BANDA ACEH 12 April 2012 - Bunda Anita masih lagi mengajar anak-anak Sekolah Dasar di kamar studi tingkat satu apabila gempa keras dengan kekuatan 8.6 Skala Richter menggegar bumi Aceh jam 3.43 petang tadi.
Tidak ada sebarang letupan keras yang didengar, namun tiba-tiba sahaja saya melihat kamar tidur saya sepertikan digoyang keras. Gegaran kuat sangat terasa.
Khusairy yang masih terpaut dengan trauma tsunami 2004, terisak-isak menangis sebaik gempa petang semalam berakhir.
Saya meluru keluar menuju ke kamar studi pelajar yang terletak berselang satu bilik lain dan memanggil kesemua enam pelajar SD yang sedang belajar di situ untuk segera turun.
Penyelia Fauzi Hashim berlari ke atas ke tingkat dua mengerahkan pelajar-pelajar sekolah menengah yang tinggal di asrama Rumah Anak Yatim Melaka di Banda Aceh ini untuk segera turun kerana gegaran gempa yang memang keras.
Tidak ada suara panik atau jeritan yang kedengaran apabila kesemua pelajar ini berebut-rebut turun ke tingkat bawah. Gegaran kuat terus berlaku.Bangunan asrama kami terasa bergoyang dan tubuh-tubuh kecil pelajar-pelajar SD turut terhuyung hayang ketika bergelut menuruni tangga menuju ke lantai bawah.
Bersama dua keluarga jiran kami berkumpul di permukaan jalan di pintu masuk kawasan asrama di Desa Punie ini.
Gegaran gempa makin kuat. Bas pelajar yang terletak di laman depan bangunan asrama sekali sekala terangkat, lalu terus terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. Tubuh kami turut sama terhuyung-hayang oleh gegaran bumi yang sepertikan berombak.
Kami berpaut antara satu sama lain untuk mengelakkan tubuh terhumban ke bumi.
Pelajar paling kecil, Misbahul, memeluk erat tubuh guru agama Tengku Afrizal. Anak dari padalaman Selimum ini selama ini tidak pernah mengalami gegaran gempa sehabat petang Rabu ini demikian ngeri dan takut dengan goncangan gempa yang dihadapinya sendiri petang ini..
Pelajar bertubuh besar yang duduk di tingkatan empat, Zulfahmi, memegang lengan saya dengan erat. Pengalamannya melalui gempa dan tsunami 26 Disember 2004 dulu mengajarnya untuk segera berpaut dengan orang lain apabila bumi bergoncang dan berombak.
Tidak seperti gempa yang kami hadapi dua tahun dulu, gempa kali ini amat luar biasa. Bumi berombak dan terus bergegar keras sepanjang tempoh lima minit.
Misbahul ketakutan bila tubuh kecilnya digoncang gempa ngeri petang kelmarin,
Dan dalam ketika suasana hening menyelimuti Desa Punie, beberapa minit selepas gempa berakhir, kami tiba-tiba dikejutkan dengan suara esakan Muhammad Khusairy, seorang pelajar SD6 yang berasal dari Lambada.
Saya memeluk tubuh Khusairy. Cuba menenangkan perasaannya. Trauma tsunami enam tahun dulu masih bertapak di ingatannya apabila ayahnya dulu menemui maut oleh tsunami.
Beberapa keretakan kecil kelihatan pada dinding batu asrama kami. Keretakan lantai konkrit di laman depan asrama juga dilihat nyata dan semakin lebar.
Seluruh Banda Aceh dan anak-anak pelajar di asrama kami terpaksa bergelap malam ini sehingga jam 11.10 malam apabila bekalan elektrik dipulihkan kembali.
No comments:
Post a Comment