Siang tadi pesisiran Gili Air, yang terkecil di antara
tiga pulau di barat laut Lombok, kami terokai. Alam lautnya amat luar biasa.
Sungguh indah, demikian menawan.
Sarapan kami di restoran Vila Ombak memang
menyelerakan. Banyak bahan dan juadah disediakan. Makanlah apa sahaja yang anda
idamkan di sini kerana pihak hotel menyediakan sarapan percuma untuk semua
tamu.
Suasana pagi yang nyaman dengan deru angin dan ombak
kecil memukul pantai di hadapan kami, demikian menyenangkan. Meski tamu agak
ramai, namun tamu tak perlu berebut-rebut untuk mengambil makanan kerana
hidangan disediakan lebih dari mencukupi.
Dari jetty terapung di hadapan Vila Ombak, tiga anak
muda Lombok yang mengendalikan kembara laut kami hari ini membawa kami
menyusuri perairan Gili Meno, sebuah pulau kecil 15 minit dari Gili Trawangan,
yang juga menjadi tumpuan pelancongan di Lombok.
Di pesisiran penuh tumbuhan karang ini kami berhenti
sebentar – snorkling untuk menyaksikan ikan-ikan berwarna warni di sini.
Kumpulan ikan-ikan kecil yang bermain di sini tidak begitu banyak. Kurang
menarik. Dan kami berangkat pula menuju ke Gili Air, juga pulau kecil terletak
berhampiran dengan Pulau Lombok sendiri.
Gili Air nyata sangat segar. Hidup dengan serba serbi aktibiti
dan kembara pelancongan – dari urusan memancing, menyelam, snorkling sehingga kepada penyewaan bot layar.
Pelancong kulit puteh (Bulek- ikut istilah Insonesia) dengan pakaian secompang secomping bersantai di pinggiran pantai pulau Gili Air, sebuah pulau kecil yang menjadi igauan pelancong luar. |
DENYUT NADI GILI AIR
Berpuluh restoran didirikan di sepanjang pantai dengan
kemudahan untuk pengunjung bersantai untuk memanaskan tubuh, atau pondok-pondok
kecil untuk berteduh.
Di bahagian belakang deretan restoran pinggir pantai
ini, terdapat lorong sepanjang 200 meter yang dipenuhi dengan gerai dan kedai-kedai
kecil yang menjual berbagai bahan cenderamata serta lain-lainnya untuk tarikan
pelancong. Dan kesemua perusahaan di sini dikendalikan sendiri oleh warga
Lombok. Hotel dan chelet kecil juga tersedia di Gili Air.
Berbelas buah bot membawa 20 hingga 30 penumpang tiap
satu, menghantar kumpulan-kumpulan pelancong ke Gili Air menjelang tengtahari.
Hampir kesemua pelancong yang datang ini adalah warga Australia atau dari
Eropah.
Selepas menghirup sacangkir kopi, saya berjalan
menyusur pantai berhadapan restoran pulau yang sangat menarik ini untuk
merlihat sendiri denyut nadi yang menggerakan pulau kecil ini.
Dari arah belakang dan di bawah rimbunan redup restoran pinggir pantai Gili Air, Lombok. |
HAMPIR TELANJANG
Beratus pelancong kulit putih bersenang-senang dalam
percutian mereka di dunia tropika, menikmati alam Gili Air dengan pantai
berpasir putih dan halus sambil dilayan oleh pengusaha-pengusaha tempatan
dengan penuh mesra.
Ramai yang berbaring di bawah pondok teduh sambil
membaca buku. Ada yang bersantai di restoran redup sambil minum dan makan. Ada
yang berjalan melihat desa di tengah pulau. Dan ramai pula yang bersantai di
tepi pantai untuk menjemur tubuh atau berehat.
Kesemua pelancong wanita kulit putih yang datang ke
Gili Air adalah dengan tubuh hampir telanjang. Tiap satu dari mereka cuma mengenakan
kutang kecil bahagian atas dan sacarik kain di bahagian bawah. Yang montel
gendut hampir terburai. Yang kurus nipis makin mengempis.
“Gili Air dan Gili Trawangan nampaknya lebih hebat
dari Phuket atau Krabi,” bisik saya sendiri melihat.
Alam laut penuh dengan kehidupan menarik di perairan Gili Air. Kami terpegun melihat semua keindahan ini. |
BERUBAH MENJADI BALI
Di sini kaum pelancong bebas untuk berpakaian, kecuali
telanjang. Mereka juga bebas untuk menghirup apa juga jenis minum kerana Gili
Air dan Trawangan bebas dari sekatan minuman keras.
Kata Ham, pengendali chidomo (kereta kuda) yang membawa
saya ke pantai Ombak Sunset di barat Gili Trawangan petang tadi: “Pulau kami
kok memang sudah berbubah menjadi seperti Pulau Bali, Pak. Mana yang dulunya haram
sekarang sudah jadi halal di sini.”
Puas bersantai dan makan, kami kembali meneruskan
kembara meneroka alam laut Gili Air. Bot kami berhenti di pesisiran 100 meter
dari pantai Gili Air.
Ikan berwarna warni bermain dan hidup bebas di perairan berbatu karang. Foto perairan Gili Air. |
PENAT TAK TERASA
Wow....... tersintak kami melihat ribuan ikan pelbagai
rupa dan pancawarna bermain di batu karang yang memang boleh dilihat dari
lantai kaca bot.
Memang luar biasa keindahan alam laut pesisiran Gili
Air. Di pantai yang terlindung dari pukulan angin jam 2 petang ini, cucu-cucu
yang kecil dan besar puas berenang mengejar kawanan ikan yang bermain
sekeliling bot kami.
Namun, saya tidak kurang terperanjat pula ketika asyik
mengambil foto dan video panorama yang menakjubkan ini, tiba-tiba pula muncul
di hadapan kami tubuh-tubuh perempuan kulit putih dengan kutang secompang
secomping, seperti yang dilihat di pantai tengahari tadi, tiba-tiba muncul menyelam
dan berenang di hadapan kami.
Ikan bona (angel fish) berenang bersama kawanan ikan warwarni yang lain. |
Sejam kami berenang bersama ribuan ikan pancawarna dan
pelbagai rupa diteluk berair tenang dan jernih berkaca. Penat tidak terasa.
Demikian indah, menawan dan hebatnya alam laut Gilis Air, yang segalanya
menjadi milik Allah Maha Pencipta ini.
No comments:
Post a Comment