Breaking News

Thursday, April 12, 2012

GEMPA ACEH: Fenomena Gerun Menghantu Ramai

Banjiran orang ramai dengan kereta motor memenuhi jalan sempit di Ketapang, di pinggiran Banda Aceh, dalam reaksi sepontan mencari kawasan tinggi yang lebih selamat sebaik sahaja gempabumi keras menggoncang Aceh petang semalam.
APABILA berada di dalam bayangan gerun dan cemas, lazimnya satu kumpulan ramai akan sepontan bertindak secara panik ekoran sesuatu perlakuan mengejut yang dicetuskan oleh mana-mana individu.
Demikian fenomena ‘panik’ yang saya saksikan ketika meninjau situasi sekitar kota Banda Aceh sejam selepas gempabumi keras 8.6 skala Richter menggegar Pulau Sumatra petang Rabu 11 April.
Nadi kota Banda Aceh selepas gempa jam 3.43 petang itu sepertikan tidak berdenyut lagi. Jalan-jalan di pusat bandarnya sepi dan lengang. Cuma satu dua penunggang motosikal dilihat menelusuri jalan-jalan terbuka untuk melihat sendiri suasana kota yang murung.
Banda Aceh luluh tidak bernyawa pada peristiwa gempa dan tsunami 26 Disember 2004 dulu bilamana gelombang dan ombak keras tsunami tiba-tiba sahaja menerpa dan menggulung seluruh kota ini. Hampir 200,000 jiwa manusia dari Banda Aceh dan kawasan persekitarannya, terbunuh dalam tragedi paling ngeri itu.
Bayangan ngeri tragedi Disember 2004 inilah yang dilihat masih terus membayangi dan menghantui fikiran penduduk-penduduk seluruh Aceh sehingga sekarang.
Sebuah dua dari deretan 10 gerai tepi sungai di Darussalam, kota di pinggiran Banda Aceh, masih dibuka jam 5.30 petang itu. Berbelas pengunjung masih di situ. Pengusaha gerai dan pengunjung jelas sentiasa berwaspada terhadap situasi sekeliling. Pandangan masing-masing sentiasa diarah ke arah sungai dan laut lepas di hujung sungai . Masing-masing bersedia untuk bertindak kiranya gelombang tsunami datang mengejut ekoran gempa yang berlaku lebih sejam tadi.
Dua orang pemuda memanjat berdiri di atas bumbung bangunan dua tingkat di seberang jalan. Dari atas bumbung tinggi itu mereka meninjau ke arah laut, satu kilometer di depan, mahu tahu apakah tsunami akan muncul.
Seorang pemuda tiba-tiba berhenti mengejut dan cemas di depan gerai kami. Dia memberitahu bahawa air di hujung pantai jauh di sana surut dengan mengejut sebentar tadi, dan kemungkinan tsunami akan menghempas pantai Aceh.
Pemilik gerai dan kesemua pengunjung serentak bangkit menyambar motosikal masing-masing, memecut laju ke arah Blang Bintang, sebuah kawasan selamat dari tsunami.
Air kelapa muda yang dipesan tadi terpaksa kami lupakan. Dan selepas menjenguk ke arah sungai dengan air yang kelihatan turun surut agak laju, saya dan teman seasrama yang tinggal terpinga-pinga terpaksa ikut sama meninggalkan pantai Darussalam.

No comments:

Designed By