Breaking News

Sunday, June 8, 2008

IMBAUAN TERENGGANU

SUDAH lebih suku abad saya tinggalkan Terengganu. Tidak saya jengah-jangah tanah Darul-Iman ini setelah berhijrah keluar darinya 1983 dulu.

Demikian terpegun saya melihat perubahan yang mengambil tempat di sini. Kemaman yang dulunya cuma sebuah bandar kecil dan tenang, kini berubah wajah, bertukar menjadi bandar besar yang berselerak dengan pelbagai bentuk bangunan dan kompleks perniagaan.

Kalau dulu anda boleh memandu penuh selesa dan damai di tengah-tengah bandar Chukai, kini segalanya berubah. Kemaman dan Chukai hari ini sesak dengan kenderaan dan laluan yang simpang-siur, seperti juga bandar-bandar lain di Pantai Barat Semenanjung.

Kampung Kemasik yang sepanjang tujuh-puluhan dulu cuma dipenuhi dengan semak dan belukar, kini berubah menjadi tapak industri petroleum dan gas yang sungguh perkasa, hasil limpahan sumber minyak dan gas yang terbit dari perairan Terengganu mulai 1976. Perkampungan Nelayan Paka yang berjiran dengan Kemasik, juga menerima perubahan yang sama.

Perjalanan kami sekeluarga dari Kuala Lumpur jam 9.30 pagi minggu 7 Jun lepas, demikian selesa dan lancar. Lebuhraya Kuala Lumpur ke Beserah di Kuantan yang kami lalui pagi itu memang menyenangkan, sehinggalah kami menyeberangi jambatan Sungai Kemaman, yang memakan masa tidak sampai tiga jam.

Kami sekeluarga dalam perjalanan ke Kuala Besut hujung minggu lepas untuk percutian empat hari di Pulau Perhentian.

Laluan sepanjang perjalanan dari Kemaman ke Jertih, Besut, memang agak sesak dengan pelbagai kenderaan pada hari itu lantaran ia merupakana musim cuti sekolah, ditambah dengan temasya sukan SUKMA di mana Terengganu menjadi penganjurnya pada minggu ini.
Namun, kami cuma mampu sampai ke Kuala Besut jam 6.30 petang setelah mula memasuki Bandar Kemaman kira-kira jam 12.30 tengahari, dan cuma berehat selama 45 minit di perkampungan nelayan Kijal.

Dalam tempoh 25 tahun Terengganu saya tinggalkan, hakikatnya tidak banyak perubahan yang berlaku dari sudut sistem dan kemudahan jalanraya sepanjang perjalanan utama bermula dari Kekaman ke Jertih. Pertambahan bilangan kenderaan yang menggunakan jalanraya penting ini sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda lebih tinggi hari ini berbanding keadaannya 25 tahun dulu. Namun keadaan sistem, keluasan dan kemudahan jalanrayanya hampir tetap sama seperti dulu.

Dalam ketika sukan SUKMA dan musim cuti sekolah yang sedang berjalan, berpuluh-puluh kenderaan terpaksa berbaris panjang menanti giliran selama sepuluh atau 15 minit, menuju ke haluan di depan bagi memberi laluan kepada berpuluh-puluh lagi kenderaan dari arah bertentangan bilamana sekurang-kurang terdapat enam tempat peremukaan jalan sepanjang laluan merentasi negeri Terengganu ini sedang dibaiki.

Laluan menuju ke pusat Bandar Kuala Terengganu pada hari yang sama turut ditutup selepas Marang kerana pembinaan jalanraya di laluan berkenaan sedang dijalankan. Semua kenderaan terpaksa mengambil lencongan ke Bukit Payong, untuk sekurang-kurangnya 40 minit, bagi menuju ke pusat bandar dan ke Besut.

Bukit Payong kini menjadi bandar baru, penuh dengan barisan bangunan perniagaan dan kenderaan yang bertali-arus. Tiada lagi lembu-lembu yang berkeliaran di bibir-bibir jalan, atau orang-orang kampung yang mengayuh basikal, ataupun kereta-kereta tua berlalu perlahan di sepanjang jalan Bukit Payung hari ini, berbanding saat-saat manis dan tenangnya suku abad yang lepas. SHAHARON SALLEH

1 comment:

Unknown said...

Imbauan dr Terengganu yg di coret oleh En Shaharon dpt sy bayangkan keadaan lampau Terengganu ketika itu walaupun ketika itu sy belum dilahirkan. Syabas !

Designed By