Breaking News

Monday, June 15, 2009

MEMORI TSUNAMI ACEH ( 1 )


Nasfi Bertarung Dengan Tsunami:
ROMBONGAN WANITA MELAKA
TAK DAPAT TAHAN AIR MATA

BANDA ACEH, Ahad 14 Jun -- HATI mana yang mampu menahan asakan sedih dan sebak menatap wajah sayu seorang anak yang sejak usianya cuma tiga tahun saja sudah terpaksa meniti hidup hari-harinya keseorangan, tanpa ayah, tanpa ibu, tanpa abang atau nenek dan tanpa sebarang saudara untuk bersandar.

Rombongan 40 orang wanita anggota Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Melaka yang berkunjung ke Banda Aceh semalam tidak mampu menyembunyikan kesayuan mereka, menitiskan air mata mendengar kisah detik-detik paling ngeri dan dahsyat yang terpaksa ditempuh si kecil, Muhammad Nasfi Khusaini, 7, apabila tsunami melanggar serta menggulung bumi Aceh pagi 26 Disember 2004.

Ibu dan ayah Nasfi tergamam, tidak berdaya untuk bertahan dan berpaut pada mana-mana pelampung pun bilamana rumah mereka di Lamtengah, Ulee Lheue, yang terletak di hujung utara Banda Aceh, hampir tenggelam dihempas gelombang pertama tsunami.

Dalam keadaan terkapai-kapai diasak kemaraan gelombang yang laju, si ibu tetap bertekad enggan tunduk dengan kegilaan tsunami yang mahu menggulung dan meratah tubuhnya, suaminya dan Nasfi anak tunggal mereka.

Dengan sepantas kilat si ibu mencapai sebuah peti ais yang terapung di sisinya. Dia membuka peti itu dan dengan pantas memasukan anak kesasyangannya yang bertubuh kecil itu ke dalam peti ais berkenaan.

Si ibu mempertaruhkan nasib Nasfi, anak tunggal kesayangannya di tangan Allah di saat-saat maut berada di hujung rambut mereka.

Gelombang kedua tsunami sejurus kemudian muncul. Kali ini ia menerpa lebih garang, teramat laju dan demikian gagah. Ketinggian gelombangnya mencecah lebih 15 meter, setinggi bangunan tiga tingkat dengan kelajuan melebihi 400 kilometer sejam. Ia menghempas, menggulung tanah Lamtengah dan Ulee Lheue semahu mungkin.

TENGGELAM TIMBUL

Gelombang besar paling mengerikan itu menggulung peti ais berisi Nasfi bersama batang-batang kayu dan sampah sarap yang berselerakan dan bercampur baur. Peti ais itu tenggelam timbul dan akhirnya terdampar di kaki sebuah bukit sejauh hampir 10 kilometer dari perkampungan Ulee Lheue.

Kekuatan tsunami ternyata tidak mampu mengatasi kehendak Allah yang mempastikan anak kecil berusia tiga setengah tahun, Nasfi, tetap selamat, hidup dan bernafas, meskipun ia digulung demikian keras.

Seperti sayuran atau ikan-ikan, Nasfi terpersok di dalam peti tertutup itu untuk tempoh sekian lama. Ia tenggelam dan timbul digulung tsunami di dalam peti ais itu yang menjadi bahtera penyelamatnya.

Sebelum 26 Disember 2004, Ulee Lheue, adalah sebuah perkampungan besar melingkungi kawasan melebihi 6 kilometer persegi, terletak 7 kilometer dari pusat Banda Aceh. Padat dengan penduduk melebihi angka 20,000 orang, Ulee Lheue merupakan kawasan rendah berhadapan dengan Selata Melaka di penghujung bahagian barat daya Pulau Sumatera.

Kekuatan tsunami dengan kelajuan arusnya melebihi 500 kilometer sejam dan ketinggian gelombang melebihi 20 meter, turut mengasak dan menghanyutkan sebuah kapal kargo berbadan besi dengan keberatan melebihi 100,000 tan, yang sebelumnya berlabuh di pelabuhan Ulee Lheue, tujuh kilometer jauhnya ke tengah perkampungan penduduk Desa Pungeh, dekat Banda Aceh.

AIR MATA MENITIS

Pasokan penyelamat keesokan paginya menemui sebuah peti ais terdampar di kaki bukit jauh dari Ulee Lheue. Mereka membukanya dan terperanjat melihat seorang anak kecil berada di dalamnya. Anak kecil itu masih lagi bernyawa walau sesudah lebih 24 jam ia dianggarkan terkurung di dalamnya.

Tubuh kecilnya terlalu rapuh dan lemah untuk menahan pukulan tsunami yang demikian kasar dan ganas. Nasfi terpaksa melalui rawatan hampir enam bulan setelah pihak perubatan bertungkus lumus memulihkannya sehingga ia mampu bangun dan berdiri menyedut udara Aceh yang kembali beransur segar setelah digulung dan diratah tsunami dalam tragedi bencana alam demikian dahsyat dan ngeri pernah disaksikan dunia untuk tempoh kurun berkurun ini.

Rasa sebak yang menumbuk-numbuk di dada sudah tidak tertahan lagi. Terus air mata berguguran menitis membasahi pipi. Setiap seorang dari ibu yang bertandang jauh dari Melaka, dalam pertemuan dengan 24 anak yatim di Rumah Anak-anak Yatim Melaka - Tsunami Aceh (RAYMTA), Desa Punie awal petang Sabtu itu, terpaku sayu menatap wajah Nasfi yang lembut dan bersih.

Kesebakan dan kesayuan yang sama juga tidak dapat disembunyikan oleh Dato’ Ramlah Abbas, yang memimpin rombongan berkenaan ke Aceh, meskipun Ketua Biro Wanita DMDI itu sudah beberapa kali bertemu dengan anak-anak yatim ini.

Nasfi merupakan anak paling kecil dari kumpulan 24 pelajar anak-anak yatim mangsa tsunami Aceh yang ditempatkan di asrama RAYMTA di desa berkenaan. DMDI, sebuah pertubuhan amal yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Melaka, sejak Jun tahun ini bertindak selaku penaja dan pengendali rumah anak yatim ini.

Dia kini dan untuk tahun-tahun seterusnya akan melalui liku-liku hidup yang amat menyayat. Dia akan terpaksa terus bersendiri dan bersendiri tanpa ayah, tanpa ibu dan tanpa saudara mara untuk membelainya.

Yang ada bersama Nasfi kini cuba sebaris 23 orang lagi abang-abang pelajar lain yang jauh lebih besar darinya di asrama RAYMTA Desa Punie yang akan melayan dan menyakatnya setiap hari.

Dan Nasfi lebih beruntung lagi apabila dia diambil bagaikan anak kandung sendiri oleh Ibu Rohani, seorang petugas di asrama RAYMTA, sejak si kecil itu bertandang ke asrama ini setahun lepas.

Nasfi kini bermain riang pagi dan petang bersama anak-anak dan keluarga ibu penyayangnya yang baru itu di rumah mereka tidak jauh dari asramanya.

Naib Pengerusi DMDI, Dato’ Abdul Jamil Mo’min yang turut sama pada majlis berkenaan memberitahu, DMDI telah membuka 25 buah pejabat sekretariatnya di Indonesia dalam rangka mengukuhkan ikatan jalinan Melayu dan Islam di seluruh nusantara, meliputi sama beberapa negara di rantau Lautan Hindi dan Afrika.

Kumpulan empat orang doktor dari Hospital Pakar Melaka (PUTRA) diketuai Dr. Mohamad Sufian Abdul Majid, yang menyertai rombongan sama, telah melakukan pemerikssan kesihatan ke atas setiap pelajar RAYMTA di samping memberi bekalan perubatan kepada mereka.

Kisah tragis Muhammad Nasfi serta peristiwa-peristiwa ngeri lain yang dilalui oleh hampir setiap pelajar anak yatim RAYMTA dalam bencana tsunami penghujung 2004 itu disampaikan kepada rombongan Biro Wanita DMDI oleh Pengetua RAYMTA, Haji Haron Salleh.

No comments:

Designed By