HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI. Demikianlah keluhan yang kerap berputar dalam benak kepala sebahagian besar dari rakyat Indonesia dari dahulu sampai sekarang apabila menyebut perihal kedurjanaan barisan pegawai-pegawai pemerintah mereka yang secara wenang melasapkan hasil dan wang negara.
GAYUS HALOMOAN TAMBUNAN ketika tiba di lapangan terbang Sukarno Hatta, Jakarta, petang Rabu setelah cuba melarikan diri ke Pulau Singapura seminggu sebelumnya.
Ketika skandal Bank Century, melibatkan kes penggelapan wang negara berjumlah Rp 6.7 trillion (RM 2.4 billion), masih dalam keadaan tidak menentu, negara pendokong prinsip demokrasi dan kebebasan ‘hak asasi manusia’ terbesar di rantau Asean ini tiba-tiba dikejutkan pula dengan kejadian seorang pegawai junior di jabatan cukai Indonesia disyaki menggelapkan Rp 28 bilion (RM 10 juta) dari wang kutipan cukai negara.
GAYUS HALOMOAN TAMBUNAN, 30, cuma seorang pegawai junior yang baru lima tahun berkhidmat di jabatan cukai di Jakarta, dengan gaji pokok Rp 8 juta (RM 2,856) sebulan, melarikan diri ke Pulau Singapura 24 Mac lalu setelah pihak berkuasa Indonesia mendapati dia memliki simpinan tunai begitu besar, berjumlah Rp 28 billion, di dalam 23 akaun banknya.
Berasal dari keluarga biasa Tanjung Periok, Jakarta Utara, yang sebelumnya mengungsi sebuah rumah usang di sebuah kawasan sesak di pinggiran Jakarta, gaya hidup Gayus meledak berubah, tiba-tiba saja mewah setelah setahun dua berkhidmat dengan jabatan cukai.
Dia tiba-tiba membeli sebuah rumah mewah bernilai lebih RM 1 juta di sebuah kawasan mewah, memiliki 3 buah kienderaan mewah serta sebuah motosikal berkuasa besar disamping hidup penuh bergaya serta simpanan tunai begitu tinggi di dalam bank.
Gayus dipercayai berupaya mengumpul begitu banyak wang gelapnya hasil menipulasi licik apabila menangani urusan pembayaran cukai yang seharusnya dipenuhi oleh 149 buah syarikat yang dibuat melalui bahagiannya.
Pihak berkuasa pada penghujung 2009 telah bertindak membekukan akaun bank Gayus. Namun dia dikatakan bertindak pantas menggunakan wang terkumpulnya mempengaruhi pihak berkuasa Polis Republik Indonesia (Polri) dan Jabatan Kehakiman untuk membatalkan perintah pembekuan akaunnya itu.
Polri dengan kerjasama Polis Singapura telah membawa Gayus pulang ke Jakarta petang dua hari lepas (Rabu 31 Mac) setelah Imigresen Indonesia membatalkan paspot perjalanan pemuda licik ini kerana mendapati dia telah memalsukan maklumat peribadinya sebagai seorang kakitangan swasta, sedangkan dia adalah seorang pegawai pemerintah, ketika permohonan paspot itu di buat dulu.
Pembongkaran awal Polri mendapati Gayus menggunakan jaringan peringkat tinggi polis dan kehakiman untuk melepaskan dirinya dari tindakan.
Siang tadi Ketua Polri, Jeneral Bambang Hendarso Dhanuri mengumumkan tindakan menggantung kerja Ketua Polis Daerah Lampong, Brigadier Jeneral Edmon Ilyas dan seorang pegawai kanan bahagian penyiasatan khusus di markas besar Polri, Pesuruhjaya Polis Arafat. Kedua-duanya disyaki terlibat mengatur laluan membolehkan perintah pembekuan akaun bank Gayus ditarik bulan bulan lepas.
Kes penyelewengan Gayus meledakkan sentimen baru di kalangan segelintir masyarakat perihatin Indonesia yang baru-baru ini melancarkan kempen ‘ Jangan Bayar Cukai’ yang dibuat melalui Facebook, sebagai bantahan terhadap kelemahan pemerintah negara itu di dalam membanteras amalan rasuah dan penyelewengan hasil negara yang memang kerap dilakukan oleh jentera pentadbirannya.
Mungkinkah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mampu melegakan kemarahan 280 juta rakyat Indonesia yang mahu menyaksikan pemerintah bertindak tegas menghukum pegawai-pegawai polis atau mana-mana anggota kehakimannya yang dikhuatiri terbabit dengan penyelewengan Gayus ini dalam masa terdekat nanti?
Namun, seperti kes Bank Century yang semakin rumit, lelah dan pudar, harapan rakyat golongan miskin dan tidak berada untuk melihat penyelewengan, salahlaku dan korupsi segera dihapuskan dari bumi Indonesia, lazimnya akan terkapar di pentas-pentas ‘demonstrasi’ yang cuma membara untuk seketika, lalu kemudian mati tanpa pun dikebumi atau ditalqinkan.
Atau mungkin Pak SBY dan barisan cendikiawan Indonesia perlu mencari istilah lain bagi perkataan ‘aparat’ (bermaksud kakitangan, pegawai atau petugas jabatan dan pemerintah, yang sangat popular digunakan dalam sistem pentadbiran negara) kerana ternyata aparat-aparat ini tidak lebih dari barisan ‘keparat’ yang sangat meresahkan rakyat.
No comments:
Post a Comment