BATU-BATU nisan tua berusia mencecah 500 tahun atau
lebih, berselerak, patah, tumbang dan terbenam di persekitaran makam Megat
Tampi (Meugat Ji’i – mengikut istilah Aceh) di sebuah kawasan tanah tinggi di
desa Lam Blang Trieng, Kecamatan Darul Imarah di Aceh Besar.
Sebahagian dari penghuni makam-makam sepi ini merupakan
ulama-ulama terdahulu yang bertanggungjawab meletakkan asas demikian kukuh bagi
Islam sebagai agama ikutan tunggal masyarakat Aceh dan bagi seluruh Sumatera
kemudiannya. Sebahagian penghuni lain terdiri daripada para pembesar dan
keluarga diraja Darul Imarah.
Dan keadaan lebih menyayat terus tertimpa ke atas makam
para ulama, pembesar dan pemimpin rakyat yang demikian terbilang itu apabila
pihak berkuasa wilayah dan daerah-daerah di Aceh sendiri tidak memperdulikan
nasib makam-makam ‘endatu’ mereka yang penuh bersejarah ini.
Aceh kini seperti sudah melupakan sejarah silam mereka
setelah kuasa berada di dalam tangan dan dalam ketika hasil negeri lebih banyak
mengalir kepada mereka yang duduk dalam kantor-kantor pemerintah.
Namun, dalam suasana yang amat menyedihkan ini, rakyat
seluruh Aceh seharusnya memberi penghargaan kepada gerakan Masyarakat Peduli
Sejarah Aceh (MAPESA) dan Centre For Information of Samudera Pasai Heritage
(CISAH), dua buah organisasi kecil yang terus bergerak sejak tiga tahun lepas cuba
menyelamatkan makam-makam bersejarah di seluruh Aceh dari terus tenggelam dan
hilang.
Tenaga orang muda yang berkhidmat secara sukarela menjadi pemangkin utama untuk menyelamatkan ratusan kawasan permakaman bersejarah yang berselerak di seluruh Aceh. |
Keringat terpercik dan mengalir dari dahi Samsuddin, pelajar SMA dari asrama RAYMTA Banda Aceh, ketika menyertai misi menyelamatkan makam-makam bersejarah di Darul Imarah pagi minggu ini. |
Untuk lima jam sejak pagi tadi kumpulan 13 relawan Mapesa
dan Cisah bekerja keras menegakkan kembali lapan tiang nisan yang sebelumnya
tumbang dan terbenam di persekitaran Maskam Megat Tampi di Lam Blang Trieng.
Enam pelajar dari Rumah Anak Yatim Melaka – Tsunami Aceh
(RAYMTA), untuk minggu ketiganya kali ini, menyertai misi menyelamatkan
makam-makam bersejarah di sekitar Aceh Besar. Pagi ini setiap pelajar kami,
juga relawan lain, bermandi keringat kearana terpaksa mengangkat dan mendirikan
kembali batu-batu nisan yang demikian berat.
Terdapat 13 makam di kawasan ini dengan satu sahaja
darinya yang tegak terselamat tanpa kecacatan. Batu-batu nisan bagi lapan kuburan di makam
ini mengalami kerosakan teruk, pecah dan bersepai.
Begitupun kesema 13 anggota Mapesa dan Cisah sertah enam
pelajar RAYMTA bersama Tengku Afrizal Hidayat, terpaksa mengambil masa hampir
lima jam untuk menegakkan kembali lapan batu nisan yang tumbang dan terbenam di
bumi.
Kawasan permakaman Megat Tampi terletak di sebuah dataran
agak tinggi di pinggir sawah di sudut terpencil desa Lam Blang Trieng. Persekitarannya
demikian mempesonakan dengan banjaran Bukit Barisan berdiri memanjang di hujung
sawah padi yang luas terbentang.
Banjaran Bukit Barisan menjadi latar belakang menarik kawasan makam bersejarah Lam Blang Trieng di Darul Imarah. |
Semak samun dan pohon-pohon rimbun yang menutup batu-batu
nisan sama-sama mereka bersihkan untuk memberi nafas baru kepada kawasan
permakaman sunyi ini.
Batu-batu nisan di sini bukan kepalang beratnya, melebihi
setengah tan setiap satunya. Enam pemuda bertenaga keras pun tak mampu
mengangkat setiap tiang nisan ini yang berukuran 1.2 meter tinggi dan 0.5 meter
tiang bawahnya.
Dan kesemua relawan Mapesa, Cisah sejak tiga tahun dulu
hingga hari ini melakukan kerja menyelamatkan makam-makam lama ini setiap
minggu secara sukarela tanpa langsung bantuan kewangan atau sokongan dari
mana-mana pihak berkuasa Porovinsi atau Kabupaten di Aceh.
Dua pertubuhan kecil ini bergerak bersendirian melalui
bantuan seadanya dari teman-teman dan beberapa individu yang menyedari perlunya
makam-makam berjerah tua di seluruh Aceh diselamatkan.
Fauzan, pelajar RAYMTA, cuba mengangkat nisan. |
Pemimpin utama Cisah, Tengku Taqiyuddin Muhammad,
tertanya-tanya sendiri: “Apa fungsinya kehadiran jentera-jentera pemerintah
Aceh yang sama sekali tidak peduli terhadap nasib yang menimpa makam-makam tua
di seluruh provinsi ini?”
Cisah dan Mapesa akan terus menelusuri setiap ceruk rantau
bumi Aceh untuk mengumpul data, mengesan dan mememberi tanda terhadap setiap
satunya.
“Kami sentiasa berharap semua makam penuh bersejarah ini diberi
tanda dan dikenalpasti untuk penghayatan generasi sekarang dan yang akandatang,”
ujar Tengku Taqiyuddin.
Dua minggu lagi sekumpulan siswa dari Bireun akan
menyertai misi relawan Cisah dan Mapesa untuk menyelamatkan ratusan lagi
kuburan tua yang tersembunyi di pelbagai pelusuk Inderapuri, salah satu tapak
Islam yang pernah didirikan di bumi Aceh lebih 750 tahun lampau.
Anak-anak RAYMTA akan mengikuti sama misi ini dengan
sepenuh hati. Bahawa mereka tidak mahu sejarah endatu (nenek moyang) mereka
tenggelam dan dilupakan zaman.
1 comment:
mantap ,,,,,,,,,,,,
Post a Comment