MENGAMBIL pakej tawaran promosi yang disediakan oleh
syarikat penerbangan tambang murah tempatan membolehkan anda dan keluarga
bercuti ke pelbagai destinasi dalam negeri atau membuat lawatan ke
negara-negara jiran dengan bajet sederhana.
Kami sekeluarga terbang ke Lombok awal minggu ini dengan
tambang pergi dan pulang di bawah RM 150 seorang, kadar yang sangat rendah
untuk destinasi yang memakan masa tiga jam 15 minit.
Merebut kesempatan dari promosi tambang murah enam
bulan atau setahun sebelumnya, sediakan belanja secukupnya dan aturkan
percutian di tempat kerja seawalnya,
pastinya memberi ruang pada anda dan keluarga untuk menikmati percutian
yang sungguh bererti.
Berbanding destinasi agak jauh seperti Jepun, Korea,
Taiwan, China, India dan Australia; atau destinasi berhampiran seperti Kemboja,
Vietnam, Laos, Thailand dan Indonesia, saya memilih untuk berkunjung
destinasi-destinasi menarik di Indonesia sahaja.
Di atas pelantar jetty Vila Ombak kami meninggalkan pulau Gili Trawangan lewat pagi kelmarin. |
Dan Lombok demikian menarik perhatian kami berbanding
destinasi Indon lainnya lantaran tarikan alam semulajadinya yang anggun, kota
serta kehidupan masyarakat serba simple dan sederhana, serta warganya yang
penuh ramah dan penyantun. Jiwa dan resmi Melayu lebih banyak terlihat pada
masyarakat Lombok; dan inilahlah yang membuat sebahagian besar pelancong
Malaysia tertarik dengan pulau ini.
Hampir jam 12 tenghari kami sekeluarga meninggalkan pulau
Gili Trawangan, menaiki bot laju kembali ke pulau besar Lombok. Keindahan Gili
Trawangan bersama Gili Meno dan Gili Air menggamit perasaan kami.
Dalam perjalanan menuju ke kota Mataram, ibu kota
Lombok, kami singgah di puncak Malaka, kawasan indah pinggiran gunung di
jalanraya Senggigi. Wow jika di Nanggroe Aceh punya dua tempat yang memakai
nama Melaka, kini Lombok juga mengambil nama keramat yang sama.
Puncak Malaka di Jalanraya Senggigi, Kabupaten Lombok dalam kawasan Ranjini Geopark |
Saya tidak sempat bertanya panjang berhubung sejarah
mengapa nama ‘Malaka’ bertempat di pulau ini, namun pastinya Melaka punya
tarikan kuat sehingga Lombok menggunakan namanya. Jika kembali ke Lombok suatu
hari nanti akan kita bongkar sejarah sebenarnya, insya-Allah.
Meneruskan perjalanan menanti penerbangan pulang jam 6
petang nanti, kami singgah sebentar di Pasar Ruek. Pasar yang penuh dengan
pedagang, peniaga lokal ini menjadi jantung penting yang menggerakkan nadi
ekonomi dan sosial masyarakat seluruh Lombok.
Di sini para petani kecil dan besar memasarkan hasil
pertanian atau ternakan mereka. Di pasar ini pengunjung luar akan berpeluang
melihat sendiri masyarakat Lombok sebenarnya.
Wanita menjadi tenaga utama menggerakan usaha perniagaan kecil di pasar Ruek, kota Mataram, Lombok. |
Suasana di pasar Ruek, Mataram, Lombok. |
Pasar Ruek, Mataram, Lombok di waktu tengahari. |
Perut sudah mula terasa lapar. Kami singgah untuk
menjamu selera di Nadi Alam Nyaman, sebuah rumah makan yang menyediakan masakan
masyarakat Taliwang dari suku kaum Lombok.
Suasana di rumah makan ini menarik sekali. Meski
sempit dengan ruang terbatas, namun ia menempatkan dua buah pondok bambu dengan
bumbung agak tirus menampakkan karekter Lombok. Terasa dingin di bawah pondok
ini yang menggunakan daun lalang tebal (alang-alang) sebagai atapnya.
Terdapat taman kecil serta kolam ikan di bahagian
dalam rumah makan ini.
Sekelilingnya dipenuhi dengan tumuhan hias yang menarik.
Teruja sekali kami menghadapi hidangan makanan dan
sama-sama duduk bersila di pondok bambu beratapkan alang-alang. Alangkah meriahnya
apabila satu keluarga yang ramai dapat makan ‘beramin’ sepertikan berpiknik dalam
suasana begini.
Pondok dengan atap daun alang-alang sebagai ciri identiti Lombok tradisional. |
Pondok-pondok beratapkan daun alang-alang menanti untuk dikunjungi pelanggan. |
Kami menjamu selera dengan lima ekor ayam bakar. Meski
saiz ayamnya kecil, namun cukup untuk kami sekeluarga 14 orang. Tempeh dan
tauhu serta sayur campur dan pecal pedas Lombok cukup menyelerakan. Harganya
juga berpatutan sekitar Rp 500 ribu.
Makan beramin bersama keluarga di pondok dan tamannya yang nyaman. |
BENGKEL KERAJINAN
Jika berkunjung ke Lombok anda harus mengambil
kesempatan mengunjungi bengkel kerajinan tangan pengusaha tempatan. Kami
singgah di bengkel perabut antik Lombok Typical di Cakranegara petang ini.
Bengkel yang sudah berusia lebih 20 tahun ini
mengeluarkan produk perabut antik yang disulam indah dengan kulit-kulit siput
dan cangkerang laut. Hasil kerja mereka demikian halus dengan bunga-bunga dan
lakaran menarik. Kesemua hasil keluaran bengkel ini adalah untuk tujuan ekspot.
Tidak jauh dari bengkel ini kami singgah pula melawat
bengkel kerajinan tanah liat yang agak besar. Pelbagai produk pasu serta
lain-lain ukiran diperbuat dari tanah liat dikeluarkan oleh bengkel ini, juga
untuk tujuan ekspot.
Cucu-cucu saya yang memang meminati kerja seni
kraftangan demikian teruja apabila mereka diberi peluang membuat vase kecil sambil
dibantu oleh pekerja wanita tempatan yang memang mahir merekacipta hasil kerja
tanah liat.
Perabut antik yang dihias dengan bunga-bunga dan ukiran bersulamkan kulit cangkerang dan siput keluaran Lombok Typical Furniture & Antiques di bengkel syarikat ini di Cakranegara, Lombok. |
Bahaan kerajinan tanah liat dari sebuah bengkel kerajinan di Cakranegara, Lombok. |
Nawra membuat lakaran dalam percubaan membuat sebiji vase kecil dari tanah liat. |
Pasu-pasu yang dihasilkan dari bengkel di Cakranegara ini dicipta dalam pelbagai bentuk. Di samping pasu biasa, ada pula pasu yang disalut dengan jalinan jejaring rotan untuk mengindahkan pasu ini.
Lombok begitu bangga kerana mampu menggembeling setiap tenaga dan kemahiran warga mereka untuk menghasilkan barangan yang secara langsung melonjakkan nilai ekonomi dan pengeluaran penduduk pulau ini.
Nuha berpeluang membuat ukiran tanah liat sendiri sambil dibantu oleh seorang pekerja mahir bengkel ini. |
Nawra bersama Nyra yang demikian gembira dapat menghasilkan vase kecil diperbuat dari tanah liat. |
Najeeha mencuba kemampuan melakarkan sesuatu pada pasu kecil tanah lkiat sambil diperhatikan ibunya, |
Masa untuk pulang sudah tiba. Dalam perjalanan ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, kami singgah sebentar melihat durian dan
rambutan yang dijual peniaga tempatan di pinggir jalan. Jika ikut standard
Kuala Lumpur, maka durian yang mereka jaja ini ternyata mahal harganya
berbanding dengan mutu isinya.
Apapun, untuk elakkan kempunan, kami dah rasakan
durian dan rambutan Lombok. Bulan depan, insya-Allah, boleh kita rasakan nikmat
durian Malaysia apabila musim durian tiba nanti.
Memilih durian sambil untuk menguji sejauh mana kehebatan durian keluaran Lombok. |
Pak Ngah Zaki di Lombok International Airport sebelum check-in untuk berangkat pulang ke Kuala Lumpur. |
No comments:
Post a Comment