Breaking News

Saturday, April 14, 2012

PILKADA ACEH: Polemik Perkantoran Lembab

Pelik, tapi benar. Dalam ketika sebuah negara besar seperti Indonesia memiliki setiap jentera, tenaga dan kepakaran untuk membersekan sesuatu uruan dengan pantas, ia masih tidak mampu untuk menyelesaikan segera proses pengiraan undi pilihanraya-pilihanraya peringkat provinsi yang diadakan.
Keputusan muktamad pemilihan gabenor dan ketua-ketua daerah seluruh provinsi Aceh pada pilihanraya 9 April lalu, cuma akan diketahui 18 April depan. Maksudnya pihak pemerintah dan pentadbiran Indonesia/Aceh harus mengambil tempoh selama sepuluh hari untuk menyelesaikan pengiraan undi dari hampir 2 juta rakyat yang turun mengundi tempoh hari.
Ini juga membawa erti bahawa Dr Zaini Abdullah dan Muzakir Manaf, dua pemimpin Partai Aceh, yang menurut pengiraan tidak rasmi sebuah agensi bebas Jakarta telah menguasai hampir 60 peratus pungutan keseluruhan undi, terpaksa menunggu sepuluh hari dari tarikh pilihanraya, untuk kemungkinan diisytiharkan sebagai Gabenor dan Timbalan Gabenor Aceh.
Memang aneh dan hairan sekali. Mengapa harus pengiraan mudah begini mesti mengambil masa sehingga 240 jam untuk diselesaikan?
Demikianlah sistem pentadbiran Aceh sekarang, dan sistem urusan di seluruh Indonesia umumnya.
“Semua urusan beres Pak........... tapi harus mengikut lunas dan jalur-jalur peraturannya,” demikian jaminan yang kerap diberikan tenaga aparat (kakitangan) perkantoran pemerintah.
Lazimnya dalam hal perkantoran di sini, sesuatu urusan yang boleh diselesaikan dalam tempoh sejam dua, akan (seperti senghaja) dibiarkan meleret memakan masa dua atau tiga hari dengan senarai berbelas alasan diberikan sebagai bukti urusan terbabit tidak mungkin diselesaikan segera.
Apa yang dapat kita pelajari dari budaya menangguhkan, melambatkan-lambatkan penyelesaian urusan ala 'kantor indon' ini?
Apabila semua urusan diri, urusan keluarga, urusan pejabat, urusan negara atau urusan dengan Tuhan Maha Melihat ditangguh-tangguhkan, maka semua ini kesannya sekaligus merugikan diri, merugikan negara dan merugikan semua pihak. Lalu, tidak mungkin kita maju dan berjaya seperti bangsa lain yang menguasai dunia sekarang.
Read more ...

Thursday, April 12, 2012

GEMPA ACEH: Fenomena Gerun Menghantu Ramai

Banjiran orang ramai dengan kereta motor memenuhi jalan sempit di Ketapang, di pinggiran Banda Aceh, dalam reaksi sepontan mencari kawasan tinggi yang lebih selamat sebaik sahaja gempabumi keras menggoncang Aceh petang semalam.
APABILA berada di dalam bayangan gerun dan cemas, lazimnya satu kumpulan ramai akan sepontan bertindak secara panik ekoran sesuatu perlakuan mengejut yang dicetuskan oleh mana-mana individu.
Demikian fenomena ‘panik’ yang saya saksikan ketika meninjau situasi sekitar kota Banda Aceh sejam selepas gempabumi keras 8.6 skala Richter menggegar Pulau Sumatra petang Rabu 11 April.
Nadi kota Banda Aceh selepas gempa jam 3.43 petang itu sepertikan tidak berdenyut lagi. Jalan-jalan di pusat bandarnya sepi dan lengang. Cuma satu dua penunggang motosikal dilihat menelusuri jalan-jalan terbuka untuk melihat sendiri suasana kota yang murung.
Banda Aceh luluh tidak bernyawa pada peristiwa gempa dan tsunami 26 Disember 2004 dulu bilamana gelombang dan ombak keras tsunami tiba-tiba sahaja menerpa dan menggulung seluruh kota ini. Hampir 200,000 jiwa manusia dari Banda Aceh dan kawasan persekitarannya, terbunuh dalam tragedi paling ngeri itu.
Bayangan ngeri tragedi Disember 2004 inilah yang dilihat masih terus membayangi dan menghantui fikiran penduduk-penduduk seluruh Aceh sehingga sekarang.
Sebuah dua dari deretan 10 gerai tepi sungai di Darussalam, kota di pinggiran Banda Aceh, masih dibuka jam 5.30 petang itu. Berbelas pengunjung masih di situ. Pengusaha gerai dan pengunjung jelas sentiasa berwaspada terhadap situasi sekeliling. Pandangan masing-masing sentiasa diarah ke arah sungai dan laut lepas di hujung sungai . Masing-masing bersedia untuk bertindak kiranya gelombang tsunami datang mengejut ekoran gempa yang berlaku lebih sejam tadi.
Dua orang pemuda memanjat berdiri di atas bumbung bangunan dua tingkat di seberang jalan. Dari atas bumbung tinggi itu mereka meninjau ke arah laut, satu kilometer di depan, mahu tahu apakah tsunami akan muncul.
Seorang pemuda tiba-tiba berhenti mengejut dan cemas di depan gerai kami. Dia memberitahu bahawa air di hujung pantai jauh di sana surut dengan mengejut sebentar tadi, dan kemungkinan tsunami akan menghempas pantai Aceh.
Pemilik gerai dan kesemua pengunjung serentak bangkit menyambar motosikal masing-masing, memecut laju ke arah Blang Bintang, sebuah kawasan selamat dari tsunami.
Air kelapa muda yang dipesan tadi terpaksa kami lupakan. Dan selepas menjenguk ke arah sungai dengan air yang kelihatan turun surut agak laju, saya dan teman seasrama yang tinggal terpinga-pinga terpaksa ikut sama meninggalkan pantai Darussalam.
Read more ...

GEMPABUMI ACEH: Kami Berpautan Takut Terhumban


BANDA ACEH 12 April 2012 - Bunda Anita masih lagi mengajar anak-anak Sekolah Dasar di kamar studi tingkat satu apabila gempa keras dengan kekuatan 8.6 Skala Richter menggegar bumi Aceh jam 3.43 petang tadi.
Tidak ada sebarang letupan keras yang didengar, namun tiba-tiba sahaja saya melihat kamar tidur saya sepertikan digoyang keras. Gegaran kuat sangat terasa.

Khusairy yang masih terpaut dengan trauma tsunami 2004, terisak-isak menangis sebaik gempa petang semalam berakhir.
Saya meluru keluar menuju ke kamar studi pelajar yang terletak berselang satu bilik lain dan memanggil kesemua enam pelajar SD yang sedang belajar di situ untuk segera turun.
Penyelia Fauzi Hashim berlari ke atas ke tingkat dua mengerahkan pelajar-pelajar sekolah menengah yang tinggal di asrama Rumah Anak Yatim Melaka di Banda Aceh ini untuk segera turun kerana gegaran gempa yang memang keras.
Tidak ada suara panik atau jeritan yang kedengaran apabila kesemua pelajar ini berebut-rebut turun ke tingkat bawah. Gegaran kuat terus berlaku.Bangunan asrama kami terasa bergoyang dan tubuh-tubuh kecil pelajar-pelajar SD turut terhuyung hayang ketika bergelut menuruni tangga menuju ke lantai bawah.
Bersama dua keluarga jiran kami berkumpul di permukaan jalan di pintu masuk kawasan asrama di Desa Punie ini.
Gegaran gempa makin kuat. Bas pelajar yang terletak di laman depan bangunan asrama sekali sekala terangkat, lalu terus terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. Tubuh kami turut sama terhuyung-hayang oleh gegaran bumi yang sepertikan berombak.
Kami berpaut antara satu sama lain untuk mengelakkan tubuh terhumban ke bumi.
Pelajar paling kecil, Misbahul, memeluk erat tubuh guru agama Tengku Afrizal. Anak dari padalaman Selimum ini selama ini tidak pernah mengalami gegaran gempa sehabat petang Rabu ini demikian ngeri dan takut dengan goncangan gempa yang dihadapinya sendiri petang ini..
Pelajar bertubuh besar yang duduk di tingkatan empat, Zulfahmi, memegang lengan saya dengan erat. Pengalamannya melalui gempa dan tsunami 26 Disember 2004 dulu mengajarnya untuk segera berpaut dengan orang lain apabila bumi bergoncang dan berombak.

Tidak seperti gempa yang kami hadapi dua tahun dulu, gempa kali ini amat luar biasa. Bumi berombak dan terus bergegar keras sepanjang tempoh lima minit.
Misbahul ketakutan bila tubuh kecilnya digoncang gempa ngeri petang kelmarin,
Dan dalam ketika suasana hening menyelimuti Desa Punie, beberapa minit selepas gempa berakhir, kami tiba-tiba dikejutkan dengan suara esakan Muhammad Khusairy, seorang pelajar SD6 yang berasal dari Lambada.
Saya memeluk tubuh Khusairy. Cuba menenangkan perasaannya. Trauma tsunami enam tahun dulu masih bertapak di ingatannya apabila ayahnya dulu menemui maut oleh tsunami.
Beberapa keretakan kecil kelihatan pada dinding batu asrama kami. Keretakan lantai konkrit di laman depan asrama juga dilihat nyata dan semakin lebar.
Seluruh Banda Aceh dan anak-anak pelajar di asrama kami terpaksa bergelap malam ini sehingga jam 11.10 malam apabila bekalan elektrik dipulihkan kembali.
Read more ...

GEMPA ACEH: Orangramai Bertempiaran Selamatkan Diri

Ada memanjat di tempat tinggi dalam trauma penduduk Banda Aceh yang digemparkan dengan gempabumi kuat petang Rabu 11 April .
BANDA ACEH 12 April - Para pedagang dan orang ramai bertempiaran melarikan diri dari pusat kota anda Aceh ekoran gegaran gempabumi 8.6 skala Richter yang secara mengejut menggoncag provinsi Aceh jam 3.43 petang semalam.
Suasana hirok-pikok dan kelamkabut tiba-tiba meledak apabila berpuluh ribu pekerja, pedagang dan orangramai di seluruh kota Serambi Mekah itu secara serentak bergelut mahu meninggalkan pusat bandar menuju ke kawasan-kawasan selamat yang jauh dari pantai.
Keadaan lalu lintas di seluruh pusat bandar, di minit-minit awal selepas gegaran gempa kuat petang itu, berbubah menjadi simpang-siur, sesak dan hampir tersekat oleh orang ramai yang bergelut keluar dari pusat bandar.
Keadaan menjadi lebih parah apabila bekalan elektrik di seluruh Banda Aceh serentak terputus ekoran ledakan gempa berkenaan.
Anggota-anggota polis dari sebuah pasokan khas terpaksa turun mengawal lalulintas.
Tragedi mengerikan bilamana pukulan tsunami gergasi meranapkan seluruh kota Banda

Aceh serta meragut 200,000 jiwa rakyat Aceh dalam peristiwa ngeri 26 Disember 2004 dulu, masih segar dalam ingatan Aceh menyebabkan orangramai bertempiaran setiap kali apabila berlakunya ledakan gempa bumi yang keras di sini.
Seorang pedagang tradisional Aceh turut mengayuh roda tiganya yang sarat dengan muatan burung-burung dalam pergelutan orang ramai keluar meingggalkan pusat kota Banda Aceh kelmarin.
Seorang saksi, Pak Muhammad, menyaksikan sendiri kekuatan goncangan gempa petang semalam bagaimana peti-peti televisyen yang diletakkan di rak-rak hiasaan sebuah kedai menjual barangan letrik di Jalan Muhammad Jam, menggelunsur dan bertaburan jatuh ke atas lantai akibat gegaran kuat gempa berkenaan.
Padagang-pedagang kakilima di tengah kota juga secara serentak dan ketakutan melarikan diri tanpa memperdulikan lagi barang-barang jualan mereka.

“Kesemua pedagang dan orang ramai di kota petang ini gerun sekali. Masing-masing lari mahu meninggalkan kota,” ujar Pak Muhammad.
“Saya juga ikut lari menaiki sebuah motosikal yang ditinggalkan pemiliknya di bahu jalan, untuk lari dari kota,” ceritanya lagi.
Pusat kota Banda Aceh sejam selepas ledakan gempa petang semalam, berubah sepi. Semua pajabat dan kedai dan pusat-pusat perniagaan menutup premis masing-masing. Semua stesen minyak di pusat bandar juga turut ditutup.
Kesesakan lalulintas sehingga satu kilometer dilihat berlaku hampir di kesemua laluan di pinggir kota menuju ke kawasan-kawasan jauh dari pantai.
Gempa semalam turut menyebabkan kematian lima penduduk, empat darinya warga tua, ekoran serangan sakit jantung apabila gempabumi berlaku. Dua dari mereka berasal dari Kabupaten Aceh Besar, dan tiga lagi dari Banda Aceh, Lhksemauwe dan Aceh Barat Daya.
Ironisnya ledakan gempa petang semalam berlaku 43 jam selepas pasangan mantan pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Dr Zaini Abdullah dan Muzakir Manaf diketahui memenangi perebutan jawatan Gabenor dan Timbalan Gabenor Aceh pada pilihanraya provinsi yang berakhir petang Isnin lepas.
Barisan Pejuang-pejuang GAM, yang berjuang menuntut kemerdekaan Aceh selama lebih 20 tahun, meletakkan senjata mereka sebaik sahaja tercetusnya tragedi tsunami yang menimpa Aceh penghujung 2004.
Mungkinkah gempa kelmarin sebagai memberi isyarat kepada rakyat Aceh bahawa halatuju pentadbiran baru Nanggroe Aceh di bawah pimpinan Zaini dan Muzakir akan berubah cerah berbanding dengan pimpinan sebelumnya yang dilihat tidak banyak memperjuangkan hak rakyat?
Gempa petang semalam mungkin sangat mencemaskan. Namun, kumpulan mendung dan awan hitam yang berarak di puncak jajaran Gunung Seulawah menjelang senja semalam dilihat pecah dan menghilang setelah senja berlabuh. Dan setelah hampir tiga tahun bertandang di Kota Serambi Mekah ini, malam tadi untuk pertama kalinya saya menyaksikan taburan bintang-bintang bersinar penuh indah muncul menghiasi dada langit Aceh sepanjang malamnya.

Read more ...

Wednesday, April 11, 2012

PILIHANRAYA ACEH: Pepimpin GAM Tawan Kerusi Gabenor

BANDA ACEH 10 April 2011 - ACEH dijangka akan bangkit memulakan era baru yang lebih dinamik mulai minggu-minggu akandatang ekoran kejayaan dua bekas pejuang utama Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Dr Zaini Abdullah dan Muzakir Manaf, memenangi kerusi Gabenor dan Timbalan Gabenor dalam provinsi yang berakhir semalam.



Dr Zaini Abdullah menjabat tangan Pemangku Wali Nanggroe Aceh Darussalam, Malik Mahmud, selepas mengetahui kejayaan Partai Aceh memenagi pilihanraya gabenor di Banda Aceh kelmarin.

Keputusan awal menunjukan mantan menteri luar GAM, Zaini dan rakan regunya, Muzakir, mantan panglima GAM mengeusai lebih 60 peratus undi pada pilihanraya yang disertai sama empat regu lain.

Pilihanraya kelmarin memperlihatkan bagaimana rakyat Aceh mahukan barisan pejuang utama yang pernah berkorban memperjuangkan kemerdekaan provinsi itu sehingga Aceh mendapat hak berkerajaan sendiri pada 2006, kembali memimpin mereka.

Kemenangan kelmarin tidak direbut dengan mudah oleh pasangan kedua-dua pemipimpin itu. Partai Aceh (PA) terpaksa berkempen dengan bajet pilihanraya yang amat terhad, berbanding dengan pencabar utama mereka, mantan Gabenor Irwandi Yusof, yang mahu mempertahankan kerusi gabenornya melalui tiket calon bebas dengan bajet pilihanraya tanpa batas.
Poster kempen Irwandi dan pasangannya, usahawan Muhyan Yunan, berselerak di sana di sini seluruh Aceh sepanjang kempen dua bulan. Minggu-minggu terakhir sebelum hari mengundi, iklan kempen mereka terpapar setiap hari di muka depan harian Serambi, akhbar utama Aceh, berbanding poster kempen Zaini dan Muzakir yang dikira 25 kali lebih rendah.
Timbalan setiausaha jentera pilihanraya PA, Tengku Hamzah dalam pertemuan dengan Gendang Dipalu di Banda Aceh kelmarin memberitahu bagaimana pelbagai hambatan berat yang mesti dipikul oleh PA untuk berhadapan dengan calon lawan yang bersedia menabur berbilion rupiah tanpa batas.
Deklarasi harta calon-calon kerusi gabenor dan timbalan gabenor Aceh menunjukan bagaimana Zaini, 72, dan Muzakir, 48, adalah calon-calon paling miskin dengan Zain memiliki harta RP 100 juta, Muzakir pula cuma memiliki Rp 66 juta.
Calon teratas paling kaya, Irwandi yang memenangi kerusi Gabenor melalui PA pada pemilihan 2007 dulu, mengisytiharkan dirinya memiliki harta bernilai Rp 9.6 bilion, manakala Muhyan memiliki Rp 8.8 juta.
Seperti yang sering dilaku oleh agam-agam (lelaki) Aceh lain, Muzakir Manaf (dua dari kiri) dan teman-temannya minum kopi di sebuah warkop (warong kopi) di Banda Aceh semalam meskipun namanya telah disebut sebagai calon yang telah memenangi kerusi Timbalan Gabenor Aceh.

Suasana politik yang masih rapuh di tahun-tahun awal selepas Aceh menandatangani perjanjuan persefahaman (MOU) dengan pemerintah Indonesiadi Helsinki pada 15 Ogos 2006, menyebabkan PA terpaksa menghantar Irwandi, seorang aktibitis bawahan untuk pemilihan jawatan gabenor pada pilihanraya 2007.

Namun, rahsia kemenangan besar PA pada pilihanraya sengit ini bertolak dari sokongan rakyat yang sepakat menolak kepimpinan yang lebih bersemangat untuk memperkayakan empayar peribadi, berbanding dengan tanggungjawab meningkatkan kediupan rakyat.
“Rakyat Aceh keluar beramai-ramai membantu Partai Aceh untuk setiap kempen dan perhimpunan yang kami adakan,” kata Tengku Hamzah yang dikenal sebagai bekas pejuang yang memimpin GAM wilayah Aceh Besar di zaman konflik Aceh dulu.
“Mereka bukan saja memberi seluruh sokongan moral kepada kami, malah mereka berkorban menghulurkan bantuan kewangan secara tersembunyi dan terbuka kepada jentera parti sepanjang kempen pilihanraya ini.’ Kata Tengku Hamzah lagi.
Senarai berbelas perkara yang menyangkut tajuk ekonomi, sumber asli darat dan laut, hak meminjam dan membawa masuk modal luar dan pelbagai lagi, masih tersorok dan telah tidak diperjuangkan pelaksanaannya di bawah pentadbiran Irwandi sehingga sekarang.
Dan inilah tugas-tugas berat yang menanti dan mesti dipikul, direalisasikan oleh Zaini dan Muzakir mulai minggu-minggu akan datang apabila mereka menduduki kerusi Gabenor dan Timbalan Gabenor Aceh nanti.
Read more ...

HAKIM INDONESIA: KUCING BERBULU HARIMAU

Laporan Dari Banda Aceh - MEMANG aneh! Rata-rata masyarakat umum di Indonesia menganggap para hakim, dalam rangkaian mahkamah pengadilan dan hukum di negara itu, sebagai harimau yang seharusnya ditakuti.
Namun, di sebalik imej sang harimau yang sangat digeruni, sistem pantadbiran Indonesia secara simboliknya telah meletakkan para hakim ini duduk sebagai ‘sang miau’ sang kucing yang amat jinak serta boleh saja dipegang atau digosok kepalanya.
Kemelut para hakim dengan status harimau, tetapi cuma layak untuk mendapat makanan seekor kucing sahaja ini dibangkitkan oleh Gerakan Hakim Progresif Indonesia akhir-akhir ini.
Sebahagian hakim-hakim mahkamah di Indonesia akhir-akhir ini melancarkan mogok, meninggalkan sesi perbicaraan kendalian mereka, kerana membantah pemberian gaji yang rendah.
Gaji seorang hakim di Indonesia cuma antara Rp 1.9 juta hingga Rp 4.9 juta sahaja (RM 640 hingga RM 1,650) sahaja sebulan, sama dengan skim gaji pegawai-pegawai negeri lain di seluruh Indonesia.
Pemberian gaji rendah telah menyebabkan sistem perundangan negara besar ini dijangkiti masalah rasuah yang demikian buruk sejak sekian lama.
“Kami disebut sebagai harimau perundangan, tetapi kami dipaksa menjadi seekor kucing,” kata hakim Wahyu Sudrajat dalam pertemuan dengan Menteri Pemberdayaan Aparatur Negara, Azwar Abu Bakar, di Jakarta Kelmarin.
Sementara itu mantan Ketua Mahkamah Konstitusi, Jimly Ashsidiqie berkata: “Mohon jangan biarkan hakim demo tuntut haknya. Malu bangsa kalau hakim demo minta naik gaji.”
Bagaimana nanti jika para hakim di Malaysia pula buat demo, macam demo ‘Bersih’ atau demo-demo lain tajaan PKR................ emang lucu Pak
Read more ...
Designed By