Awas Taktik Penyeluk Saku di Menara Eiffel
Menara Eiffel yang menjadi daya tarikan utama kota Paris. |
Saya kirakan bahawa
Bahasa Melayu cuma popular di kalangan peniaga kota suci Mekah dan Madinah
sahaja. Namun alangkah terperanjat kami apabila mendapati bahasa nusantara ini
turut sama popular dan digunakan di kota Paris.
Di tengah-tengah
himpunan ratusan pelancong ketika menghampiri Menara Eiffel saya dan isteri
dikejutkan dengan teriakan: “Murah..... murah..... mari beli.” Demikian laungan
suara seorang penjual cenderamata di bawah menara paling popular di dunia itu.
Amarjit Singh, lelaki dari Panjab, India, yang sudah sekian lama menggunakan bebarapa patah perkataan Melayu ketika menjual cenderamata di perkitaran Menara Eiffel. |
Kami singgah di Paris
pagi Sabtu lepas dalam perjalanan ke Barcelona apabila kami dikejutkan dengan
teriakan ‘murah’ penjual cenderamata berkenaan, Amarjit Singh yang berasal dari
Panjab, India, tetapi sangat mengenali pelancong-pelancong Malaysia yang ramai
berkunjung ke sini.
Sambil
berputar-putar di sekitar Eiffel pagi itu saya melihat tidak kurang dari 20
pelancong Melayu turut berlegar di kawasan ini.
Naik keretapi dari lapangan terbang Charles De Gaul menuju ke kota Paris. |
Motosikal kuasa besar dan bangunan tua dengan rekabentuk menarik menghiasi Paris. |
Muda mudi pengunjung kota Paris dan kunci yang ditinggalkan pelancong. |
Nyatalah
bahawa Paris turut jadi tumpuan orang-orang Malaysia untuk melancong
sehinggakan lelaki Panjab penjual cenderamata itupun mampu menggunakan sepatah
dua bahasa Melayu.
Beratus
pelancong sudah mula berbaris panjang menunggu giliran menaiki menara ini
meskipun waktunya masih awal, jam 8 pagi.
Menara
Eiffel, didirikan 125 tahun dulu oleh jurutera Gustave Eiffel, asalnya
berfungsi sebagai pintu gerbang untuk Pameran Perdagangan Dunia 1889. Pada
mulanya rekabentuk menara setinggi 324 meter ini mendapat kritikan tokoh-tokoh
seni serta para intelektual Peranchis. Namun kemudian ia menjadi tarikan utama pelancong
dunia.
Kumpulan muda bersantai di dataran Champ de Mars yang berhadapan dengan Menara Eiffel ketika pagi masih dingin. |
Kami
berjalan ke belakang di dataran Champ de Mars yang terbentang untuk mencari
sudut terbaik Eiffel. Jam di tangan sudah menghampiri pukul 8 pagi dan pelancong
semakin ramai mendatangi kawasan ini.
Dalam
perjalanan kembali ke kaki menara Eiffel kami dikerumuni sekumpulan enam
perempuan (dipercayai kumpulan Gypsy berasal dari Romania) dengan masing-masing
membawa kepingan kertas kempen International Red Cross dan meminta saya
menandatangani kertas tersebut.
Mereka
terus mengasak kami supaya menandatangani kertas kempen tersebut meskipun kami
berkeras menolaknya. Saya berjalan laju ke depan dan berputar kembali ke
belakang sambil mengambil foto mereka.
Kumpulan wanita yang dipercayai dari etnik Gypsy ini bertempiaran lari apabila saya berpusing merakamkan foto mereka. |
Kumpulan
Gypsy itu bertempiaran lari apabila foto mereka cuba saya rakamkan. Saya
mengejar mereka yang terus lari jauh dari kami.
Dalam
perjalanan keluar meninggalkan tapak Eiffel pagi itu kumpulan tiga lelaki, juga
dipercayai keturunan Gypsy, merapati kami, juga sambil meminta kami
menandatangani borang kempen International Red Cross.
Kami
katakan “No….” kepada mereka sambil bergegas pergi.
Demikianlah
taktik yang kerap digunakan oleh para penyeluk saku professional di Paris.
Mereka akan bergerak secara berkumpulan. Mereka biasanya akan mengelilingi
mangsa, mengalihkan perhatian mangsa kepada sesuatu….. sambil yang lain
melakukan kerja mencopet atau menyeluk barangan milik mangsa.
No comments:
Post a Comment