Ramai pihak yang menolak sinis awal minggu ini apabila Tengku Razaleigh Hamzah, membayangkan kemungkinan sebuah parti politik anggota BN dari luar Semenanjung akan berpaling tadah untuk menyertai pakatan pembangkang di Dewan Rakyat.
Apa yang dibayangkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu kini menjadi kenyataan. Parti Progresif Sabah (SAPP) hari ini secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan pusat di bawah pimpinan BN.
Dengan suara lantang dan penuh bersemangat presiden SAPP, Yong Teck Lee, turut mengisytiharkan keputusan parti untuk membawakan usul / undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat mulai Isnin 23 Jun ini.
SAPP dijadual membawakan usul mengejut ini di Dewan Rakyat melalui dua Ahli Parlimennya – Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Dr. Chua Soon Bui (Tawau).
Rakyat setempat dan dunia serantau pastinya akan menyaksikan lebih banyak lagi kejutan terhadap suasana politik Malaysia dalam beberapa minggu ini, dan bulan-bulan seterusnya, bertolak dari keputusan PRU-12 pada 8 Mac lalu bilamana pakatan pembangkang menawan lima negeri di samping mengenepikan penguasaan dua per-tiga BN di Parlimen.
Selaku tokoh politik veteran, Tengku Razaleigh tidak mungkin tersasar jauh, atau cuba menyebarkan khabar maupun propaganda liar sahaja bilamana beliau menyebut kemungkinan berpaling tadahnya sebuah parti komponen BN.
Cerita ‘lompat melompat’ bukan suatu yang aneh bagi pertubuhan-pertubuhan politik di Sabah. Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Pairin Kitingan pernah berpaling tadah dari BN, menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) beberapa hari sahaja menjelang PRU 1990 dulu. Tengku Razaleigh merupakan pemimpin utama APU dan presiden Semangat 46 ketika itu.
Suasana Dewan Rakyat yang memang panas bulan-bulan yang lepas, pastinya akan lebih hangat dan menggelagak mulai Isnin nanti – kemungkinan menyaksikan peralihan kerusi wakil Sepanggar dan Tawau dari kumpulan ‘Backbencher’ ke barisan Pakatan Rakyat.
Apakah mungkin akan berlaku tindakan ‘berpaling tadah’ yang lebih besar di Parlimen selepas 23 Jun ini, atau sebaliknya, perkembangan politik terakhir ini akan majdi tumpuan semua rakyat.
Namun yang bakal menerima kejutan maha besar kelak ialah barisan tokoh-tokoh menteri dan penyokong–penyokong kerajaan sendiri yang mungkin terpaksa beralih tempat mengisi kerusi pembangkang, sekiranya gelombang dari tsunami ‘paling tadah’ ini benar-benar terjadi di Parlimen dalam tempoh terdekat nanti.
Semua kemungkinan ini boleh menjadi realiti. Ia bukan suatu yang mustahil.
No comments:
Post a Comment