Breaking News

Tuesday, June 17, 2008

Tempoh Bermewah Kini Berakhir

Tempoh Bermewah Kini Berakhir

Seorang peniaga kecil di Ampang Jaya, Selangor, mengeluh lesu melihat bisnes nasi campurnya di sebuah gerai tersusun di sini menjadi semakin muram dan gelap. Peniaga malang itu cuba mempertahankan harga jualan makanannya mengikut kadar setahun dua yang lepas meskipun harga bahan-bahan runcitnya yang didapatkan di pasar kini melambung tinggi.

Sudah lebih sepuluh hari, sejak kenaikan harga petrol 5 Jun lepas, dia cuba bertahan untuk meneruskan perniagaan kecil ini yang dimulakannya lebih 15 tahun dulu. Namun gelombang inflasi, pukulan kenaikan harga barangan yang semakin mengganas sekarang, akhirnya mematah dan melumpuhkan setiap sisa kekuatan yang masih melekat pada dirinya. Dia terpaksa tunduk, mengalah kepada tekanan inflasi buruk yang membadai sekarang.

Hari ini peniaga kecil ini terpaksa menghentikan bisnesnya. Sejak sepuluh hari yang lepas pulangan jualannya demikian rendah. Nak dapatkan kembali modal belian bahan-bahan runcit pun tak lepas. Apalagi untuk membayar gaji tiga pembantu. Akhirnya perniagaan nasi campurnya terpaksa ditutup. Mungkinkah nasib peniaga kecil ini bersama empat anak-anaknya, yang kesemuanya masih belajar di sekolah rendah, kini bertukar muram seperti muramnya alam bila dipukul ribut?

Turun naik ekonomi sesebuah negara lazimnya memberi kesan langsung kepada semua sektor perniagaan dan perkhidmatan: sama ada perhotelan, pelancongan, peruncit, peniaga-peniaga kecil, atau di kalangan pemandu-pemandu teksi. Senarai peniaga-peniaga di atas merupakan barisan pertama dari sistem ekonomi yang segera melihat dan merasakan kesan turun naiknya ekonomi negara.

Pertumbuhan pembangunan dan ekonomi yang lembap sekaligus melemahkan daya semua sektor perniagaan untuk bertahan dan berkembang. Kelemahan seperti ini dialami para peniaga ini sejak empat lima tahun yang lepas.

Peniaga nasi campur dari Ampang jaya serta peniaga-peniaga di tempat lain melihat sendiri bagaimana bilangan pelanggan mereka merosot bulan demi bulan sejak empat lima tahun yang lampau. Kemerosotan ketara dilihat pada minggu-minggu kebelakangan ini.

Peniaga-peniaga di Taman Warisan Pertanian di Putrajaya turut mengalami dilema kemerosotan perniagaan akhir-akhir ini meskipun medan menjamu selera itu terletak di kawasan elit dan strategik. Lebih separuh dari barisan meja-meja di sini lengang tanpa pengunjung. Ini merupakan senario yang amat kontras berbanding dengan keadaan sebelumnya.

Warga-warga kota Kuala Lumpur seakan masih terkejut dengan kesan kenaikan mendadak 41 peratus harga minyak petrol yang berkuatkuasa 12 hari lepas. Selepas matahari terbenam, jalan-jalan dan lebuh-leburaya sekitar KL dan Putrajaya kini tidak sibuk lagi seperti bulan-bulan yang dulu.

Kos kehidupan yang melonjak tinggi sekarang, pastinya memaksa semua rakyat, termasuk golongan berpendapatan sederhana sendiri, untuk benar-benar berjimat dan berhemah di dalam berbelanja. Tempoh bermewah kini berakhir. Mungkin untuk sementara. Namun keadaan yang dilihat sekarang demikian mencemaskan.

No comments:

Designed By