Breaking News

Tuesday, July 29, 2008

MELAYU YANG PENYANTUN

Mereka Melihat Kita

Bulan lepas seorang mubaligh di Islamabad memberitahu rakan mubalighnya dari Malaysia bahawa dia terlalu kepingin bertandang ke Tanah Semenanjung untuk melihat dan mengenali lebih dekat siapakah sebenarnya yang dikatakan Melayu itu.

Mubaligh dari Bandar Sri Petaling itu agak terkejut mendengar kata-kata yang diungkapkan rakan Pakistannya tadi.“Apa sebenarnya yang menarik anta untuk mengenali orang Melayu sehingga anta mahu ziarah kami di Malaysia?” tanya rakan itu.

“Saya sangat terpegun setiap kali apabila bertemu dengan orang-orang Melayu yang pernah datang ke negara kami,” jawab Mubaligh yang sudah separuh umur itu. Suaranya terhenti sambil matanya merenung lembut ke wajah tetamu Malaysia yang duduk di depannya.

Rupa-rupanya, sejak beberapa tahun lepas, dia terpukau dengan peribadi orang Melayu yang dilihatnya penuh berhemah, sopan santun, peramah, pemurah dan terisi dengan pelbagai sifat-sifat murni.

Dia sangat tertarik melihat keikhlasan seorang Melayu bila bertemu dengan seorang asing yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Melayu ini nampak peramah, lembut, penyantun dan berbudi bahasa apabila berhadapan dengan orang lain.

Mubaligh Pakistan di atas sebenarnya mewakili sekelumit kecil dari masyarakat lain di dunia yang dapat memerhatikan keunikan budaya yang sedia tertanam pada diri seorang Melayu.

Masyarakat Arab dan Eropah sejak beratus tahun lampau, juga sangat tertarik dengan sifat-sifat murni dan budaya tinggi yang ada pada orang Melayu.

Ciri-ciri peribadi yang ada pada diri seorang Melayu itu, terutama yang berhubung dengan sifat-sifat penyantun, lemah lembut, berhamah dan berbudi bahasa, dikira sukar dilihat pada bangsa lain.

Nilai-nilai peribadi mulia ini tidak terbentuk dalam jangka waktu singkat.
Sebaliknya ia bersemai, bercambah dan berkembang melalui proses evolusi yang sangat panjang, memakan tempoh seribu tahun atau lebih lama dari itu.

Sebelum dirempuh pengaruh kehidupan Barat akhir-akhir ini, Melayu itu sentiasa terikat kehidupannya dengan adat resam yang tersusun, serta dengan budaya tersendiri, budaya yang diterima-pakai sejak abad berabad.

Dan Bahasa Melayu itu sendiri, pada hakikatnya, telah menjadi alat terpenting yang digunakan oleh masyarakat Melayu untuk menyusun, mengatur dan memperkembangkan budaya dan adat-istiadat mereka.

Melalui keindahan bahasnya, Melayu memperkenalkan simpulan bahasa lengkap dengan kata-kata perbidalan, perumpamaan, pepatah, kias, pantun, syair, seloka dan gurindam.

Dan hampir semua perkara, yang menjadi peraturan dan hukum yang mesti dipatuhi oleh setiap diri Melayu itu di dalam masyarakatnya, sedia tersusun di dalam kata-kata perbidalan, perumpamaan, pantun, kias dan lain-lainnya seperti di atas tadi.

Melayu menggunakan kata-kata pepatah, perbidalan dan perumpamaan sebagai ‘kanun’ yang menggariskan hukum, tatacara, suruhan dan larangan yang mesti dipatuhi, diamal dan dipelihara oleh setiap diri dan mana-mana jua kumpulan masyarakat Melayu dalam menjalani urusan harian masing-masing.

Perbidalan seperti: Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul; Hidup sandar menyandar, bagaikan aur dengan tebing; Kasihkan padi buangkan rumput; Seperti membuka pekung di dada; Muafakat itu berkat; Tak akan harimau makan anak; Marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Harapkan pagar, pagar makan padi; Lebih sudu dari senduk; Mendukung biawak hidup; Melepas batuk di tangga; Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit; Belakang parang diasah pun tajam juga; Tak dipecah ruyung manakan dapat sagunya; dan seribu bidalan atau perumpamaan lain, seperti di atas, merupakan batas-batas larangan dan anjakan yang mesti dipegang oleh setiap diri di dalam sebuah masyarakat Melayu.

Demikianlah ertinya nilai suatu bahasa. Dan Bahasa Melayu itu sendiri secara tidak disedari telah membentuk peribadi setiap individu Melayu untuk tempoh sekian lama. Mereka yang di seberang sana melihat kita sebagai Melayu yang penyantun dan berhemah.

Setidak-tidaknya maka benarlah kata hikmah bahawa: Usul Menunjukan Asal, Bahasa Menunjukan Bangsa.
Read more ...

Monday, July 21, 2008

PROTON LAWAN MERCEDES

ANTARA PERDANA EXCUTIVE & MERCEDES

Banyak pihak yang menjerit apabila Kerajaan Negeri Trengganu mengambil keputusan membeli kereta jenis Mercedes Benze menggantikan Perdana Executive untuk anggota-anggota Exconya.

Apabila ditanya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memberitahu para pemberita di Lumut hari ini bahawa isu menggantikan Perdana Executive dengan mercedes Benze ini akan dibawa kepada Kabinet Kerajaan Pusat untuk dibincangkan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said seharusnya menyediakan alasan yang memang kukuh apabila bertindak membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor dengan peruntukan RM 3.43 juta, menggantikan Perdana V6 Executive untuk Exco dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Negeri.

Ahmad Said pastinya sudah membuat kira-kira terperinci sebelum membuat pertukaran kontroversi ini, apalagi dalam ketika rakyat menghadapi masalah kenaikan harga tinggi bagi hampir semua barangan keperluan pengguna berpunca dari kenaikan harga minyak mulai minggu ketiga Jun lepas.

Perdana Executive adalah kereta keluar Proton. Demikian juga dengan kereta jenis Wira, Satria, Saga dan seterusnya.

Selepas tiga bulan sahaja membeli dan menggunakan kereta Wira Aeroback 1.3 enam tahun dulu, ‘bearing’ roda belakangnya sudahpun mula menimbulkan masalah, mengeluarkan bunyi dengung, bising dan ternyata rosak.

“Bagaimana bearing roda bagi sebuah kereta yang baru digunakan cuma tiga bulan di Kuala lumpur boleh rosak?” Ini persoalan yang bermain di kepala.

Kos mengganti bearing baru untuk keroskan Wira Aeroback ini tidaklah begitu tinggi. Soalnya cuma agen Proton enggan menukar ganti baru bearing yang rosak dengan alasan kereta ini tidak dihantar untuk servis biasa seperti syarat yang ditetapkan.

Bayangkan susah payah yang terpaksa ditanggung oleh pengguna, masa yang terpaksa diambil untuk menghantar kereta ke pusat pembaikan, dan lain-lain, cuma kerana (mungkin) bearing yang dipasang dari mutu yang rendah, atau ia telah tidak dipasang dengan teliti.

Kita percaya Perdana Excecutive juga tidak sepi dari menghadapi ciri-ciri masalah yang hampir serupa dengan Wira Aeroback di atas, atau kereta-kereta lain keluaran Proton.

Kalau ditanya kepada pemilik-pemilik Perdana berhubung kualitinya, maka mereka lazimnya mengakui pelbagai masalah yang kerap dihadapi. Paling teruk ialah ketika berhadapan dengan masalah kerosakan automatic transmission, sistem kawalan kotak komputer, kerosakan sistem pendingin udara, kos menukar baru clutch pressure plate, kos mengganti baru spark plug dan pelbagai lagi.

Kerosakan-kerosakan di atas mudah sahaja berlaku ke atas sebuah kereta Proton Perdana meskipun ia baru berumur satahun dua.

Dan paling mengejutkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pemlik apabila berhadapan dengan kerosakan-kerosakan ini ialah harga alat ganti dan upah yang dikenakan amat tinggi.

Ramai pengguna yang begitu hairan bagaimana harga alat ganti kereta-kereta tempatan amat tinggi berbanding dengan alat-alat ganti kereta impot. Keadaan ini merupakan keadaan sebenarnya kerana rata-rata kadar harga alat-alat ganti sebuah Mercedes Benze adalah lebih rendah dari alat-alat ganti kereta keluaran Proton sendiri.

Ahmad Said dan Kerajaan Trengganu tentu boleh melihat kebenaran ini, kerana lazimnya sebuah Mercedese Banze baru cuma memerlukan servis rutinnya setiap bulan tanpa tambahan belanja lain untuk bertahun-tahun, tidak seperti masalah yang (biasanya) dihadapi sebuah Perdana Executive.

Read more ...

Friday, July 18, 2008

DIARI KUALA LUMPUR

RM 1.00 UNTUK SEKEPING BORANG MOHON PASSPORT

Dah lama pejabat Imigresen tidak saya kunjungi. Sudah lebih lima tahun rasanya. Datang cuma untuk memperbarui pasport perjalanan antarabangsa.

Dalam diam tak diam Imigresen Malaysia telah membuka pejabat cawangan baru di Pekan Sri Rampai, Wagsa Maju, Kuala Lumpur.

Pejabat baru ini memang selesa, terletak di tingkat satu di antara deretan bangunan kedai-kedai yang memenuhi Sri Rampai.

Pekan kecil ini mengEmbang pesat dengan aktibiti niaganya nampak sangat cergas. Dan macam biasa, seperti di pekan-pekan lain yang baru tumbuh mengelilingi kejiranan Kuala Lumpur, restoran-restoran di bawah jenama ‘Maju’ turut merecup di pekan ini.

Sri Rampai jauh amat hebat berbanding keadaannya yang tidak banyak menarik masyarakat KL untuk mengunjunginya pada ketika ia mula-mula dibuka 1983 dulu.

Tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dan menahan beberapa pegawai atasan Jabatan Imigresen Malaysia bersabit kes penyelewengan dalaman, jelas tidak memberi kesan kepada pengurusan cawangan Wangsa Maju hari ini. Urusan dengan pelanggan yang agak ramai, mencecah 100 orang pagi ini, berjalan sangat lancar.

Sistem pengurusan pejabat-pejabat cawangan Imigresen telah berubah kepada sangat memuaskan hari ini berbanding keadaannya sepuluh atau dua puluh tahun dulu.

Dan dalam masa lebih sedikit dari satu jam, sekiranya pemohon mengemukakan dokumen lengkap dan tanpa sebarang masalah, passport baru telahpun disiapkan untuk diambil. Demikianlah kesan terbaik teknologi yang telah kita miliki dalam pentadbiran negara hari ini.

Bayangkanlah kelembapan yang dihadapi oleh sebuah negara kecil lain di Afrika, umpamanya, yang menurut statistik International Telecomunication Union (ITU) 2006, cuma 5 sahaja daripada setiap 1000 penduduk Mali memiliki talian internet, berbanding dengan 480 bagi statiskit Malaysia untuk tahun yang sama.

Tapi hairan juga kita lihat bagaimana Jabatan Imigresen masih mengenakan yuran RM 1.00 kepada setiap borang yang dikeluarkan kepada pengunjung yang datang untuk memohon pasport antarabangsa yang baru. Agaknya, kadar bayaran RM 300.00 yang mesti dijelaskan setiap pemohon untuk satu Pasport Malaysia, masih tidak cukup memenuhi keperluan kos perbelanjaan jabatan?

Dan memandangkan kos sara hidup yang melambung tinggi sekarang, kita kira, ada baiknya Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat kemukakan cadangan kepada kerajaan supaya turunkan kadar bayaran untuk permohonanan Pasport Malaysia ini barang 25 peratus, terutamanya untuk golongan ‘warga emas’, bagi mengurangkan beban perbelanjaan mereka yang terpaksa ke luar negara, menunaikan umrah, umpamanya.

Ampang Jaya, SELANGOR DARUL EHSAN
Read more ...

Friday, July 11, 2008

Sketsa Nusantara

KAUM ADAM INDONESIA RATAPI KEHILANGAN MAK EROT

JAKARTA (Jumaat): Seorang penyiar blog di Indonesia merintih sedih kelmarin apabila menerima berita kematian Mak Erot, seorang pakar urut ‘senjata lelaki’ yang paling terkenal di Jawa Barat.

Mak Erot, dilaporkan berumur dalam linkungan 101 hingga 130 tahun, meninggal dunia minggu lepas. Dia terlalu dikagumi di kalangan kaum lelaki di Pulau Jawa kerana kehebatan urut kebatinannya bagi siapa jua di antara lelaki yang mahu memanjangkan ‘senjata sulit’ masing-masing, demikian menurut Harian Kompas yang dipetik di sini kelmarin.

Si Jengkol, penyiar blog berkenaan merintih: “Oh tidak, aku tak berpelung lagi sekarang menemui Mak Erot kerana dia sudah meninggal. Apakan daya..... aku harus membeli sebuah mesin penyedut buat menyelesaikan masalah ku.”

Berjuta-juta kaum lelaki Indonesia, terutama dari Jawa Barat sendiri, turut bersedih dan merasakan kehilangan Mak Erot sebaik saja berita mengenai pemergian dukun mistik ini tersebar ke seluruh negara.

Berasal dari perkampungan Caringin, Jawa Barat, Mak Erot menggunakan pelbagai jenis bahan herba dan ilmu kebatinan bagi memenuhi cita-cita pelanggannya yang mahu memanjangkan senjata sulit masing-masing.

Populariti Mak Erot begitu terserlah di serata Pulau Jawa sehingga namanya menjadi sebutan umum. Malah kisah-kisah menarik mengenai dirinya menjadi tarikan iklan dan bahan cerita paling popular untuk filem-filem cinta remaja di Indonesia.

Read more ...

Thursday, July 10, 2008

KEMELUT PAK LAH

Hendak ke mana Pak Lah ?
Memang sudah menjadi peraturan asas bahawa satu diri individu tidak harus menanggung gelaran pemimpin, tokoh, artis, penulis atau yang seumpamanya, selagi ia tidak bersedia untuk dirinya serta setiap langkah dan tindakannya menjadi perhatian dan kritikan umum.

Maka pemimpin seperti Pak Lah atau sesiapa jua yang bergelar tokoh atau pemimpin terpaksa menanggung risiko dan beban dari kritikan dan tumpuan masyarakat ramai yang sentiasa berharap mereka akan memberikan sumbangan terbaik kepada masyarakat dan negara.

UMNO dan Pak Lah kini berhadapan dengan kemelut politik dan konflik kepimpinan yang semakin rumit, ibarat tokak yang kian merebak memakan tulang. Tekanan dari pelbagai penjuru yang mahukan beliau mengosongkan segera kerusi PM hari ini semakin kuat, keras dan lantang.

Nasib mungkin tidak menyebelahi Pak Lah kerana beliau terpaksa menerajui kepimpinan kerajaan dalam ketika negara berhadapan dengan soal ekonomi, masalah inflasi yang nyata membebankan seluruh rakyat. Paling teruk menanggung beban berat inflasi ini adalah penduduk kampung dan golongan berpendapatan rendah.

Bagitu pun, rekod prestasinya yang memang terbuka dan diperhatikan rakyat sejak mengambil alih pantadbiran dari Tun Dr Mahathir 2003 lepas, tidak menyebelahi Pak Lah.

Sokongan umum terhadap Pak Lah dan kepimpinannya semakin merosot. Ketidakupayaan kerajaan meneruskan beberapa projek besar di bawah kepimpinan Pak Lah terus menjadi tandatanya. Rakyat umum kini memberi isyarat LAMPU MERAH kepada Pak Lah supaya segera berhenti – bersara. Isyarat-isyarat ini jelas jika diperhatikan fakta-fakta berikut :-

1. Barisan Nasional melalui pengalaman terburuknya dengan cuma menguasai 52 peratus dari undi keseluruhan pada PRU-12, disamping kehilangan dua-pertiga kuasa majoiriti di Dewan Rakykat yang dipegangnya selama ini.

2. Kebangkitan politik baru di Sabah yang mahukan perhatian lebih istimewa diberi oleh kerajaan pusat.

3. Ugutan Parti Maju Sabah (SAPP) yang memutuskan tindakan undi tidak percaya terhadap Pak Lah (walaupun kini telah ditarik balik).

4. Bantahan umum terhadap kenaikan mendadak harga minyak yang menyebabkan kenaikan tinggi harga barangan lain.

5. Suara-suara rakyat di pelbagai lapisan yang semakin terbuka dan lantang - menyuarakan kekecewaan terhadap kelemahan dan ketidakupayaan Pak Lah memimpin negara.

6. Suara-suara kekecewaan rakyat terhadap kegagalan usaha membasmi rasuah dan pengagihan peluang kerja-kerja besar negara di bawah kepimpinan sekarang yang dilihat lebih dibolot oleh keluarga PM dan kroni sekelilingnya.

Rakyat kini mengeluh, membantah secara terang dan terbuka terhadap Pak Lah dan kerajaan kepimpinannya. Semua keluhan, rintihan dan bantahan terbuka boleh dilihat dan diikuti setiap hari melalui laman-laman blog tempatan, terutama blog CHEDET, blog bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang kini menjadi ikutan lebih 3 juta pengunjung.

UMNO terpaksa menanggung saat malangnya kerana sehingga sekarang Pak Lah masih tidak dapat melihat perlunya beliau segera meletakkan jawatan PM yang dipegangnya untuk menyelamatkan UMNO, Barisan Nasional, ummat Melayu dan Negara.

Suara-suara menentang kepimpinannya sudah terlalu terbuka, tidak lagi dibuat secara senyap-senyap dari tabir belakang. Tempoh untuk Pak Lah bertahan (untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai), sudah tamat.

Yang masih berdiri goyang bersama Pak Lah untuk mempertahankan hirakinya kini cuma barisan menteri dan beberapa kerat pemimpin negeri dan bahagian yang takut akan kehilangan kuasa dan pelbagai kemewahan yang dinikmati selama ini.

UMNO tidak boleh membenarkan keruntuhan kuasa dan parti berlaku semata-mata untuk mengikut telunjuk pemimpin atasan yang terlalu takut akan kehilangan kuasa.

Tanyalah ahli-ahli bawahan parti atau rakyat biasa apakah mereka mahu Pak Lah kekal sebagai PM sekarang atau tidak. Jawabnya 99 paratus dari rakyat dan ahli biasa UMNO pastinya akan menuntut Pak Lah segera berundur dari pucuk pimpinan parti dan negara. Inilah mesej mereka.

Apakah Pak Lah masih berupaya mempartahankan popularitinya yang semakin merudum sekarang dalam ketika desakan pelbagai pihak untuk beliau segera mengundur diri dari kepimpinan negara ini sentiasa diperhatikan oleh rakyat.

Segalanya terpulang kepada kepimpinan UMNO sendiri di semua peringkat untuk mencari keputusan terbaik dan bertindak berani di dalam melakukan perubahan dan menentukan kedudukan presiden parti. Tindakan radikal ini terlalu penting dan amat kritikal kerana nasib negara dan Melayu itu sendiri adalah taruhannya.

Read more ...

TOK GURU GANTI PAK LAH

Toleh kanan. Tengok kiri. Semua orang terus mencari. Mencari dan mencari. Malang tak ada siapa yang boleh disandar. Tak ada siapa yang boleh diharap.

Kita sepertikan ketandusan pemimpin hari ini. Kepimpinan kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO akhir-akhir ini dilihat semakin lemah, terhimpit, tenat.

Pak Lah dan barisan kabinetnya kini benar-benar berhadapan dengan krisis ‘integrity’ yang paling mengaibkan. Keupayaan kabinet selepas PRU-12, 8 Mac lepas untuk meringankan beban rakyat yang tertekan oleh masalah ekonomi, kenaikan harga barangan dan kos hidup yang melambung, terus dipersoal.

Rakyat bawahan yang selama ini tidak pernah ambil tahu, tidak pernah bertanya berhubung soal perolehan dan belanjawa negara, kini mahu tahu semuanya. Mereka mahu tahu berapa banyak perolehan dan keuntungan yang dibawa masuk Petronas. Orang kampung pun sudah mula bertanya ke mana dan bagaimana puluhan billion RM wang negara ditabur dan dibelanjakan.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah 50 tahun Malaysia apabila kepimpinan negara, khususnya diri Perdana Menteri itu sendiri, dipersoalkan krediblitinya secara terbuka, seperti yang berlaku hari ini.

Ke arah mana pun yang hendak kita lihat hari ini, di kalangan barisan kepimpinan kerajaan sedia ada, memang terlalu sukar untuk kita mencari seorang tokoh impian, tokoh dinamis yang layak menduduki kerusi PM (jika kualiti kepimpinan sebelumnya diambil sebagai tali pengukur).

Selepas Pak Lah, pemerhati-pemerhati politik tidak melihat wujudnya seorang tokoh lain di dalam UMNO sendiri yang mampu mengembalikan kekuatan parti, atau mampu mengatasi situasi ekonomi dan kenaikan harga barangan yang kian meruncing sekarang.

Barisan pemimpin yang ada rata-rata dari kumpulan lama yang telah diberi kesempatan memimpin negara selama berbelas tahun, malangnya rata-rata mereka gagal memperlihatkan prestasi cemerlang selaku pemimpin dan tokoh menteri yang benar-benar berkualiti yang boleh diharapkan oleh rakyat.

Jika ditanya kalangan yang rapat dengan parti, mereka akan berkata bahawa barisan menteri-menteri kabinet UMNO di Putrajaya, keseluruhannya, lebih hebat dan lebih tertumpu kepada politik berbanding tugas utama masing-masing untuk mengurus pentadbiran negara.

Kedudukan dan pengaruh dalam parti menentukan ‘nasib’ atau cerah malapnya masa depan seseorang tokoh di dalam kerajaan. Maka tidak hairanlah sekiranya bapak-bapak menteri ini menghabiskan lebih banyak dari masa mereka kepada parti dan untuk berpolitik, berbanding dengan masa yang mesti ditumpukan untuk tugas sebagai seorang menteri.

Ringkasnya, UMNO sekarang tak punya calon layak untuk menduduki kerusi PM mengantikan tempat Pak Lah. Barisan tokoh-tokoh pemimpinnya yang ada kini sudah terlalu lapok, terlalu banyak kuman kudisnya – bahawa cerita-cerita sinis di be sebalik tirai mereka sudah banyak yang tersingkap dan diketahui umum.

UMNO barangkali terpaksa bertindak drastik dengan mengimpot seorang tokoh luar untuk meneraju parti dan negara menggantikan Pak Lah.

Dan selepas Tok Sheikh Anwar Ibrahim, yang kini terpalit oleh kes Liwat & Lari, tokoh lain yang lebih berwibawa dan berpotensi untuk mengambil tempat Pak Lah dalam kemelut UMNO yang ketandusan pemimpin hari ini, kita melihat tidak lain dari diri Tok Guru Nik Aziz sendiri.

Keupayaan Tok Guru Pas ini untuk menerajui kepimpinan Putrajaya mungkin diragui ramai pihak. Namun kualiti beliau sebagai seorang pemimpin yang bersih dan prestasinya menerajui Kerajaan Kelantan selama bebelas tahun, dalam ketika kerajaannya berhadapan dengan pelbagai masalah kewangan yang kronik, boleh menjadi ukuran.

Atau UMNO sendiri harus melahirkan seorang tok guru seperti Nik Aziz dalam masa terdekat ini untuk memimpin parti setelah Pak Lah tidak berupaya menimba Al-Quraan, Asy-Syafie dan Al-Ghazali yang cuba digalinya selama lima tahun ini.

Read more ...

POLEMIK INSIDEN L&L

Politik Malaysia sekarang benar-benar memasuki level ‘BERCELARU’. Semuanya sudah jadi tak menentu. Kita berhadapan dengan suara-suara rakyat yang semakin lantang mahukan Pak Lah segera berundur dan mengosongkan kerusi Perdana Menterinya.

Dalam ketika parti-parti politik di bawah Barisan Nasional, terutamanya UMNO, MIC dan MCA, goncang dan gawat, politik pembangkang pun turut hadapi senario penuh ‘Luuuucu & Jeliiiik’.

Kisah liwat yang membabitkan tuduhan ke atas (Tok Sheikh) Anwar Ibrahim, pemimpin idola parti-parti di dalam Pakatan Rakyat, secara langsung menukar tumpuan rakyat ramai yang sebelum ini menyaksikan kerancakan dan keributan pemimpin-pemimpin PKR untuk menumbangkan Pak Lah di Parlimen dan seterusnya merampas kuasa pentadbiran negara.

LUCUNYA: Anwar, Hadi Awang, Azmin Ali, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Wan Azizah dan barisan pemimpin ‘Kabinet Bayangan PKR’ cuma beberapa langkah sahaja akan menjejakkan kaki di kota pantadbiran Putrajaya, bila secara tiba-tiba kisah liwat ‘Putera Rumah Putih’ ini meledak dan menggegak-hambakkan negara dan dunia.

Senarionya sungguh lucu dan licik. Teringat semula dengan 'flash back' apa yang pernah dicatatkan dalam sejarah 1998 dulu.

Jika dulu Anwar cuma menunggu tempoh beberapa bulan sahaja menjelang perhimpunan agung untuk memilih pimpinan parti bagi membolehkan dia merebut kerusi presiden UMNO, seterusnya merampas jawatan Perdana Menteri, tapi kali ini kemungkinan untuknya kembali ke Parlimen dan mengambil alih kerusi PM memang ternyata begitu hampir, terbuka.

Kisahnya memang amat luar biasa, penuh dengan kejutan. Ramai yang terkejut apabila insiden Tok Sheikh mencari perlindungan di Kedutaan Turki disiarkan dan menjadi tajuk utama berita stesen-stesen televisyen tempatan malam itu.

Tok Sheikh berlindung di bumi diplomatik Turki kerana khuatirkan kekerasan yang mungkin boleh dilakukan pihak polis ke atasnya walaupun ketika itu tidak ada satu bayang atau mana-mana pihak pun yang mahu memburunya.

Lebih menarik lagi ialah apabila timbul cerita nyawanya kini terancam kerana ada pihak yang mahu membunuhnya. Riwayat terbaru ini memang memeningkan kepala ramai kerana minggu-minggu sebelumnya Tok Sheikh bebas di khalayak ramai dengan pidato-pidato lantangnya.

Insiden ‘lari dari buruan’ ini menjadi bualan menarik ramai pihak, terutama di kalangan pemerhati-pemerhati politik dan pastinya dari kalangan penyokong-penyokong kerajaan sendiri di Parlimen.

Pak Lah dan kabinetnya yang sejak sebulan lepas berada dalam kepanasan akibat masalah kenaikan harga minyak dan kadar inflasi yang meruncing, kini sekurang-kurangnya boleh menarik napas lega buat seketika kerana Puterajaya untuk sementara ini agak terselamat dari ancaman PKR dan Tok Sheikh mereka setelah timbulnya cerita L&L ‘liwat dan lari’ yang penuh menarik ini.

Jalan dan peluang Tok Sheikh bersama Pakatan Rakyatnya untuk merampas Puterajaya, setelah tercetusnya insiden L&L ini, sekarang ini ternyata semakin buntu dan sempit.

Benar atau tidaknya insiden L&L ini sekaligus mempengaruhi sentimen ramai yang kini kembali meragui nilai diri seorang pemimpin yang perjalanannya penuh dengan trauma, semakin menjadi tandatanya.

Apabila Anwar bertindak meminta bantuan dari Rumah Putih di Washington untuk melindungi dirinya ekoran kes L&L yang melibatkan dirinya, lalu cerita-cerita ramai selama ini berhubung kemungkinan penglibatan Tok Sheikh dengan CIA, sebuah badan perisikan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab mengkucar-kacir dan meruntuhkan banyak negara Islam, kini semakin tersingkap.

Walaupun setiap pendekar PKR berduyun-duyun berteriak ‘KONSPIRASI!’ dan meskipun soldadu-soldadu Pas kian melontarkan laungan ‘FITNAH’ dengan keras di masjid dan surau-surau akhir-akhir ini berhubung dengan tuduhan L&L, namun rakyat harus menolak sebarang percubaan memertabatkan seorang pemimpin unjuran kuasa luar untuk menguasai Parlimen dan kerajaan kita.

Malaysia mestilah menolak percubaan seorang Putera Rumah Putih untuk menguasai pentadbiran negara. Rakyat mestilah menentang pengaruh kuasa besar, seperti Amerika Syarikat sendiri, untuk menguasai dan mencengkam bumi tercinta ini .

Apapun, setiap yang tersurat pastinya berlaku. Inilah yang dinamakan ‘Taqdir’. Logiknya, Anwar tidak mungkin melakukan insiden ‘jelik’ seperti ini sesuai dengan jolokan ‘Tok Sheikh’ yang ditanggungnya, apalagi selaku seorang tokoh yang terkenal sopan, bersih, dan waraq.

Namun, apa pun boleh berlaku hari ini. Perkara yang tidak diduga pun mudah terjadi. Meskipun ramai percaya Anwar cuma difitnah dan tidak pernah melakukannya, namun taqdir sudah menentukan bahawa Anwar mesti berhadapan dengan tuduhan dan fitnah ini.

Read more ...
Designed By