Breaking News

Thursday, July 10, 2008

KEMELUT PAK LAH

Hendak ke mana Pak Lah ?
Memang sudah menjadi peraturan asas bahawa satu diri individu tidak harus menanggung gelaran pemimpin, tokoh, artis, penulis atau yang seumpamanya, selagi ia tidak bersedia untuk dirinya serta setiap langkah dan tindakannya menjadi perhatian dan kritikan umum.

Maka pemimpin seperti Pak Lah atau sesiapa jua yang bergelar tokoh atau pemimpin terpaksa menanggung risiko dan beban dari kritikan dan tumpuan masyarakat ramai yang sentiasa berharap mereka akan memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat dan negara.

UMNO dan Pak Lah kini berhadapan dengan kemelut politik dan konflik kepimpinan yang semakin rumit, ibarat tokak yang kian merebak memakan tulang. Tekanan dari pelbagai penjuru yang mahukan beliau mengosongkan segera kerusi PM hari ini semakin kuat, keras dan lantang.

Nasib mungkin tidak menyebelahi Pak Lah kerana beliau terpaksa menerajui kepimpinan kerajaan dalam ketika negara berhadapan dengan soal ekonomi, masalah inflasi yang nyata membebankan seluruh rakyat. Paling teruk menanggung beban berat inflasi ini adalah penduduk kampung dan golongan berpendapatan rendah.

Bagitu pun, rekod prestasinya yang memang terbuka dan diperhatikan rakyat sejak mengambil alih pantadbiran dari Tun Dr Mahathir 2003 lepas, tidak menyebelahi Pak Lah.

Sokongan umum terhadap Pak Lah dan kepimpinannya semakin merosot. Ketidakupayaan kerajaan meneruskan beberapa projek besar di bawah kepimpinan Pak Lah terus menjadi tandatanya. Rakyat umum kini memberi isyarat LAMPU MERAH kepada Pak Lah supaya segera berhenti – bersara. Isyarat-isyarat ini jelas jika diperhatikan fakta-fakta berikut :-

1. Barisan Nasional melalui pengalaman terburuknya dengan cuma menguasai 52 peratus dari undi keseluruhan pada PRU-12, disamping kehilangan dua-pertiga kuasa majoiriti di Dewan Rakykat yang dipegangnya selama ini.

2. Kebangkitan politik baru di Sabah yang mahukan perhatian lebih istimewa diberi oleh kerajaan pusat.

3. Ugutan Parti Maju Sabah (SAPP) yang memutuskan tindakan undi tidak percaya terhadap Pak Lah (walaupun kini telah ditarik balik).

4. Bantahan umum terhadap kenaikan mendadak harga minyak yang menyebabkan kenaikan tinggi harga barangan lain.

5. Suara-suara rakyat di pelbagai lapisan yang semakin terbuka dan lantang - menyuarakan kekecewaan terhadap kelemahan dan ketidakupayaan Pak Lah memimpin negara.

6. Suara-suara kekecewaan rakyat terhadap kegagalan usaha membasmi rasuah dan pengagihan peluang kerja-kerja besar negara di bawah kepimpinan sekarang yang dilihat lebih dibolot oleh keluarga PM dan kroni sekelilingnya.

Rakyat kini mengeluh, membantah secara terang dan terbuka terhadap Pak Lah dan kerajaan kepimpinannya. Semua keluhan, rintihan dan bantahan terbuka boleh dilihat dan diikuti setiap hari melalui laman-laman blog tempatan, terutama blog CHEDET, blog bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang kini menjadi ikutan lebih 3 juta pengunjung.

UMNO terpaksa menanggung saat malangnya kerana sehingga sekarang Pak Lah masih tidak dapat melihat perlunya beliau segera meletakkan jawatan PM yang dipegangnya untuk menyelamatkan UMNO, Barisan Nasional, ummat Melayu dan Negara.

Suara-suara menentang kepimpinannya sudah terlalu terbuka, tidak lagi dibuat secara senyap-senyap dari tabir belakang. Tempoh untuk Pak Lah bertahan (untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai), sudah tamat.

Yang masih berdiri goyang bersama Pak Lah untuk mempertahankan hirakinya kini cuma barisan menteri dan beberapa kerat pemimpin negeri dan bahagian yang takut akan kehilangan kuasa dan pelbagai kemewahan yang dinikmati selama ini.

UMNO tidak boleh membenarkan keruntuhan kuasa dan parti berlaku semata-mata untuk mengikut telunjuk pemimpin atasan yang terlalu takut akan kehilangan kuasa.

Tanyalah ahli-ahli bawahan parti atau rakyat biasa apakah mereka mahu Pak Lah kekal sebagai PM sekarang atau tidak. Jawabnya 99 paratus dari rakyat dan ahli biasa UMNO pastinya akan menuntut Pak Lah segera berundur dari pucuk pimpinan parti dan negara. Inilah mesej mereka.

Apakah Pak Lah masih berupaya mempartahankan popularitinya yang semakin merudum sekarang dalam ketika desakan pelbagai pihak untuk beliau segera mengundur diri dari kepimpinan negara ini sentiasa diperhatikan oleh rakyat.

Segalanya terpulang kepada kepimpinan UMNO sendiri di semua peringkat untuk mencari keputusan terbaik dan bertindak berani di dalam melakukan perubahan dan menentukan kedudukan presiden parti. Tindakan radikal ini terlalu penting dan amat kritikal kerana nasib negara dan Melayu itu sendiri adalah taruhannya.

No comments:

Designed By