Anda mungkin kepingin untuk menjadikan keris keramat RINCONG ACEH sebagai koleksi istimewa yang boleh dijadikan hiasan di dinding pameran ruang tamu kediaman. Ia demikian cantik dan amat menarik. Namun, harganya bukan sedikit. Mencecah ratusan ribu ringgit.
Senjata keramat ini, berhulukan gading gajah bersalut emas, dipercayai sebagai salah sebuah dari tiga Rincong Aceh peninggalan Sultan Iskandar Muda yang memerintah Nanggroe Aceh Darussalam antara 1606 hingga 1637. Ia kini berada di dalam simpanan seorang pewaris dari kesultanan paling masyhur dalam sejarah Aceh.
Nama RINCONG tidak dapat dipisahkan dengan Aceh dalam sejarah kebangkitan rakyat Nanggroe Darussalam ini selama lebih 700 tahun sehingga kini.
Aceh muncul sebagai pelantar bumi pertama yang membenarkan kemasukan Islam ke rantau Asia Tenggara, khususnya bagi rantau kepulauan Melayu, pada awal kurun ke 13 Masehi.
Di samping panah, lembing, tombak dan keris, RINCONG menjadi senjata terpenting pahlawan dan hulubalang Aceh ketika mempertahankan diri atau menyerang musuh.
Memang terdapat banyak kelebihan pada rincong, berbanding dengan keris yang popular digunakan sebagai senjata utama di kalangan hulubalang dan pahlawan-pahlawan Melayu atau Jawa ketika bertempur dengan musuh dalam sejarah silam.
Hulu Rincong Aceh ini terbuat dari gading gajah. Ia bersalut emas dengan ukiran yang amat menarik. Sarungnya pula dibuat dari perak dengan hulu dan hujungnya dihias dengan ukiran emas.
Rincong adalah sekali ganda lebih panjang berbanding keris. Hulunya yang berbantuk L dan agak panjang, memberi kelebihan kepada penggunanya membenam, melibas mata tajamnya dari semua arah dengan tikaman, hayunan atau radakan padu ke tubuh lawan dan tanpa mudah terlepas.
Seorang hulubalang bersenjatakan rincong mampu melibas lawannya yang datang dari semua arah sama ada ketika rincong di gunakan dengan tangan kanan atau dengan tangan kiri.
Dan lebih parah lagi ia mampu menangkis serangan serta menusuk tubuh musuhnya sekuat-kuat hati menggunakan tenaga kedua-dua belah tangan dengan senjata rincongnya.
Kehebatan rincong akhirnya telah berjaya membolehkan Aceh menawan Negeri Perak pada awal kurun ke 13 dengan menubuhkan kerajaan Gangga Negara di Beruas menerusi rajanya yang bernama Merah Silu yang kemudian bergelar Sultan Malik Ul Salih, raja pertama yang memeluk Islam dalam sejarah kesultanan Melayu.
Menurut sejarahnya, Merah Silu adalah seorang raja pemeluk agama hindu di Samudera Pasai (sekarang Lhoksumawe di Sumatera) sebelum ia memeluk Islam pada 1267 menggunakan gelaran Sultan Malik Al Salih. Baginda memerintah Pasai sehingga kemangkatannya pada 1297.
Menurut 'Hikayat Raja-Raja Pasai', Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. lalu kemudiannya membuang agama Hindu dan terus memeluk Islam.
Dari Samudera Pasai, yang kemudian bertukar kepada nama Aceh, Islam berkembang ke seluruh empayar Melayu, menembusi Melaka, tanah Jawa dan sehingga ke pulau-pulau di rantau Filipina di awal kurun ke 13.
Di bawah kepimpinan Sultan Iskandar Muda pada 1613 Aceh berupaya menundukkan kesultanan Johor Riau dengan menjadikan Pulau Bintan sebagi pusat pemerintahannya. Namun kekuatan Aceh di Bintan di bawah Sultan Hammat Shah terpaksa tunduk kepada asakan hulubalang-hulubalang Johor dua tahun kemudiannya yang menyebabkan raja boneka itu membina negeri baru di Pahang.
Barisan hulubalang Aceh mempertahankan Naggroe Aceh Darussalam dengan rincong untuk tempoh begitu panjang apabila bumi mereka diceroboh tentera-tentera Portugis, Belanda, Inggeris dan kemudiannya Jepun sejak kurun ke 15 hingga tahun 1945.
Meski ‘Rincong Aceh’ kini tenggelam bersama sejarahnya, namun ia terus menjadi lambang utama dan sumber semangat rakyat Aceh yang terkial-kial bangkit dan membangun setelah puluhan ribu hulubalangnya maut dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dari Jakarta selama 30 tahun sejak 1967.
Dan keris Rincong Aceh terus hilang bersama hampir 300,000 rakyatnya yang terkorban akibat amokan gelombang tsunami yang meratah bumi Aceh dalam tragedi paling ngeri dan dahsyat 26 Disember 2004 dulu.
Yang tingggal kini cuma sebilah ‘Rincong Aceh’ keris keramat bersalut emas dengan sarung bersalut perak peninggalan Sultan Iskandar Muda untuk membakar samangat rakyat Aceh supaya terus berjuang mempertahankan dan membangun bumi tercinta mereka.
Dan pemuda pewaris ‘Rincong Aceh’ terkhir ini mengucup hulu keris pusaka itu dengan penuh semangat. “Rincong Aceh ini adalah pembakar semangat kami rakyat Aceh untuk selamanya,” katanya dalam satu pertemuan di Banda Aceh baru-baru ini.
SILA bertandang ke Aceh sekiranya anda ingin menyaksikan sendiri atau ingin memiliki 'Rincong Terakhir' ini sebelum ia disambar oleh pemburu Barat yang memang terlalu berminat membawa pulang khazanah paling bernilai dari rantau Melayu.
No comments:
Post a Comment