Breaking News

Thursday, December 29, 2011

JENERAL TUA PALSUKAN VIDEO PEMBUNUHAN

Hubungan Malaysia - Indonesia:
JENERAL TUA PALSUKAN VIDEO PEMBUNUHAN

HUBUNGAN erat antara Malaysia dan Indonesia hampir tergugat dan tegang hujung tahun ini (2011) ekoran timbulnya cerita bahawa dua buah syarikat perladangan milik firma Malaysia melakukan pembunuhan kejam ke atas 32 penduduk di Mesuji, sebuah kawasan pedalaman di daerah Lampung, Sumatra Selatan.

Anggota-anggota pengawal keselamatan firma berkenaan didakwa telah melakukan pembunuhan kejam dengan menembak hampir 30 penduduk Mesuji disamping merobohkan tempat tinggal mereka bersabit dengan isu pemilikan tanah.

Kumpulan berpuluh orang penduduk Mesuji yang membuat pendedahan berhubung dakwaan pembunuhan itu, dalam aduan mereka kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Lampung dua minggu lepas, mengemukakan rakaman video bagaimana tiga penduduk wanita Mesuji dipenggal leher mereka oleh para pengawal firma kelapa sawit PT Sumber Wangi Alam dan firma perladangan getah PT Silva Inhutani Lampung dalam insiden yang berlaku November lalu.

Pesara tentera, Mejar Jeneral Saurip Kadi, yang mengepalai bantahan itu mendakwa sekurang-kurangnya 32 penduduk Mesuji telah dibunuh dengan kejam sejak 2008 ekoran sengketa hak milik tanah dengan firma-firma terbabit.

Video yang ditayangkan kepada anggota DPR Lampung itu menunjukan bagaimana seorang lelaki telah dipenggal lehernya oleh seorang lelaki berpakaian serba hitam. Barisan penduduk lain pula dilihat ditembak dengan kejam oleh kumpulan lelaki berpakaian serba hitam.

Berita pendedahan oleh bekas pegawai tinggi tentera ini mengejutkan semua pihak di Indonesia sehingga menimbukan kemarahan umum, apalagi untuk empat lima hari ianya menjadi berita utama semua media negara itu.

Namun, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memperlihatkan kualiti beliau sebagai seorang pemimpin paling tenang dan tidak mudah melompat, apabila beliau mengarahkan siasatan teperinci dibuat berhubung dengan dakwaan kekejaman berkenaan.

Dan tidak sampai seminggu kemudiannya pihak polis Indonesia mendapati bahawa video yang memaparkan insiden kejam penduduk yang ditembak dan dipenggal kepala mereka itu adalah palsu dan rekaan semata-mata.

Insiden yang dirakam dan ditayangkan dalam video itu dipercayai berlaku beberapa tahun lepas di Patani, Selatan Thai.

Mejar Jeneral Saurip dan rakan kuatnya, Bob Hassan, seorang peguam Lampung, yang bertanggungjawab memaparkan video palsu itu kini dalam kepanasan apabila masyarakat Lampung mahukan pihak berkuasa bertindak ke atas kedua-duanya ekoran pembohongan yang mereka lakukan.

Ketua Foram Komunikasi Masyarakat Lampung, Sutan Syahrir Oelangan berkata, pembohongan Jeneral Saurip telah menjejaskan industri pelancongan dan peluang penanaman modal di Lampung.

No comments:

Designed By