Breaking News

Wednesday, June 17, 2009

MEMORI TSUNAMI ACEH ( 2 )

Bot kayu ini terus berpangku di anjung terbuka kediaman Haji Misbah di Desa Lampulo sejak Tsunami melanda Aceh 24 Dis. 2004.

KISAH ANEH BAHTERA AJAIB MENJADI PENYELAMAT
59 PENDUDUK LAMPULO

Basyariah baru sahaja selesai melakukan solat sunat dhuha jam 8.00 pagi itu apabila seorang anak perempuannya berteriak dengan suara penuh terperanjat: “Air sudah naik makkk........!”.

Ibu berusia 60 tahun itu terus bergegas ke pintu depan. Dia terkejut melihat air laut meluru laju di lorong jalan di muka rumahnya. Dan dalam beberapa saat itu juga air yang penuh dengan sampah sarap dan kotoran sudah pun memenuhi ruang tamu rumah mereka.

Seluruh kejiranan Lampulo, sebuah perkampungan lama yang padat dengan penduduk, terletak di arah utara 4 km dari Banda Aceh, pagi itu riuh dan gempita dengan jeritan di sana sini. Gelombang gergasi paling dahsyat dan mengerikan tiba-tiba sahaja menjelma, menghempas dan membanting lumat kampung mereka pagi ini.

Dua anak lelakinya, Mujiburrijal dan Zulfilkar sudahpun memanjat serambi tingkat atas rumah jiran di sebelah mereka, rumah milik Haji Misbah, meninjau cemas kemaraan air laut yang begitu keras dan mendadak.

Anak perempuan berusia dua-puluhan tadi terus menyambar tangan ibu itu dan bergegas menariknya merandau air yang kini meningkat separas pinggang. Dia menarik kuat tubuh ibunya merempuh air berarus kencang dan terus memanjat tangga rumah jirannya. Basyariah dan anak perempuannya kini terselamat dari tarikan air laju ini.

Dan seketika itu juga seorang lelaki jiran di belakang rumahnya berteriak di depan tangga meminta tolong mengangkat seorang saudara perempuannya berusia 28 tahun yang cacat. Seorang ibu muda berwajah penuh cemas turut terkapai-kapai meredah air yang semakin tinggi sambil menghulur anak kecilnya yang baru berusia empat bulan untuk diselamatkan.

Dalam keadaan demikian tegang dan mengerikan, seorang tua berusia 80 tahun, yang juga jiran mereka, turut ditarik dua lelaki berhampiran ke tangga yang sama untuk diselamatkan dari kemaraan air laut yang terus meninggi.

Dua bilik sederhana bersama serambi terbuka di tingkat atas rumah Haji Misbah pagi itu menjadi kubu tunggal terakhir penduduk berhampiran menyelamatkan diri dari ancaman gelombang besar yang menghempas Lampulo dan seluruh pesisiran Aceh pagi itu.

Gegaran kuat hasil ledakan gunung berapi bawah laut di pantai barat Aceh jam 8.15 pagi itu
telah mencetuskan kemunculan gelombang laut maha dahsyat dan paling mengerikan pernah disaksikan dunia.

Gelombang yang bernama ‘tsunami’ itu menggulung dan meratah bumi di sepanjang pasisiran pantai Aceh, dari barat hingga ke hujung utara dan timurnya. Tsunami menghancurkan setiap apa saja yang dilalui dan ditemuinya.

Tsunami melambung dan menghayun kapal serta bot-bot besar hingga ke jarak 10 km ke tengah daratan. Rumah-rumah yang kecil dan besar, yang gagah mahupun yang lemah, diratahnya sehingga berkecai tanpa bekas. Jajaran tumbuhan yang membarisi pantai turut lumat dibahamnya. Beribu-ribu hektar jelapang padi yang luas dan kolam ternakan ikan dan udang musnah dan ranap seranapnya.

Seluruh persekitaran Lampulo serta Syah Kual, jiran di hujungnya, pagi itu tiba-tiba rata dan lebur diratah tsunami. Seluruh kolam ikan dan udang serta jelapan-jelapang padinya turut hancur dan lumat diganyang tsunami. Dan semakin menderita lagi apabila lebih 6,000 penduduknya terbunuh dalam keadaan paling mengerikan.

Di celah-celah 59 orang yang berasak-asak di lantai tingkat atas rumah Haji Misbah pagi itu, Basyariah memerhatikan perubahan arus yang semakin kencang dan tinggi. Kediaman mereka terletak hampir 2 km jauhnya dari pantai. Tak pernah air pantai sampai ke sini sebelum ini.

Gelombang kedua tiba-tiba menerpa dari jauh. Ia muncul bersama ombak yang keras menggulung dan berpusar, dan menghantar bersamanya sampah sarap serta pelbagai bahan bongkah yang kecil dan besar.

Mayat-mayat penduduk Lampulo dilihat berserakan di sana sini bercampur baur bersama bongkah dan sampah sarap yang bercampur baur tadi.

Basyariah melihat dekat pusaran air kencang yang menggegar tingkat atas tempat keluarganya dan jiran-jirannya yang sedang bertahan di situ.

Keadaan semakin cemas dan menakutkan. Semua mata bertumpu ke arah gelombang tsunami yang menghempas.

Kalbunya bergelora melihat gelombang di depan, seperti gelora ombak yang datang bersama tsunami. Dan di saat penuh bergelora itu tiba-tiba melompat kata-kata dari bibir Basyariah:

“Subhanallah....... kiamat kita hari ini.”

“Tidak mak........!” jerit anak perempuannya tadi untuk menenangkan hati ibunya itu. “Ini adalah suatu bencana mak, suatu bala yang Allah turunkan,” sambung anaknya itu lagi.

Rumah batu tempat bertahan kumpulan 59 anggota kejiranan Lampulo itu masih bertahan meskipun bertalu-talu dihentak gelombang tsunami. Pokok-pokok besar dan rumah-rumah lain di depan dan di sekeliling mereka tidak lagi tegak. Semuanya luluh, lumat diratah tsunami.

Tiap-tiap wajah manusia yang memenuhi lantai tingkat dua rumah kecil itu tampak resah dan cemas sekali. Air semakin meninggi dan laju. Ke mana mampu mereka menyelamatkan diri sekiranya ia terus meninggi menyapu bumbung rumah?

Mungkingkah mereka akan menerima nasib sama dengan mayat-mayat yang berserakan bersama timbunan sampah dan kayu-kayu dihanyutkan tsunami seperti yang mereka saksikan sekarang?

Di tengah semua keresahan itu tiba-tiba jauh di hujung utara Lampulo, sebuah bot besar muncul bersama gelombang tsunami yang datang dari arah laut. Bot itu menuju tepat ke arah rumah tunggal tempat berkubu 59 penduduk tersebut. Ia semakin hampir merapati rumah kubu mereka.

Suasana riuh dengan teriakan-teriakan cemas dan ngeri terus meletus. Di samping gelombang berarus deras dan berpusar-pusar, mereka kini berdepan dengan kemaraan sebuah bot besar yang bergerak laju, tepat mensasarkan haluan ke arah anjung kubu mereka.

Namun Basyariah bersama keluarganya serta semua jiran-jiran yang memenuhi anjung dan bilik-bilik lantai atas rumah Haji Misbah itu sekali lagi mengurut dada. Lega. Timbunan sampah sarap yang tersangkut pada anjung rumah itu telah memperlahankan dan menghalang bot besar itu dari terus menghentam mereka.

Ia tiba-tiba berpusing ditolak air, badannya mengiring dan tersangkut merobohkan bumbung dan tiang bahagian atas anjung itu.

Semua keluarga sasaran tsunami yang bertahan di rumah kecil ini kehairanan melihat bot kayu berukuran 60 kaki panjang itu. Ia datang bersendiri tanpa awak-awak, tanpa jurumudi.

Suasana sekaliling senyap dan sepi. Yang kedengaran cuma bunyi ombak dan arus yang menderu laju.

Mujiburrijal,25, dan adiknya Zulfikar,23, dibantu beberapa lelaki lain menghampiri bot itu. Mereka beramai-ramai cuba menolak dan menariknya sehingga ia benar-benar rapat tersangkut pada rumah kubu mereka.

Mujiburrijal, sekarang anggota kumpulan nasyid Raihan di Kuala Lumpur, dengan terkial-kial dan cemas terus saja cuba memanjat menaiki bot ajaib itu. Setelah berada di atasnya dia terperanjat sekali bahawa tiada sesiapa pun berada di dalamnya.

Dan tanpa berlengah dia terus melaungkan azan tiga kali berturut-turut di pelantar haluan bot itu, di bahagian tengah serta di bahagian kemudinya.

“Allah maha agung, maha besar,” bisik Basyariah kepada saya dalam pertemuan di rumahnya pagi Ahad lepas. “Allah telah menghantarkan kami sebuah perahu dan menyelamatkan kami dari maut ditelan tsunami,” ujar ibu itu lagi. Basyariah dan keluarga pulang menduduki rumah bertuah mereka itu sejak setahun lepas.

Bot keramat itu dilambung tsunami dari pengkalan perikanan Lampulo dan hanyut 2 km jauhnya hingga ke rumah kubu terakhir keluarga penduduk berkenaan.

Kesemua 59 orang yang berasak-asak di ruang sempit lantai atas rumah Haji Misbah di Lampulo pagi paling mengerikan itu seorang demi seorang memanjat naik bot keramat itu tanpa seorangpun yang tertinggal.

Tengahari itu, kira-kira jam 1.00, dua anak kecil, yang bersama terselamat bersama mereka, menangis lantaran lapar dan kehausan. Tapi si ibu tak mampu memberikannya apa. Bot penyelamat mereka kosong tanpa air, tanpa makanan. Air yang membuak tinggi di seluruh rantau Lampulo pagi itu menghantar semua daki dan kotoran. Penuh dengan danur, busuk dan segala yang mengerikan
.
Sekali lagi penghuni bahtera keramat itu teruji.

Dan sekali lagi kesemua mereka melihat kebesaran Allah seketika itu juga. Tiba-tiba mereka terlihat setandan kelapa muda terapung bersama ombak tusnami yang mula lemah, merapti bahtera tumpangan itu.

“Allah menghantar kami minuman ketika anak-anak kecil ini menangis lapar dan dahaga,” ujar Ibu Basyariah.

Dia dan beberapa ibu lain pun sama sedikit dapat menjamah isinya ketika kelaparan mula terasa.

Dan bot besar itu, yang kini masih terpangku di pelantar anjung terbuka tingkat atas rumah Haji Misbah, menjadi skasi bahawa ia adalah sebuah ‘bahtera keramat’ yang telah menyelamatkan 59 penduduk satu kejiranan kecil di Lampulo dari maut digulung dan diratah tsunami empat setengah tahun yang lalu.

Ia kini kekal sebagai salah satu daripada barisan bahan-bahan penting lain yang dikekalkan sebagai bukti penting mengenai sejarah betapa maha dahsyat dan ganasnya ‘tsunami’ yang menggulung bumi Aceh pagi 26 Disember 2004.

Nanggroe Aceh Darussalam lesu tak bermaya untuk tempoh setahun dua setelah dilanggar bencana maha mengerikan. Ia menangis hiba meratapi lebih 200,000 rakyatnya berselerakan maut digulung dan diratah tsunami. Berpuluh-puluh ribu lagi hilang tanpa terkesan.

1 comment:

Nurulasyiqin Ikhwan Nasir said...

pak yon, love your writing.....

hope you're having a great tym exploring Allah's world.

Designed By