Ada memanjat di tempat tinggi dalam trauma penduduk Banda Aceh yang digemparkan dengan gempabumi kuat petang Rabu 11 April .
BANDA ACEH 12 April - Para pedagang dan orang ramai bertempiaran melarikan diri dari pusat kota anda Aceh ekoran gegaran gempabumi 8.6 skala Richter yang secara mengejut menggoncag provinsi Aceh jam 3.43 petang semalam.
Suasana hirok-pikok dan kelamkabut tiba-tiba meledak apabila berpuluh ribu pekerja, pedagang dan orangramai di seluruh kota Serambi Mekah itu secara serentak bergelut mahu meninggalkan pusat bandar menuju ke kawasan-kawasan selamat yang jauh dari pantai.
Keadaan lalu lintas di seluruh pusat bandar, di minit-minit awal selepas gegaran gempa kuat petang itu, berbubah menjadi simpang-siur, sesak dan hampir tersekat oleh orang ramai yang bergelut keluar dari pusat bandar.
Keadaan menjadi lebih parah apabila bekalan elektrik di seluruh Banda Aceh serentak terputus ekoran ledakan gempa berkenaan.
Anggota-anggota polis dari sebuah pasokan khas terpaksa turun mengawal lalulintas.
Tragedi mengerikan bilamana pukulan tsunami gergasi meranapkan seluruh kota Banda
Aceh serta meragut 200,000 jiwa rakyat Aceh dalam peristiwa ngeri 26 Disember 2004 dulu, masih segar dalam ingatan Aceh menyebabkan orangramai bertempiaran setiap kali apabila berlakunya ledakan gempa bumi yang keras di sini.
Seorang pedagang tradisional Aceh turut mengayuh roda tiganya yang sarat dengan muatan burung-burung dalam pergelutan orang ramai keluar meingggalkan pusat kota Banda Aceh kelmarin.
Seorang saksi, Pak Muhammad, menyaksikan sendiri kekuatan goncangan gempa petang semalam bagaimana peti-peti televisyen yang diletakkan di rak-rak hiasaan sebuah kedai menjual barangan letrik di Jalan Muhammad Jam, menggelunsur dan bertaburan jatuh ke atas lantai akibat gegaran kuat gempa berkenaan.
Padagang-pedagang kakilima di tengah kota juga secara serentak dan ketakutan melarikan diri tanpa memperdulikan lagi barang-barang jualan mereka.
“Kesemua pedagang dan orang ramai di kota petang ini gerun sekali. Masing-masing lari mahu meninggalkan kota,” ujar Pak Muhammad.
“Saya juga ikut lari menaiki sebuah motosikal yang ditinggalkan pemiliknya di bahu jalan, untuk lari dari kota,” ceritanya lagi.
Pusat kota Banda Aceh sejam selepas ledakan gempa petang semalam, berubah sepi. Semua pajabat dan kedai dan pusat-pusat perniagaan menutup premis masing-masing. Semua stesen minyak di pusat bandar juga turut ditutup.
Kesesakan lalulintas sehingga satu kilometer dilihat berlaku hampir di kesemua laluan di pinggir kota menuju ke kawasan-kawasan jauh dari pantai.
Gempa semalam turut menyebabkan kematian lima penduduk, empat darinya warga tua, ekoran serangan sakit jantung apabila gempabumi berlaku. Dua dari mereka berasal dari Kabupaten Aceh Besar, dan tiga lagi dari Banda Aceh, Lhksemauwe dan Aceh Barat Daya.
Ironisnya ledakan gempa petang semalam berlaku 43 jam selepas pasangan mantan pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Dr Zaini Abdullah dan Muzakir Manaf diketahui memenangi perebutan jawatan Gabenor dan Timbalan Gabenor Aceh pada pilihanraya provinsi yang berakhir petang Isnin lepas.
Barisan Pejuang-pejuang GAM, yang berjuang menuntut kemerdekaan Aceh selama lebih 20 tahun, meletakkan senjata mereka sebaik sahaja tercetusnya tragedi tsunami yang menimpa Aceh penghujung 2004.
Mungkinkah gempa kelmarin sebagai memberi isyarat kepada rakyat Aceh bahawa halatuju pentadbiran baru Nanggroe Aceh di bawah pimpinan Zaini dan Muzakir akan berubah cerah berbanding dengan pimpinan sebelumnya yang dilihat tidak banyak memperjuangkan hak rakyat?
Gempa petang semalam mungkin sangat mencemaskan. Namun, kumpulan mendung dan awan hitam yang berarak di puncak jajaran Gunung Seulawah menjelang senja semalam dilihat pecah dan menghilang setelah senja berlabuh. Dan setelah hampir tiga tahun bertandang di Kota Serambi Mekah ini, malam tadi untuk pertama kalinya saya menyaksikan taburan bintang-bintang bersinar penuh indah muncul menghiasi dada langit Aceh sepanjang malamnya.
No comments:
Post a Comment