Breaking News

Tuesday, June 17, 2008

KL KINI LENGANG

Saya turun ke KL lewat pagi ini untuk mencari pelbagai keperluan peribadi. Suasana ibu kota ini agak jauh berbeza jam 11.30 pagi Selasa ini berbanding waktu dari hari yang sama pada bulan-bulan sebelumnya.

Tak banyak kenderaan yang biasanya menyesakkan dada Batu Road (Jln Tuanku Abdul Rahman) atau Jln Chow Kit sendiri pada waktu ini. Batu Road dan Chow Kit nyata lengang dan tak berrmaya pagi ini. Tak banyak kereta, lori atau motosikal. Tak ramai manusia mundar mandir di dadanya seperti ketika-ketika dulu.

Peniaga runcit, penjual-penjual ikan, sayuran dan buah-buahan tidak lagi berteriak riang memanggil pembeli untuk merebut jualan masing-masing seperti selalunya. Lorong-lorong yang membelah di tengah meja-meja peniaga ikan jelas lengang. Pengunjung tidak perlu lagi jalan berhimpit atau berasak-asak untuk ke hujung atau ke pangkalnya.

Longgokan kerang dan ikan-ikan segar tersusun rapi di atas meja kiri kanan lorong panjang ini. Sayangnya, tak banyak yang disambar pembeli. Dan akhirnya bahan-bahan jualan ini mungkin dihantar semua ke dalam peti simpanan sejuk petang nanti.

Demikian senario kecil kesan inflasi, didorong oleh kenaikan harga minyak petrol dan disel yang melanda KL dan negara seluruhnya akhir-akhir ini. Kejutan dari luka kenaikan mengejut ini memang sukar untuk diterima oleh hampir seluruh warga Malaysia. Nyawa KL dan nafas rakyat hari ini semakin gawat dan cemas. Ia terpaksa mengambil masa agak panjang untuk menserasikan diri dengan kejutan inflasi ini.

No comments:

Designed By