Breaking News

Thursday, July 10, 2008

POLEMIK INSIDEN L&L

Politik Malaysia sekarang benar-benar memasuki level ‘BERCELARU’. Semuanya sudah jadi tak menentu. Kita berhadapan dengan suara-suara rakyat yang semakin lantang mahukan Pak Lah segera berundur dan mengosongkan kerusi Perdana Menterinya.

Dalam ketika parti-parti politik di bawah Barisan Nasional, terutamanya UMNO, MIC dan MCA, goncang dan gawat, politik pembangkang pun turut hadapi senario penuh ‘Luuuucu & Jeliiiik’.

Kisah liwat yang membabitkan tuduhan ke atas (Tok Sheikh) Anwar Ibrahim, pemimpin idola parti-parti di dalam Pakatan Rakyat, secara langsung menukar tumpuan rakyat ramai yang sebelum ini menyaksikan kerancakan dan keributan pemimpin-pemimpin PKR untuk menumbangkan Pak Lah di Parlimen dan seterusnya merampas kuasa pentadbiran negara.

LUCUNYA: Anwar, Hadi Awang, Azmin Ali, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Wan Azizah dan barisan pemimpin ‘Kabinet Bayangan PKR’ cuma beberapa langkah sahaja akan menjejakkan kaki di kota pantadbiran Putrajaya, bila secara tiba-tiba kisah liwat ‘Putera Rumah Putih’ ini meledak dan menggegak-hambakkan negara dan dunia.

Senarionya sungguh lucu dan licik. Teringat semula dengan 'flash back' apa yang pernah dicatatkan dalam sejarah 1998 dulu.

Jika dulu Anwar cuma menunggu tempoh beberapa bulan sahaja menjelang perhimpunan agung untuk memilih pimpinan parti bagi membolehkan dia merebut kerusi presiden UMNO, seterusnya merampas jawatan Perdana Menteri, tapi kali ini kemungkinan untuknya kembali ke Parlimen dan mengambil alih kerusi PM memang ternyata begitu hampir, terbuka.

Kisahnya memang amat luar biasa, penuh dengan kejutan. Ramai yang terkejut apabila insiden Tok Sheikh mencari perlindungan di Kedutaan Turki disiarkan dan menjadi tajuk utama berita stesen-stesen televisyen tempatan malam itu.

Tok Sheikh berlindung di bumi diplomatik Turki kerana khuatirkan kekerasan yang mungkin boleh dilakukan pihak polis ke atasnya walaupun ketika itu tidak ada satu bayang atau mana-mana pihak pun yang mahu memburunya.

Lebih menarik lagi ialah apabila timbul cerita nyawanya kini terancam kerana ada pihak yang mahu membunuhnya. Riwayat terbaru ini memang memeningkan kepala ramai kerana minggu-minggu sebelumnya Tok Sheikh bebas di khalayak ramai dengan pidato-pidato lantangnya.

Insiden ‘lari dari buruan’ ini menjadi bualan menarik ramai pihak, terutama di kalangan pemerhati-pemerhati politik dan pastinya dari kalangan penyokong-penyokong kerajaan sendiri di Parlimen.

Pak Lah dan kabinetnya yang sejak sebulan lepas berada dalam kepanasan akibat masalah kenaikan harga minyak dan kadar inflasi yang meruncing, kini sekurang-kurangnya boleh menarik napas lega buat seketika kerana Puterajaya untuk sementara ini agak terselamat dari ancaman PKR dan Tok Sheikh mereka setelah timbulnya cerita L&L ‘liwat dan lari’ yang penuh menarik ini.

Jalan dan peluang Tok Sheikh bersama Pakatan Rakyatnya untuk merampas Puterajaya, setelah tercetusnya insiden L&L ini, sekarang ini ternyata semakin buntu dan sempit.

Benar atau tidaknya insiden L&L ini sekaligus mempengaruhi sentimen ramai yang kini kembali meragui nilai diri seorang pemimpin yang perjalanannya penuh dengan trauma, semakin menjadi tandatanya.

Apabila Anwar bertindak meminta bantuan dari Rumah Putih di Washington untuk melindungi dirinya ekoran kes L&L yang melibatkan dirinya, lalu cerita-cerita ramai selama ini berhubung kemungkinan penglibatan Tok Sheikh dengan CIA, sebuah badan perisikan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab mengkucar-kacir dan meruntuhkan banyak negara Islam, kini semakin tersingkap.

Walaupun setiap pendekar PKR berduyun-duyun berteriak ‘KONSPIRASI!’ dan meskipun soldadu-soldadu Pas kian melontarkan laungan ‘FITNAH’ dengan keras di masjid dan surau-surau akhir-akhir ini berhubung dengan tuduhan L&L, namun rakyat harus menolak sebarang percubaan memertabatkan seorang pemimpin unjuran kuasa luar untuk menguasai Parlimen dan kerajaan kita.

Malaysia mestilah menolak percubaan seorang Putera Rumah Putih untuk menguasai pentadbiran negara. Rakyat mestilah menentang pengaruh kuasa besar, seperti Amerika Syarikat sendiri, untuk menguasai dan mencengkam bumi tercinta ini .

Apapun, setiap yang tersurat pastinya berlaku. Inilah yang dinamakan ‘Taqdir’. Logiknya, Anwar tidak mungkin melakukan insiden ‘jelik’ seperti ini sesuai dengan jolokan ‘Tok Sheikh’ yang ditanggungnya, apalagi selaku seorang tokoh yang terkenal sopan, bersih, dan waraq.

Namun, apa pun boleh berlaku hari ini. Perkara yang tidak diduga pun mudah terjadi. Meskipun ramai percaya Anwar cuma difitnah dan tidak pernah melakukannya, namun taqdir sudah menentukan bahawa Anwar mesti berhadapan dengan tuduhan dan fitnah ini.

No comments:

Designed By