“PEMERINTAH DAN SEBAHAGIAN MASYARAKAT ACEH DILIHAT TIDAK BENAR-BENAR MESRA TERHADAP PELANCONG BERJANGGUT DAN BERJUBAH”
Masyarakat Islam seluruh dunia akhir-akhir ini memberi penilaian paling tinggi terhadap Aceh ekoran kesungguhan pemerintah Tanah ‘Serambi Mekah’ ini ke arah memertabatkan syariat Islam sebagai
FOTO: Irwandi Yusuf selaku Gubnor Nanggroe Aceh Darussalam.
undang-undang, perturan dan hukum yang bakal digunapakai untuk seluruh jentera pentadbiran dan rakyatnya.
Berita-berita berhubung hukuman ‘cambuk’ yang pernah dikenakan ke atas pesalah-pesalah, seperti yang dilaksanakan di beberapa kabupaten di Aceh sejak setahun yang lepas, kerap menjadi bahan menarik diungkapkan oleh para penceramah di surau dan masjid-masjid seluruh Malaysia sejak setahun lepas.
Tindakan berani pihak berkuasa di Aceh Barat dan satu dua pemerintah kabupaten lain yang mengharamkan kaum wanita berpakaian ketat atau ‘tidak Islami’ (menurut istilah tempatan) memasuki pejabat-pejabat pemerintah atau berurusan di kota dan bandar-bandar, juga mendapat sanjungan ummat Islam di Malaysia dan di dunia seluruhnya.
Kerajaan Pas pimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan (sebuah negeri paling banyak melahirkan pendekar-pendekar aliran agama, juga terkenal dengan panggilan Negeri Serambi Mekah) pun tidak terdaya melaksanakan hukuman seperti yang dilakukan di Aceh akhir-akhir ini, meskipun Pas telah menguasai Kelantan sejak lebih 20 tahun yang lepas.
TIDAK MAMPU TANDATANGAN
Ummat Islam di seluruh nusantara Melayu sedang menunggu dan memerhati sejauh mana kesungguhan pemerintah Aceh di bawah pimpinan Irwandi Yusuf, selaku Gubnornya, melaksanakan hukum dan syariat Islam setelah Aceh mendapat hak autonomi mentadbir wilayahnya sendiri, dari Jakarta, melalui perjanjian persefahaman 15 Ogos 2005. Demikianpun, kuasa autonomi tidak menjanjikan segala-galanya kepada Aceh dan barisan pemimpin-pemimpin provinsi ini yang sejak empat tahun lepas dikuasai oleh kalangan pendokong dan bekas pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Irwandi sekarang terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan peraturan dan hukum negara, terutamanya yang menyentuh soal kebebasan Hak Asasi Manusia (HAM), sehingga Gubnor itu tidak mampu menunrunkan tandatangan terhadap beberapa Qanun Jenayah dan Hudud yang lebih berat: hukum potong tangan dan rejam, umpamanya, seperti yang dituntut oleh pelbagai pihak di Aceh.
Secara umumnya masyarakat seluruh Aceh lima enam bulan yang lepas dilihat penuh bersemangat mahu mengembalikan kegemilangan Islamnya seperti ketika Tanah Serambi Mekah ini duduk di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda 400 tahun yang lampau.
DESAK HUKUM SYARIAT
Selaras dengan pelaksanaan hukum syariat Islam, pemerintah Aceh kini mengatur perancangan menjadikan Banda Aceh, ibu kota provinsinya yang pernah digulung ombak tsunami lima tahun dulu, sebagai ‘Kota Pelancongan Islam’.
Namun, perkembangan mutakhir memperlihatkan banyak lagi hambatan lebih berat yang mesti ditempuh oleh Irwandi dan masyarakat Nanggroe Darussalam ini ke arah menegakkan sebuah wilayah Islam dan Kota Pelancongan Islam yang diimpikan itu.
Seorang teman yang baru pulang ke Kuala Lumpur, setelah bertandang empat hari di Aceh baru-baru ini, melontarkan keraguan mendalam bila bercakap mengenai penegakan sebuah wilayah Islam di Aceh dan hasrat menjadikan Banda Aceh sebagai Bandar Pelancongan Islam serantau.
“Setelah berkunjung singkat ke sana saya tidak melihat pihak pemerintah dan sebahagian dari orang Aceh sebagai masyarakat yang benar-benar mesra terhadap pelancong-pelancong Islam,” kata teman mubaligh itu. Teman yang berjanggut, berkopiah dan berbaju putih ala seorang mubaligh Pakistan ini menceritakan bagaimana kehadirannya di banyak tempat di Aceh dilayan dengan pelbagai pandangan yang penuh tanda tanya serta kerlingan-kerlingan mata yang sangat mencurigakan.
Barangkali kehadiran teman dari Kuala Lumpur itu minggu lepas tidak sesuai dengan masanya, ketika pihak keselamatan di Aceh masih lagi memburu pendokong-pendokong gerakan jihad Islam yang mereka labelkan sebagai ‘pengganas’ atau ‘teroris’. Dan nasib teman ini menjadi lebih malang lagi kerana bagi sesetengah pihak, pihak keselamatan atau masyarakat umum sendiri, yang melihat lelaki berjanggut, berkopiah dan berjubah atau berbaju putih yang labuh itu adalah mereka yang kerap dicurigai sebagai teroris.
Namun teman yang sempat berkunjung ke Bireuen itu, sebuah bandar 4 jam perjalanan ke selatan Banda Aceh, masih lagi dianggap sebagai sangat bernasib baik, lantaran dia mungkin terpaksa melalui pengalaman yang lebih pahit sekiranya kunjungannya ke Nanggroe Darussalam ini dilakukan dalam tempoh satu atau dua bulan yang lepas.
Dalam tempoh tersebut pasokan komando tentera dan polis Indonesia menggempur markas latihan kumpulan radikal bersenjata di Desa Meunasah Tunong, Kecamatan Seulimuem, Aceh Besar, 3 Mac lepas serta gerakan pembersihan di seluruh Aceh selama dua minggu berikutnya yang menghasilkan 31 lelaki disyaki sebagai ‘teroris’ ditangkap manakala 7 lagi ditembak mati.
SAF SUBUH SEDIKIT
Dalam hal yang lain pula teman tadi lebih terkejut melihat bilangan jemaah yang menunaikan solat Subuh di Masjid Baitur-Rahman, sebuah masjid yang paling diingati dunia ketika Tsunami dulu, terlalu sedikit jemaah subuhnya – tidak memenuhi tiga saf pendek dengan 40 jemaah satu baris, seimbang dengan penduduk persekitarannya dan sesuai dengan nama hebat Aceh sebagai Tanah Serambi Mekah.
“Bagaimana Banda Aceh mampu menjadi Banda Pelancong Islam, dan bagaimana mungkin Islam dapat dipancarkan semula cahayanya di Aceh kalau pemimpin dan masyarakat Aceh sendiri tidak mahu mengimarahkan Baitur-Rahman di waktu subuhnya,” tanya teman itu lagi.
Sesungguhnya teman ini amat meyakini bahawa Islam akan terpancar kembali cahaya dan kegemilangannya apabila ummatnya mengimarahkan masjid-masjid mereka pada setiap waktu solat, terutama untuk solat Subuh itu sendiri.
No comments:
Post a Comment