Breaking News

Wednesday, June 11, 2008

TAMAN SYURGA PULAU PERHENTIAN


HATI-HATI bila anda bercuti di Pulau Perhentian (PP). Anda harus memilih pakej percutian dan penginapan yang sesuai untuk mengelakkan terjadinya sebarang insiden, khususnya pandangan-pandangan yang mengejut atau memalukan.

PP menawarkan pelbagai panorama dan aktibiti percutian yang sungguh menarik untuk keluarga. Tetapi, pada masa yang sama anda dan keluarga akan menerima kejutan bilamana terpandang wanita-wanita berkulit putih separuh bogel, cuma dengan ‘kotang’ bikini dan aurat yang terdedah bersantai di pantai tanpa malu dan silu.

Sejak terdedah kepada dunia luar hampir sedekad yang lepas, PP menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Hidupan batu-batu karang di perskitarannnya demikian menakjubkan, meskipun terdapat sebahagian dataran karangnya kini mati akibat pencemaran oleh aktibiti pelancongan yang berlebihan.

Urusan keluar masuk pelancong ke PP di jeti Kuala Besut, Terengganu, sentiasa dipantau rapi oleh kakitangan bahagian Polis Marin dan Jabatan Mritim. Pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang meninggalkan Kuala Besut ke PP tidak dibenarkan membawa penumpang yang berlebihan. Ini untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk dari berlaku.

Meskipun pengusaha-pengusaha bot penumpang di Kuala Besut dan PP sendiri terdiri dari pengusaha Melayu Terengganu, namun para pelancong pastinya terpegun melihat kecekapan mereka mengendalikan urusan pelancong dengan cekap menggunakan kelengkapan atau bot besar dengan enjin kuasa tinggi.

Keluarga kami seramai 30 orang, terdiri dari 14 dewasa, 4 remaja dan 12 kanak-kanak menyerbu PP tengahari Isnin lepas (minggu pertama Jun 2008). Kami menginap di Alu-Alu Resort, yang menyediakan pakej percutian harga sederhana. Lokasinya terletak di sebuah teluk bahagian selatan Pulau Perhentian Besar.

Terdapat sekurang-kurangnya enam pengusaha chalet dan hotel yang beroperasi di persisiran sepanjang 1 kilometer di pantai ini.

PP terlalu memukau. Pantainya dihiasi pasir yang bersih dan air membiru jernih berkaca. Aisyah, Atia, Raudhah, Aini, Raisah dan Amir, terus berkejar ke pantai sebaik beberapa minit tiba di Alu-Alu. Tidak ada perkara lain paling berharga bagi kumpulan kanak-kanak apabila tiba di PP, kecuali bermain dan bermandi-manda di pantai.

Malam ini kami beramai-ramai makan malam penuh selera di halaman pantai Alu-Alu berdepan dengan laut yang beralun lembut dan langit penuh taburan bintang. Kesegaran dan kelembutan alamnya demikian terasa.

Paginya kami bersiap untuk aktibiti ‘snorkling’, Pihak Alu-Alu mnggunakan khidmat bot penduduk perkampungan Pulau Perhentian Kecil yang bersebelahan untuk membawa kumpulan keluarga kami meneroka alam laut di pesisiran PP pagi itu.

Penduduk tempatan yang memiliki bot-bot besar, sederhana dan kecil mendapat manfaat, setiap peluang dan habuan dari aktibiti pelancongan yang berkembang subur di PP akhir-akhir ini.

Pemilik dan pengusaha-pengusaha ‘chalet’ dan ‘resort’ di persekitaran PP menggunakan perkhidmatan yang disediakan penduduk setempat untuk para pengunjung melakukan kegiatan memancing, mencandat sotong, lawatan ke kawasan persekitaran atau membawa pelancong ke lokasi-lokasi snorkling. Malah para pelancong yang bertandang ke PP juga harus mendapatkan peralatan-peralatan yang perlu dari bengkel pengusaha tempatan sekiranya mereka ingin menikmati keindahan hidupan dan alam laut PP melalui aktibiti snorkling.

Peluang dan kesempatan seperti di atas tidak dinikmati oleh para nelayan dan penduduk asal bagi apa jua kegiatan pelancongan di Redang, sebuah pulau jiran yang terletak kira-kira 20 kilometer dari PP. Semua akatibiti pelancongan di Pulau Redang seluruhnya dikuasi pengusaha hotel milik syarikat gergasi dari luar Terengganu.

“Kami gembira orang kampung dan penduduk tempatan mendapat nikmat dari limpahan pelancongan di Pulau Pehentian sekarang,” kata Pengurus Jualan sebuah agensi pelancongan Terengganu, EJ Tourism, Encik Zulkifli Hanifa.

Encik Zul dan EJ Tourism bertanggungjawab menguruskan perjalanan dan aktibiti keluarga kami sepanjang lima hari dalam program percutian di Terengganu musim cuti sekolah ini.
Kumpulan berpuluh atau beratus anak-anak ikan pelbagai warna dan jenis turut meraikan kedatangan kami apabila meneroka persekitaran pantai PP yang menawan dan menakjubkan.

Aisyah, yang mengetuai kumpulan enam adik-adik pupunya, demikian girang melihat kumpulan anak-anak ikan tadi mengerumuninya, berlumba-lumba memagut kepingan roti di tangannya bila roti dihulurkan.

Alam laut persekitaran PP penuh dengan tarikan dan keindahan, keunikan yang sukar didapati di tempat-tempat lain. Semua indah dan mempesonakan. Alam laut PP bagaikan sebuah taman syurga impian bagi sesiapa sahaja yang mahu menerokainya.

Tak puas sekali dan sehari, esoknya keluarga kami turun lagi melakukan aktibiti snorkling meneroka keindahan taman-taman laut PP yang pasti kehebatannya sukar dilupakan oleh setiap pengunjungnya.

Saya bersama lapan lagi anggota keluarga kami yang tahan lasak melakukan aktibiti lebih mencabar, pagi ini dengan aktibiti menyelam (scuba diving).

Azam, anak muda dari Kuala Terengganu yang berkhidmat selaku Master Diver di Alu-Alu Resort, tak pernah bosan melayan kerenah Amir Rashid, seorang cucu kakak tua saya, Wan Haslah, meskipun dia tidak harus menyelam ke dasar lebih dalam ketika usianya baru memanjat 10 tahun.

Gerombolan anak-anak ikan, kecil dan besar penuh warna-warni, bertaburan di sana sini sekitar batu-batu karang cantik yang menghiasi periran PP. Sesekali di dasar pantai sedalam 4 hingga 5 meter di sini, kami bernasib baik sang penyu sedang berenang lembut membelah air jernih berkaca.

Batu-batu karang berselerak di ai perairan pulau ini dalam pelgai warna dan bentuk. Semuanya indah, menawan. Ia memperlihatkan keajaiban alam laut ciptaan Allah Maha Pencipta. Namun keindahan alam laut yang mengasyikkan ini adalah untuk setiap pengunjung melihat dan menghayatinya sahaja.

Anda tidak harus memegang, menyentuh atau mengganggu-gugat batu-batu karang atau apa sahaja hidupan dalam laut ini. Taman-taman laut yang indah ini tidak dibina atau mengembang subur dalam tempoh setahun dua. Setiap satunya hidup, membiak dan menghiasi dada perairan Pulau Perhtian hasil proses beratus atau beribu tahun.

Lalu tidak hairanlah kita melihat Pulau Perhentian kini semakin menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar negara. Alu-Alu Resort, yang muncul sebagai pusat utama akbibiti menyelam di PP, tidak sepi menerima pertambahan peminat-peminat scuba diving dari luar negeri, terutama dari Eropah, pada setiap tahun.

Ayuh ke Pulau Perhentian! Sama-sama kita terokai keindahan perairan negara yang demikian berharga dan menawan. SHAHARON SALLEH

1 comment:

zarimalaysiana said...

ZariMalaysiana tumpang gembira kerana hari ini orang Malaysia sudah mula kenal dan cintai negaranya sendiri yang tidak kurang hebat malah kebih dari itu.
Industri pelancongan seperti mana industri lain ada baik buruknya. Kalau mat-mat dan minah-minah salleh datang ke sini dan jumpa pantai bersih memutih apa yang menyedihkan mereka buat orang tempatan "terkeluar biji mata" dengan ketidak-sopanannya.Ada yang marah tapi tak kurang juga yang syok!
Orang tempatan pula bila jumpa pantai putih bersih lain pula ceritanya ... habis disampahkan merata.(taklah semua buat begitu, jangan marah ya!) Sahaja peingatkan.
Syabas pada Bila gendang dipalu dengan cerita dari Terengganu ni. Hendaknya dipalulah kuat-kuat agar ramai yang datang berkunjung tapi jangan pula nak tengok "mem-mem salleh" tayang body dek bakar mentari.

Designed By