah mencatatkan bagaimana negeri di penghujung utara Pulau Sumatera ini menjadi pintu masuk pertama yang membuka ruang kepada terkembang dan berdirinya Islam di rantau Asia Tenggara sejak 700 tahun yang lampau.

Dalam tempoh yang sedemikian panjang Aceh mengahrungi pelbagai sejarah yang amat mencabar. Panji-panji Islam ditegakkan megah di sini 600 tahun lampau. Sultan Iskandar Muda pula menegakkan Empire Aceh yang menakluki sebahagian besar dari Pulau Sumatera, serta termasuk beberapa buah negeri di Tanah Melayu.

Pahlawan-pahlawan Aceh bermandi darah dan bertarung nyawa mempertahankan kedaulatan negara dari serangan penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun untuk tempoh lebih 500 tahun. Semangat Aceh dan pahlawan-pahlawannya tidak pernah luntur dan padam.

Namun akhirnya bumi Aceh terpaksa menangis dan meratap hiba apabila ia digegarkan dengan satu letupan kawah berapi di dasar laut pantai baratnya dalam peristiwa yang tercetus jam 8.15 pagi 26 Disember 2004 yang lalu. Dan 15 minit kemudian Aceh digulung oleh gelombang raksaksa bernama 'tsunami' yang menghempas, menggulung dan maratah buminya dalam bencana paling menakutkan.

Lebih 200,000 orang rakyat Aceh terbunuh dalam bencana dahsyat ini, manakala berpuluh ribu orang lagi hilang tanpa ditemui.

Apakah Aceh akan lumpuh dan terus tertiarap selepas dilanggar tsunami?

Hari-hari pertama berada di Banda Aceh, saya terpegun menyaksikan bagaimana rakyat Aceh kini bangkit membangunkan semula kekuatan mereka tanpa mengira cabaran apapun yang terpaksa mereka lalui, meskipun bumi mereka lumah dan luluh diratah tsunami.

Demikian banyak sejarah dan peristiwa keras serta menakutkan yang telah dilalui oleh rakyat Aceh. Semua rahsia dan cerita dari sejarah-sejarah ini masih banyak yang terpendam.

Dan kita percaya pastinya banyak dari kisah-kisah penuh tragik ini boleh dibongkar untuk kita tatapi bersama nanti. SELAMAT MENGIKUTI MEMORI TSUNAMI ACEH - Shaharon Salleh.

No comments:

Designed By