SEMAMANGNYA luar biasa. Lebih 100,000 orang para mubaligh Muslim dari seluruh dunia dijangka berhimpun di Kemboja, selama tiga hari mulai 23 April ini.
FOTO: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, senang hati menyambut para tamu mubaligh Islam.
Kehadiran para mubaligh bersarban, dengan janggut tebal, berpakaian jubah atau berbaju labuh yang serba putih akan menukar wajah Kampong Cham, sebuah penempatan utama masyarakat Islam Kemboja 100 kilometer dari Phnom Penh, kepada satu panorama yang amat menakjubkan.
Hairannya, mengapa para mubaligh ini harus berhimpun di Kemboja, bumi keramat kaum Budha dengan Angkor Wat dan tanah Pol Pot, pemimpin komunis paling kejam yang telah menyembelih lebih sejuta manusia tidak bersalah dalam sejarah gelora pertumpahan darah di bumi Kemboja selama 22 tahun antara 1975 hingga 1997.
Sepanjang tiga hari perhimpunan di Kampong Cham itu, pinggiran-pinggiran Sungai Mekong akan bertukar wajah – dipenuhi khemah dengan lebih 100,000 manusia yang hampirnya kesemuanya berpakaian serba putih berhimpun.
Panorama seperti ini pernah disaksikan oleh penduduk dan rakyat Kemboja apabila lebih 30,000 orang terdiri dari para mubaligh Islam dari semua rantau di dunia mengadakan perhimpunan di sini pada bulan yang sama tahun lepas.
HUN SEN SAMBUT JEMAAH
Perhimpunan tahunan para mubaligh dari pelbagai negara bermula di Kemboja lebih sepuluh tahun dulu dengan perhimpunan pertamanya cuma dihadiri lebih sedikit dari 3 ribu jemaah.
Hairannya, Perdana Menteri Hun Sen menyambut dengan tangan luas terbuka kepada lebih 100,000 jemaah mubaligh ini dalam ketika Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Baratnya melabelkan: setiap lelaki berjanggut, bersarban dan berjubah putih sebagai pengganas (teroris).
Perasangka buruk yang sama turut dilemparkan oleh beberapa negara Islam sendiri, Indonesia (umpamanya), yang tidak kurang curiga terhadap lelaki berjanggut, bersarban dan berjubah putih.
Hun Sen gembira menerima tetamu mubaligh ini kerana dia percaya, melalui pengalaman Kemboja sejak sepuluh tahun lepas, bahawa kehadiran jemaah besar para mubaligh ini lebih banyak membawa keuntungan kepada negaranya dari semua sudut.
Perdana Menteri itu tidak pernah bersangka buruk terhadap para mubaligh Islam ini, sama ada sesuatu yang mungkin mengancam struktur sosial, politik atau keselamatan Kemboja. Sebaliknya dia melihat Kemboja terus mendapat kepercayaan masyarakat antarabangsa; pelaburan asing terus mencurah masuk ke negaranya.
PENDUDUK ISLAM SELAMATKAN BUN RANY
Dia sendiri akan menghantar anggota-anggota tentera Kemboja membuat kawalan sebaik mungkin di sepanjang Sungai Mekong sepanjang berlangsungnya perhimpunan mubaligh ini untuk mempastikan keselamatan tetamu yang berhimpun kelak.
Dan ada cerita yang mengatakan Hun Sen senang bersahabat dengan penganut Islam; lantaran isterinya, Bun Rany, dan keluarganya pernah diselamatkan oleh penduduk Islam Kampong Cham semasa gelora peperangan dan perebutan kuasa di kemboja antara 1990 hingga 1997.
Barisan petugas keselamatan dan immigresen di lapangan terbang Phnom Penh sehingga hari ini (Rabu 14 Mac) dikhabarkan telahpun menerima kebanjiran lebih 80,000 mubaligh luar yang kini memenuhi semua hotel dan masjid di Phnom Penh, ibu kota Kemboja ini, atau di Kampong Cham sendiri.
Beberapa kumpulan mubaligh dari Kuala Lumpur sendiri sejak seminggu lepas, sehingga ke hari ini, menghadapi masalah mendapatkan tiket penerbangan ke Phnom Penh kerana tiket-tiket bagi hampir semua syarikat penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kemboja telah habis dijual.
UNTUNG KUTIP CUKAI PELANCONG
Kemboja mengenakan cukai RM80 bagi setiap pelancong Asean untuk keluar di lapangan terbang Phnom Penh, dan RM 160 bagi pelancong antarabangsa lain.
Dari kutipan cukai pelancong sahaja sepanjang perhimpunan mubaligh ini berlangsung, kerajaan Kemboja dianggarkan akan mampu mengutip sehingga RM 15 juta. Angka ini tidak termasuk hasil lain yang bakal dinikmati oleh pelbagai sektor di Kemboja apabila jemaah pelancong yang ramai ini berbelanja untuk penginapan, makan, minum dan membeli belah.
Perhimpunan mubaligh antarabangsa yang berlangsung di Sepang, Malaysia, Julai tahun lepas dihadiri lebih dari 600,000 jemaah tempatan dan antarabangsa, meskipun pihak penganjur awalnya menjangka cuma 200,000 orang akan hadir.
Gubnor Irwandi Yusuf dan masyarakat Aceh seluruhnya perlu memandang jauh ke depan dan bersikap lebih terbuka, tanpa prajudis atau buruk sangka, mengambil iktibar keterbukaan Perdana Menteri Hun Sen dan Kerajaan Kemboja berhubung jemaah mubaligh berjanggut, bersarban dan berjubah putih.
Hasrat menghidupkan kembali aura Tanah Serambi Mekah dan Kota Pelancong Islam untuk Banda Aceh mungkin akan kekal tenggelam di dalam impian sahaja sekiranya Aceh cuma terus terbuai dengan kenangan sejarah gemilang lampaunya.
Tidaklah harus Nanggroe Darussalam ini membiarkan dirinya cuma lebih dikenal dunia sebagai ‘Jelapang Tsunami’ atau ‘Tanah Rincong’ yang cuma kaya dengan budaya dan adatnya sahaja.
Aceh harus keluar dari kelambu perasangka dan penderitaannya yang sekian lama. Tunjukkan ramah, mesra dan keterbukaanmu seperti keindahaan budi masyarakat Sunda – sehingga Jawa Barat dan Kota Bandung itu sendiri kini menjadi kota paling disenangi oleh mana-mana jua pelancong dari seluruh pelusuk dunia yang pernah mengunjunginya.
No comments:
Post a Comment