Breaking News

Sunday, September 25, 2016

Logik Tsunami Aceh:
KOTORAN REBAN AYAM

TAK PERLU DIBERSIH 


Lebih 250,000 jiwa dianggarkan terkurban akibat tsunami demikian mengerikan yang menggulung bumi Aceh pada pagi 26 Disember 2004.
Seorang Tengku (ustaz) Aceh ditanya mengapa mesti tsunami menggulung bumi Aceh lebih 11 tahun dulu.


Yang bertanya mengungkapkan mengapa tidak tusnami yang demikian mengerikan itu dulu menggulung Pulau Bali, Jakarta ataupun Medan kerana maksiat yang berlaku di kota-kota itu.

Tengku muda bertubuh gempal itu terpegun seketika mendengar pertanyaan yang dihadapkan. Namun dia bertanya kembali kepada yang bertanya:


Tengku: Apakah saudara pernah tinggal di desa suatu ketika dulu dengan rumah keluarga yang juga memiliki ternakan ayam?

Penanya: Ya pernah.

Tengku: Jika ayam-ayam ini masuk ke dalam rumah dan berak di dalamnya dengan meninggalkan najis dan kotoran, maka apakah harus kita bersihkan kotoran itu?

Penanya: Kotoran itu mesti dibersihkan.

Tengku: Adakah kita mesti bersihkan kotoran yang bertimbun-timbun dalam reban ayam?

Penanya: Kotorsan dalam reban ayam tidak perlu dibersihkan.

Tengku: Begitulah dengan tsunami yang menggempur Aceh dulu. Maka Aceh mesti dibersihkan dari sebarang kotoran atau maksiat untuk membolehkan ia kembali suci sesuai dengan gelaran Aceh sebagai Tanah Serambi Mekah.

“Maka mengapa mesti kota-kota lain itu perlu dibersihkan sesuai dengan keadaan reban ayam tadi yang kotorannya memang tidak perlu dibersihkan,” sambung Tengku itu lagi.

Terpegun si penanya melihat logik amokan tsunami yang dilontarkan oleh tengku berkenaan.
Read more ...

Wednesday, July 27, 2016

ANTARA IBU DAN BINI

Gao menjadi mangsa kemarahan pelayar internet China kerana tindakannya 
meninggalkan bininya bersendirian di rumah semata-mata untuk menyelamatkan 
ibunya ketika banjir melanda desa Daxian, Hebei, China 20 Julai lepas.
Gendang Dipalu 27 Julai 2016:   Ketika banjir menyerang kampungnya, Gao Fengshou berhadap dengan pilihan demikian sukar: segera keluar menyelamatkan ibunya atau bertahan di rumah untuk menemani isterinya.

Namun tanpa berbelah bagi lelaki dari provinsi Hebei di China ini terus bekejar keluar mencari ibunya di tengah air yang menderu naik meski isteri yang ditinggal bersendirian menjerit melepaskan kemarahan.

Malam itu keluarga Gao mendapat khabar bahawa hujan lebat bersama banjir akan melanda daerah Daxian. Apabila terjaga setelah dikejutkan oleh isterinya subuh itu, Gao terus meluru keluar menuju ke rumah ibunya yang cuma beberapa minit sahaja dari rumahnya.

Anehnya bukan sahaja sang isteri yang memarahi Gao, malah sebahagian besar pelayar internet China tidak puashati dengan tindakan lelaki pekerja hiasan dalaman itu meninggalkan isterinya.


Laporan yang dikutip dari media Time UK berkata banjir yang melanda Hebei minggu lepas mengorbankan 130 jiwa.

Read more ...

Wednesday, July 13, 2016

Tun Mahathir Memperkatakan Ciri Manusia Bebal

Tun Dr Mahathir Mohamed barangkali sudah tidak lagi mampu mengawal kemarahannya apabila beliau memakai kalimah ‘Orang Bodoh’ dalam serangannya ke atas barisan pemimpin Umno dan Pas yang menyokong kejahatan Putrajaya melesapkan berbilion ringgit dana melalui 1Mdb.

Tun Mahathir merumuskan bahawa mereka yang dipilih terlibat di dalam 1Mdb sebagai golongan pekak dan bebal kerana masing-masing tidak mampu bercakap.

Ikuti tulisan penuh Tun dr Mahathir dalam tulisan terkini beliau berhubung isu ORANG BODOH yang disiarkan melalui blog Chedet.


 ORANG BODOH

1. Saya diberitahu bahawa Sarawak Report, entah bagaimananya, telah dapat memperolehi laporan Audit Negara mengenai 1MDB yang paling rahsia. Dan mereka berkata laporan Audit Negara itu adalah menjahanamkan. Terdapat begitu banyak perkara yang salah, malah perkara-perkara jenayah yang dilakukan oleh orang-orang 1MDB dan Pengerusi Lembaga Penasihat, yang mewajarkan tuduhan jenayah diambil terhadap Pengerusi dan kakitangan 1MDB.

2. Tetapi seperti yang kita semua tahu A.G. yang satu lagi itu (Attorney General) – iaitu Peguam Negara telah mengisytiharkan bahawa laporan Ketua Audit Negara tidak menunjukkan bahawa Najib telah melakukan sebarang kesalahan atau jenayah. A.G. ini menolak laporan A.G. yang satu lagi dan beliau kuatkuasakan Akta Rahsia Rasmi untuk menghalang orang ramai mengakses kandungan laporan.

3. Jelas sekali kedua-dua A.G., kakitangan pejabat Audit Negara dan pejabat Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) mengetahui kandungan laporan Audit Negara ini. Tetapi mereka tidak bercakap. Bibir mereka dimeteraikan.

4. Kemudian Menteri Kewangan II meletak jawatan daripada semua jawatan. Dia tidak menjelaskan mengapa beliau mengambil tindakan yang drastik itu. Dia akan ke Jordan untuk belajar agama. Nampaknya bibirnya juga dimeterai. Dia membisu sekarang.

5. Jika melihat kepada mereka yang terlibat dalam penubuhan dan pengurusan 1MDB, seseorang mesti membuat kesimpulan bahawa mereka itu telah dipilih kerana mereka bodoh. Dan mesti ada banyak orang-orang bodoh sebegini di persekitaran. Sesetengahnya meletak jawatan dengan cepat, yang lainnya mengambil masa yang lebih lama. Sesetengahnya mungkin telah dihentikan atau dipindahkan atau bersara. Tetapi kecacatan umum mereka semua adalah ketidakmampuan mereka untuk bercakap. Boleh jadi juga mereka pekak, tetapi sudah pasti mereka semuanya adalah bodoh.

6. Saya percaya terdapat undang-undang mengenai menutup perbuatan jenayah. Bahkan orang-orang bodoh pun tidak dikecualikan daripada undang-undang ini. Mereka mungkin bodoh tetapi mereka tidak sebegitu bodoh sehingga tidak dapat membezakan di antara betul dan salah. Mereka boleh membaca dan mereka boleh memahami.

7. Mahkamah undang-undang mungkin tidak dapat menerima dengan baik pengakuan bahawa mereka bodoh. Mungkin mereka boleh mendakwa bahawa mereka telah dipaksa untuk bertindak bodoh. Kemungkinan seorang. Mungkin juga dua atau tiga. Tetapi sekumpulan manusia yang besar tidak mungkin dapat dipaksa untuk bertindak bodoh. Hujahan mereka akan ditolak oleh mahkamah.

8. Kemudian timbul persoalan perasaan yang ada dalam hati nurani. Tetapi terdapat mereka yang dengan penuh cerianya memperindahkan apa yang mereka tahu dengan membuat pembohongan. Tidak mungkin mereka begitu buta huruf sehingga tidak boleh membaca. Akhbar, media alternatif dan penyiasat pakar seperti WSJ dan Sarawak Report tidak mungkin dapat mereka-reka semua penipuan skala besar yang melibatkan 1MDB. Sehingga laporan asal diisytiharkan awam, tuntutan oleh konco-konco mereka bahawa semuanya adalah pembohongan tidak boleh dipercayai .

9. Hari ini anda boleh bertindak bodoh. Tetapi akan tiba masanya apabila helah ini tidak dapat dimaafkan. Walaupun anda berselindungkan agama, pengelakan tidak akan bertahan.

10. Kumpulan ketiga terdiri daripada mereka yang telah diberi makan dedak (bran). Dan yang keempat terdiri daripada penyokong yang tidak boleh berfikir. Kumpulan ini percaya bahawa seseorang Presiden yang juga seorang pemimpin parti berhak untuk berbuat apa-apa saja yang beliau suka, termasuk mencuri wang Kerajaan tidak kira berapa banyaknya. Satu juta atau satu bilion tidak mengapa. Ianya hanya melibatkan perubahan “m” kepada “b” dan menambah tiga lagi sifar – iaitu menambah kosong. Bagi mereka, “bukan mereka untuk menyoal sebab mengapa, tetapi bagi mereka ialah membuat sampai mati”. “Presiden saya, semoga dia sentiasa berada di landasan yang betul, tetapi dia Presiden saya, betul atau salah”. Itulah mentaliti mereka.

11. Di antara semua orang-orang yang bodoh ini, negara ini akan musnah. Tetapi siapa yang mempedulikan !!

12. Hari pembalasan pasti akan tiba. Ia akan tiba sebelum orang-orang Islam di kalangan mereka bertemu Pencipta mereka. Mulut akan terbuka dan kata-kata akan mencurahkan keluar. Agama tidak akan membebaskan anda. Menunaikan Haji, terutamanya dengan wang dicuri, tidak akan menebuskan dosa-dosamu. Anda akan mendapat balasan yang setimpal.
Read more ...

Sunday, June 5, 2016

DI ACEH RAMADHAN TIDAK SEMPURNA TANPA MEUGANG


BANDA ACEH 5 JUN - Dua hari menjelang bermulanya Ramadhan setiap tahun merupakan waktu paling penting dan saat demikian bererti bagi masyarakat seluruh Aceh.
      Hari-hari itu disebut sebagai ‘Meugang’ (megang) di mana setiap keluarga di kampung atau di kota-kota serta di seluruh ceruk dan rantau bumi Aceh akan berbelanja besar – mendapatkan dua atau tiga kilogram daging lembu dijadikan masakan dan hidangan keluarga menjelang puasa.
Suasana kesibukan orang ramai membeli daging lembu ketika 'Meugang' di Aceh.

      Meugang sudah menjadi tradisi yang diamalkan seluruh masyarakat Aceh lebih 500 tahun dulu dipelopori paduka Sultan Iskandar Muda dengan membahagikan daging kepada rakyat susah, fakir dan miskin dua hari menjelang Ramadhan setiap tahun.
      Namun, meugang sebenarnya dilihat lebih bererti dari cuma merupakan sebuah tradisi yang berterusan sekian lama.
      Ia adalah lambang pautan keluarga demikian erat yang dimiliki oleh masyarakat Aceh. Meugang adalah hari seorang anak kembali ke dalam dakapan ibunya. Hari seorang perantau pulang ke pangkuan keluarga. Hari seorang menantu menyatakan kasih sayang dengan membawa bekalan berkilo-kilo daging untuk keluarga mertuanya.

      Meugang adalah Hari Kasih Sayang; Hari setiap ahli keluarga menyatakan kegembiraan tidak terperi menyambut ketibaan Ramadhan yang penuh barakah.
      Suasana tenang sepanjang tahun yang dilalui oleh setiap sebuah pasar di seluruh provinsi Aceh tiba-tiba berubah riuh, sesak dengan kebanjiran manusia, orang ramai yang datang mencari keperluan sempena meugang dan puasa yang bakal hadir lusa.
      Dianggarkan hampir 2 ribu ekor lembu disembelih dengan dagingnya diedarkan di pasar-pasar seluruh Aceh sejak pagi hingga lewat petang tadi.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
Kemunculannya ditunggu-tunggu di hujung puasa.
      Penternak serta pedagang lembu membuat keuntungan besar sepanjang dua hari meugang ini. Di hari-hari bisa sekilo daging lembu dijual dengan harga Rp 100 ribu, tetapi hari ini ia meledak naik sehingga Rp 140 ribu.
      Pedagang juga mengambil kesempatan menjual daging segar melalui berpuluh buah gerai sementara pinggir jalan di sekeliling kota besar seperti Banda Aceh, Sigli, Bireuen, Lhokseumawe, Meulaboh dan lainnya.
      Demikian luar biasanya. Ketika semua pasar raya di seluruh Malaysia serta stesen-stesen telivisyen di Lembah Kelang, Selangor, ghairah membuat promosi Eidul-Fitri seminggu dua sebelum puasa, masyarakat seluruh Aceh berpesta, berbelanja besar dengan meugang untuk menyambut kadatangan Ramadhan. 
     Di Aceh, Ramadhan sepertikan tidak sempurna tanpa meugang. Sebaliknya di Malaysia raya tak jadi selagi wajah istimewa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja tidak muncul di kaca televisyen di penghujung Ramadhan.


Read more ...

Friday, June 3, 2016

GARA-GARA PRESIDEN JOKOWI DI BANDARA ACEH


BANDA ACEH 2 Jun – Mungkin pagi dan hari ini sebagai saat-saat agak bertuah bagi saya. Ada tiga hal sangat menarik yang saya lalui sejak subuh tadi ketika berlepas dari KLIA2 dalam perjalanan ke Banda Aceh. Dan saya tersintak dengan kejutan Presiden Joko Widodo pagi ini.
Semalam, Rabu 1 Jun,  genap tujuh tahun saya berperantauan di Tanah Serambi Mekah Aceh dalam misi memberi khidmat selaku seorang sukarelawan kepada anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Melaka – Tsunami Aceh (RAYMTA).
Bangunan tiga tingkat asrama RAYMTA di Jalan Muhajirin, Desa Punie dekat Banda Aceh, didirikan Kerajaan Negeri Melaka pada penghujung 2005 setahun selepas tragedi tsunami 26 Disember 2004.
Pembiayaan penuh pengurusan serta bantuan pelajar-pelajar di sini ditanggung oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pimpinan Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam sejak 1 Jun 2009 sehingga ke saat ini.
Dan sejak tarikh itu saya bertandang ke bumi Aceh, berulang alik dari Kuala Lumpur ke Banda Aceh setiap bulan, bermula dari penerbangan AirAsia ke sini cuma empat kali seminggu dengan dua-per-tiga kerusi penumpang lazimnya kosong, sehinggalah laluan ini bertambah kepada 11 kali seminggu sejak dua tahun lepas. Demikian sabarnya AirAsia bahawa laluan Kuala Lumpur – Banda Aceh yang diperkenalkannya menjadi ‘route’ popular kini dengan kadar penumpang demikian menggalakan.

Cewek manis pramugari AirAsia 

Teh Tarik

Memang sudah menjadi rutin saya memilih penerbangan awal pagi setiap kali ketika mau berangkat ke Aceh. Selesai check-in terus menuju ke surau di lantai satu KLIA2 untuk solat subuh; kebiasaannya berjemaah bersama kumpulan penumpang yang lain.
Kemudiannya menuju pulak ke Quizinne food court di lantai dua untuk menikmati teh tarik RM3.50, pakej minuman paling murah yang boleh anda dapatkan di kompleks lapangan terbang premier ini. Bersama teh tarik super ini pelanggan dihadiahkan sama sekeping karipap...... FOC.
Saya terus menuju ke sebuah mesin tiket elektronik ketika sampai di lapangan terbang jam 5.45 subuh tadi untuk urusan check-in sendiri. Mahukan proses check-in segera, nak elakkan dari beratur panjang dengan penumpang yang berpusu-pusu di kaunter tiket.

Cewek Manis

Hmmmm...... terperanjat jugak kerana setelah semua data dimasukkan, tiba-tiba muncul satu makluman di layar monitor mengarahkan saya membuat urusan check-in di kaunter tiket. “Apa hal?”
Terpaksa beratur ikut giliran selama sepuluh minit. Urusan check-in di kaunter dikendalikan cewek Malaysia yang nampak manis. Sejurus kemudian saya dihulurkan boarding pass penerbangan AK421.
Memang terperanjat. Cewek manis ini menghantar saya untuk duduk di bahagian ‘Hot Seat’ yang lazimnya diberikan kepada penumpang dengan tiket harga tinggi atau penumpang yang membuat tempahan kerusi utama dengan bayaran tambahan RM 40 untuk satu perjalanan.
Mungkin pemberian hotseat pagi ini cuma  sebagai satu kebetulan disebabkan semua kerusi dipenuhi penumpang. Tapi, tak jugak gamaknya kerana masih tertinggal lebih dari 30 kosong dari 198 kerusi yang tersedia.
Penerbangan pergi-pulang saya KUL-BTJ-KUL bulan lepas juga saya menikmati layanan istimewa ini. Duduk di barisan paling depan meskipun saya tidak menempah kerusi istimewa.

Insentif Pelanggan

Memang tuah badan gamaknya. Atau syarikat penerbangan tambang rendah ini menghargai penumpang tidak punya banyak pilihan seperti saya yang sudah lebih 160 kali menggunakan khidmatnya untuk laluan ini, setiap bulan sejak tujuh tahun lepas?
Atau ini sebagai salah satu daripada strategi jangka panjang AirAsia menyediakan insentif meski untuk pelanggan-pelanggan kecil. Pintarnya bos penerbangan ini, Tony Fernandes, dan tim pengendali syarikatnya bersabar dengan permulaan yang lembab serta memikat pelanggan yang besar atau perseorangan.
Kerusi saya di barisan lima sudah dipenuhi satu keluarga dari Kuantan, Pahang, yang berkunjung ke Banda Aceh pagi ini. Pramugari berskirt merah, sendat dan ketat, menghantar saya duduk di kerusi barisan paling depan.
Jet Airbus 737 yang membawa kami ke Aceh pagi ini nampak penuh rapi berseri. Aroma dalamannya serta kerusi dan semua peralatannya nampak baru dan segar. Ia pasti baru diterima oleh AirAsia seminggu dua lalu. Wow...... barangkali inilah kali pertama saya dapat menikmati penerbangan dengan sebuah jet paling baru.

Makan Angin

Jet kami meluncur laju membelah awan yang berlapis-lapis merentasi udara Selat Melaka menuju ke arah Medan, kemudiannya membelok ke Banda Aceh.
Suara juruterbang Kapten Adam Rabbani memberitahu bahawa pesawat yang membawa kami pagi ini terbang pada ketinggian 32 ribu kaki dari paras laut dengan kelajuan 890 kilometer sejam. Kami dijangka mendarat 20 minit lebih awal dari kebiasaannya selama sejam setengah.
Hujung tanjung di Krueng Raya di bahagian hujung pulau Sumatra sudah kami lintasi. Tetapi pesawat tidak menuju ke Bandara Iskandar Muda, lapangan terbang utama Aceh di Blang Bintang. Wow..... mungkin kami dibawa makan angin dulu dengan jet baru ini.
Sesaat kemudian Kapten Adam memaklumkan bahawa pendaratan penerbangan AK421 kami terpaksa dilambatkan selama 15 minit disebabkan urusan VVIP yang tidak dapat dielakkan di bandara Iskandar Muda.
Pak Jokowi bermalam di Banda Aceh tadi malam.
Kerana Jokowi

Di sebuah lapangan kerdil seperti Bandara Iskandar Muda apa jua kemungkinan dan kejutan boleh berlaku. Pesawat-Pesawat komersial tidak dibenarkan mendarat samada kerana hujan lebat dan angin kencang. Atau mesti berlegar dulu untuk memberi laluan kepada pesawat VVIP. Di sini siapa anda dan setinggi mana kuasa yang anda miliki menjadi penentu. Tokoh terpenting dalam kategori ini boleh menarik pihak berkuasa sebuah lapangan terbang mengarah anda terus berlegar di udara atau pulang saja.
Tidak ada pesawat lain kelihatan di hanger Iskandar Muda apabila Airbus 737 kami mendarat setelah berlegar di udara 20 minit. Suasana sekitar nampak sepi saja.

Apabila berada di dalam mobil Subaru 40 tahun, teksi tempatan yang membawa saya keluar dari lapangan terbang di daerah Blang Bintang ini, barulah saya tahu bahawa pesawat kami diperintah berlegar dulu lantaran jet VVIP dari Jakarta, Jokowi, yang juga selaku bapak Presiden Indonesia, berada di bandara Iskandar Muda pagi ini dalam perjalanan ke Lhokseumawe.


Read more ...

Wednesday, June 1, 2016

IRWAN SERIGAR KINI PENGERUSI 1MDB

PUTRAJAYA, 1 JUN - Setelah membebankan negara dengan lambakan lebih RM 50 bilion hutang serta pelbagai episod kemungkinan berlakunya penyelewengan dana yang sangat mengerikan, akhirnya Putrajaya melantik wakil Kementerian Kewangan duduk mengendalikan syarikat 1MDB.
Pentadbiran Putrajaya dalam kenyataannya semalam mengumumkan perlantikan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, selaku pengerusi baru Lembaga Pengarah 1MDB dalam usaha serius kerajaan menyelamatkan syarikat negara itu dari terus tenggelam.
Irwan Serigar bakal memimpin lembaga dianggotai sama dua penyandang lain, iaitu Dato’ Norazman Ayob, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Setiausaha Negara, dan Dato’ Kamal Mohd Ali, CEO Prokhas Sdn Bhd (sebuah syarikat yang banyak memberi nasihat kewangan kepada syarikat-syarikat berhubungan kerajaan).
Irwan Serigar Abdullah sebagai Pengerusi baru 1MDB

Pada yang yang sama Putrajaya mengekalkan kedudukan Arul Kanda Kandasamy selaku Presiden 1MDB.
Perlantikan Lembaga Pengarah baru ini dibuat bersesuaian dengan kehendak  Jawatakuasa Kira-kira Awam (PAC) yang mencadangkan perubahan dibuat terhadap undang-undang penubuhan 1MDB berkuatkuasa mulai 31 Mei 2016.
Perubahan ini sekaligus menggugurkan peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Ketua Penasihat kepada Lembaga Penasihat 1MDB serentak dengan pembubaran lembaga berkenaan.

Melalui perubahan baru ini Lembaga Pengarah 1MDB dibebankan dengan proses pemindahan hak milik Bandar  Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd, pemilikan tanah Air Itam dan Pulau Indah kepada MoF Incorporated.
Read more ...

Monday, May 30, 2016

SELAMATKAH UMNO DI S.B, K. KANGSAR?














KUALA LUMPUR 29 JUN - Barisan Nasional mungkin selamat menghadapi ujian pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun ini meskipun menteri-menteri dari empat anggota kanannya dalam komponen parti memberi amaran akan meninggalkan kabinet sekiranya Parlimen meluluskan undang-undang hudud.

Hampir semua pemerhati politik kini bercelaru mencari titik petanda ke  arah mana sebenarnya aliran sokongan pemilih di peti-peti undi nanti ekoran pelbagai isu baru yang tiba-tiba muncul, isu yang memungkinkan BN (Umno) mampu mengekalkan kedua-dua kerusi parlimen atau sebaliknya.

Banyak pihak di minggu-minggu sebelum ini yang melihat kemungkinan Umno tersungkur di Sungai Besar (SB) dan Kuala Kangsar (KK) pada PRK berpunca dari isu penggelapan berbilion ringgit dana 1Mdb, masalah GST, gelombang dalaman Umno sendiri menolak kepimpinan PM Najib Razak serta isu Deklarasi Rakyat yang disokong kuat oleh Tun Dr Mahathir.

Umno seharusnya tumbang di SB dan KK berasaskan kemungkinan kejahatan yang berlaku di dalam 1Mdb dan lain-lain simpang siur pengurusan yang dilihat berlaku dalam negara.

Kemungkinan ini lebih nyata lagi apabila empat menteri dari empat parti
komponen BN membuat keputusan mahu meninggalkan kabinet sekiranya Parlimen meluluskan peraturan hudud yang dikemukakan oleh presiden Pas, Haji Hadi Awang.

Presiden MCA, Liow Tiong Lai, memberi amaran akan keluar dari kabinet jika Parlimen meluluskan undang-undang hudud cadangan pas ini. Subramaniam dari MIC juga mahu keluar, diikuti dengan Mah Siew Keong dari Gerakan dan Joseph Kurup dari PBRS.

Namun di sebalik semua hambatan dan kecelaruan itu, tiba-tiba berlaku kekecohan di kalangan barisan pembangkang di dalam Pakatan (longgar) Rakyat (Pas, Pkr, Amanah dan Dap) yang sama-sama berebut mau meletakkan calon masing-masing di SB dan KK.

Sehingga kini Pas berkeras mahu calonnya sahaja bertanding di kedua-dua kawasan menentang calon Umno. Pkr mahukan SB, manakala Amanah pula mahukan KK.

Sehinggga Pas, Pkr, Amanah dan Dap tidak mencari kata sepakat di dalam memilih calon tunggal bertanding di kedua-dua kawasan, maka Umno dikira masih boleh menarik nafas lega.

Najib dan jentera penggempur Umno tentunya mempunyai harapan terbuka mengekalkan SB dan KK sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRK ini nanti, terutamanya apabila Pas disertai calon Pkr atau Amanah sendiri sama-sama bertanding.

Kempen PRK SB dan KK pastinya panas kelak sekiraya persepakatan baru dicapai oleh Pakatan Rakyat melalui pemilihan calon tunggal berhadapan Umno, persepakatan yang memungkin Umno tumbang di kedua-dua kawasan.


Dan kelak pengundi-pengundi di SB dan KK akan melihat duit raya yang melimpah-limpah bertaburan di kawasan mereka.


Read more ...

Sunday, May 29, 2016

BERBILION RINGGIT DANA 1MDB MUNGKIN LESAP



KUALA LUMPUR 28 Mei – Siapakah yang bakal menanggung beban kemungkinan hilangnya dana lebih dari $1 bilion USD yang dikatakan dipindahkan oleh 1MDB  kepada Good Star Limited, syarikat misteri bertdaftar di Pulau Seychelles, apabila Bank Negara Malaysia berkata siasatan ke atas 1MDB sudah selesai.

Kalangan yang mengikuti perkembangan arah aliran, simpang siur perjalanan syarikat sarat hutang negara ini khuatir akhirnya kerajaan dan rakyat sendiri terpaksa menanggung kehilangan dana demikian besar itu setelah Putrajaya memberikan kategori ‘Rahsia’ ke atasd semua maklumat penyiasatan salah laku yang mengambil tempat di dalam 1MDB.

Bernama hari ini melaporkan penafian Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin hari ini menafikan bahawa pemilik Good Star Limited adalah Low Taek Jho atau Jho Low seperti yang dinyatakan oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) dengan mengaitkan surat Bank Negara terhadap jawatankuasa itu.

"Ini kerana Bank Negara Malaysia sendiri menyatakan maklumat yang diberikan adalah bertaraf risikan. PAC bukan badan perisikan dan maklumat yang diterima mestilah sahih dan benar," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata: "Disebabkan maklumat yang diterima PAC adalah bertaraf risikan, PAC tidak boleh memasukkan maklumat itu kerana ia bercanggah dengan tugas dan tanggungjawab dan boleh menimbulkan prejudis terhadap pelbagai pihak".

"Selain itu, Bank Negara Malaysia sendiri sudah menyatakan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah selesai dan syarikat berkenaan sudah dikenakan kompaun secara pentadbiran.

"PAC juga telah membentangkan laporan ke Parlimen, oleh itu perkara ini telah selesai dan tidak perlu dipolitikkan," katanya.
Read more ...

TUN MAHATHIR TERUS TENTANG NAJIB



KUALA LUMPUR 28 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan kedudukan anaknya, Mukhriz, di dalam Umno memang boleh diselamatkan sekiranya dia memilih cara berdiam diri bersabit isu 1MDB.

Namun beliau tidak mengambil pendekatan tersebut tetapi bertindak sebaliknya, menentang gerakan apa yang disebutkan sebagai percubaan menggagalkan negara yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak.

Ikuti penjelasan Tun Mahathir berhubung kedudukan anaknya Mukhriz melalui blog beliau ‘Chedet’ yang disiarkan kelmarin......

1. Konco-konco Najib gemar menyatakan bahawa saya mahu menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri kerana dia tidak mempromosikan anak saya, Mukhriz, untuk menjadi Perdana Menteri. Wartawan, dalam dan luar negara, juga bertanya soalan yang sama.

2. Saya tahu walau apa pun penjelasan yang saya buat tidak akan menghentikan orang-orang Najib daripada mengulangi dakwaan ini untuk mengalihkan perhatian daripada salah laku Najib.

3. Jika saya mahu, sudah pasti saya boleh semasa saya menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO mempromosikan Mukhriz sebagai pemimpin UMNO. Tetapi saya tidak pun sesekali membenarkan anak-anak saya untuk bertanding untuk jawatan dalam UMNO atau untuk menjadi calon dalam pilihan raya.

4. Mukhriz juga tidak dapat menjadi ahli UMNO kerana bahagian Kubang Pasu yang saya mengekepalai enggan menerima beliau. Adalah hanya selepas Ibu Pejabat UMNO mengarahkan bahagian baharulah beliau diterima sebagai ahli, iaitu sebelum saja saya bersara.

5. Beliau bertanding untuk kerusi Parlimen pada 2008 dan menang. Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri.

6. Pada masa itu Kedah dikuasai oleh Kerajaan PAS kerana UMNO di bawah Mahadzir Khalid kehilangan negeri pada tahun 2008.

7. Dalam Pilihan Raya 2013 Mukhriz memilih untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri. Orang Kedah percaya bahawa jika beliau dilantik sebagai Menteri Besar, BN akan mengalahkan PAS dan menawan semula Kedah. Najib nampaknya bersetuju. BN mendapat semula Kedah dalam Pilihan Raya 2013. Mukhriz telah dilantik sebagai Menteri Besar.

8. Apabila skandal 1MDB meletup saya berhenti menyokong Najib. Mukhriz tidak menunjukkan sokongan penuh untuk Najib. Beliau kritis terhadap penjelasan Najib mengenai RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib.

9. Kerana gagal mendapatkan Mukhriz untuk memberi sokongan padu Najib mengatur penyingkiran beliau sebagai Menteri Besar Kedah.

10. Saya sendiri boleh dengan mudah membantu Mukhriz dengan mengabaikan salah laku Najib dan terus menyokong beliau. Tetapi saya tidak berbuat demikian kerana saya tidak mementingkan masa depan Mukhriz. Saya lebih mementing menggagalkan Najib daripada memusnahkan negara ini.


11. Untuk mencapai matlamat ini rakyat Malaysia menandatangani deklarasi untuk penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri.
Read more ...

Friday, March 18, 2016

LOMBOK: KEMBARA YANG TERUS MENGGAMIT




MENGAMBIL pakej tawaran promosi yang disediakan oleh syarikat penerbangan tambang murah tempatan membolehkan anda dan keluarga bercuti ke pelbagai destinasi dalam negeri atau membuat lawatan ke negara-negara jiran dengan bajet sederhana.

Kami sekeluarga terbang ke Lombok awal minggu ini dengan tambang pergi dan pulang di bawah RM 150 seorang, kadar yang sangat rendah untuk destinasi yang memakan masa tiga jam 15 minit.

Merebut kesempatan dari promosi tambang murah enam bulan atau setahun sebelumnya, sediakan belanja secukupnya dan aturkan percutian di tempat kerja seawalnya,  pastinya memberi ruang pada anda dan keluarga untuk menikmati percutian yang sungguh bererti.

Berbanding destinasi agak jauh seperti Jepun, Korea, Taiwan, China, India dan Australia; atau destinasi berhampiran seperti Kemboja, Vietnam, Laos, Thailand dan Indonesia, saya memilih untuk berkunjung destinasi-destinasi menarik di Indonesia sahaja.

Di atas pelantar jetty Vila Ombak kami meninggalkan pulau Gili Trawangan lewat pagi kelmarin.
PUNCAK MALAKA



Dan Lombok demikian menarik perhatian kami berbanding destinasi Indon lainnya lantaran tarikan alam semulajadinya yang anggun, kota serta kehidupan masyarakat serba simple dan sederhana, serta warganya yang penuh ramah dan penyantun. Jiwa dan resmi Melayu lebih banyak terlihat pada masyarakat Lombok; dan inilahlah yang membuat sebahagian besar pelancong Malaysia tertarik dengan pulau ini.

Hampir jam 12 tenghari kami sekeluarga meninggalkan pulau Gili Trawangan, menaiki bot laju kembali ke pulau besar Lombok. Keindahan Gili Trawangan bersama Gili Meno dan Gili Air menggamit perasaan kami.

Dalam perjalanan menuju ke kota Mataram, ibu kota Lombok, kami singgah di puncak Malaka, kawasan indah pinggiran gunung di jalanraya Senggigi. Wow jika di Nanggroe Aceh punya dua tempat yang memakai nama Melaka, kini Lombok juga mengambil nama keramat yang sama.

Puncak Malaka di Jalanraya Senggigi, Kabupaten Lombok dalam kawasan Ranjini Geopark
PASAR RUEK



Saya tidak sempat bertanya panjang berhubung sejarah mengapa nama ‘Malaka’ bertempat di pulau ini, namun pastinya Melaka punya tarikan kuat sehingga Lombok menggunakan namanya. Jika kembali ke Lombok suatu hari nanti akan kita bongkar sejarah sebenarnya, insya-Allah.

Meneruskan perjalanan menanti penerbangan pulang jam 6 petang nanti, kami singgah sebentar di Pasar Ruek. Pasar yang penuh dengan pedagang, peniaga lokal ini menjadi jantung penting yang menggerakkan nadi ekonomi dan sosial masyarakat seluruh Lombok.

Di sini para petani kecil dan besar memasarkan hasil pertanian atau ternakan mereka. Di pasar ini pengunjung luar akan berpeluang melihat sendiri masyarakat Lombok sebenarnya.

Wanita menjadi tenaga utama menggerakan usaha perniagaan kecil di pasar Ruek, kota Mataram, Lombok.

Suasana di pasar Ruek, Mataram, Lombok.

Pasar Ruek, Mataram, Lombok di waktu tengahari.
PONDOK BERATAP ALANG-ALANG


Perut sudah mula terasa lapar. Kami singgah untuk menjamu selera di Nadi Alam Nyaman, sebuah rumah makan yang menyediakan masakan masyarakat Taliwang dari suku kaum Lombok.

Suasana di rumah makan ini menarik sekali. Meski sempit dengan ruang terbatas, namun ia menempatkan dua buah pondok bambu dengan bumbung agak tirus menampakkan karekter Lombok. Terasa dingin di bawah pondok ini yang menggunakan daun lalang tebal (alang-alang) sebagai atapnya.

Terdapat taman kecil serta kolam ikan di bahagian dalam rumah makan ini. 
Sekelilingnya dipenuhi dengan tumuhan hias yang menarik.

Teruja sekali kami menghadapi hidangan makanan dan sama-sama duduk bersila di pondok bambu beratapkan alang-alang. Alangkah meriahnya apabila satu keluarga yang ramai dapat makan ‘beramin’ sepertikan berpiknik dalam suasana begini.

Pondok dengan atap daun alang-alang sebagai ciri identiti Lombok tradisional.

Pondok-pondok beratapkan daun alang-alang menanti untuk dikunjungi pelanggan.



 


Kami menjamu selera dengan lima ekor ayam bakar. Meski saiz ayamnya kecil, namun cukup untuk kami sekeluarga 14 orang. Tempeh dan tauhu serta sayur campur dan pecal pedas Lombok cukup menyelerakan. Harganya juga berpatutan sekitar Rp 500 ribu.

Makan beramin bersama keluarga di pondok dan tamannya yang nyaman.


BENGKEL KERAJINAN

Jika berkunjung ke Lombok anda harus mengambil kesempatan mengunjungi bengkel kerajinan tangan pengusaha tempatan. Kami singgah di bengkel perabut antik Lombok Typical di Cakranegara petang ini.

Bengkel yang sudah berusia lebih 20 tahun ini mengeluarkan produk perabut antik yang disulam indah dengan kulit-kulit siput dan cangkerang laut. Hasil kerja mereka demikian halus dengan bunga-bunga dan lakaran menarik. Kesemua hasil keluaran bengkel ini adalah untuk tujuan ekspot.

Tidak jauh dari bengkel ini kami singgah pula melawat bengkel kerajinan tanah liat yang agak besar. Pelbagai produk pasu serta lain-lain ukiran diperbuat dari tanah liat dikeluarkan oleh bengkel ini, juga untuk tujuan ekspot.
Cucu-cucu saya yang memang meminati kerja seni kraftangan demikian teruja apabila mereka diberi peluang membuat vase kecil sambil dibantu oleh pekerja wanita tempatan yang memang mahir merekacipta hasil kerja tanah liat.

Perabut antik yang dihias dengan bunga-bunga dan ukiran bersulamkan kulit cangkerang dan siput keluaran Lombok Typical Furniture & Antiques di bengkel syarikat ini di Cakranegara, Lombok.

Bahaan kerajinan tanah liat dari sebuah bengkel kerajinan di Cakranegara, Lombok.

Nawra membuat lakaran dalam percubaan membuat sebiji vase kecil dari tanah liat.




Pasu-pasu yang dihasilkan dari bengkel di Cakranegara ini dicipta dalam pelbagai bentuk. Di samping pasu biasa, ada pula pasu yang disalut dengan jalinan jejaring rotan untuk mengindahkan pasu ini. 

Lombok begitu bangga kerana mampu menggembeling setiap tenaga dan kemahiran warga mereka untuk menghasilkan barangan yang secara langsung melonjakkan nilai ekonomi dan pengeluaran penduduk pulau ini.





Nuha berpeluang membuat ukiran tanah liat sendiri sambil dibantu oleh seorang pekerja mahir bengkel ini.

Nawra bersama Nyra yang demikian gembira dapat menghasilkan vase kecil diperbuat dari tanah liat.

Najeeha mencuba kemampuan melakarkan sesuatu pada pasu kecil tanah lkiat sambil diperhatikan ibunya,


Masa untuk pulang sudah tiba. Dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, kami singgah sebentar melihat durian dan rambutan yang dijual peniaga tempatan di pinggir jalan. Jika ikut standard Kuala Lumpur, maka durian yang mereka jaja ini ternyata mahal harganya berbanding dengan mutu isinya.

Apapun, untuk elakkan kempunan, kami dah rasakan durian dan rambutan Lombok. Bulan depan, insya-Allah, boleh kita rasakan nikmat durian Malaysia apabila musim durian tiba nanti.


Memilih durian sambil untuk menguji sejauh mana kehebatan durian keluaran Lombok.

Pak Ngah Zaki di Lombok International Airport sebelum check-in untuk berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
Akan kita telusuri Lombok dengan beberapa catatan kembara lain yang menarik.

Read more ...
Designed By