Breaking News

Friday, June 3, 2016

GARA-GARA PRESIDEN JOKOWI DI BANDARA ACEH


BANDA ACEH 2 Jun – Mungkin pagi dan hari ini sebagai saat-saat agak bertuah bagi saya. Ada tiga hal sangat menarik yang saya lalui sejak subuh tadi ketika berlepas dari KLIA2 dalam perjalanan ke Banda Aceh. Dan saya tersintak dengan kejutan Presiden Joko Widodo pagi ini.
Semalam, Rabu 1 Jun,  genap tujuh tahun saya berperantauan di Tanah Serambi Mekah Aceh dalam misi memberi khidmat selaku seorang sukarelawan kepada anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim Melaka – Tsunami Aceh (RAYMTA).
Bangunan tiga tingkat asrama RAYMTA di Jalan Muhajirin, Desa Punie dekat Banda Aceh, didirikan Kerajaan Negeri Melaka pada penghujung 2005 setahun selepas tragedi tsunami 26 Disember 2004.
Pembiayaan penuh pengurusan serta bantuan pelajar-pelajar di sini ditanggung oleh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pimpinan Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam sejak 1 Jun 2009 sehingga ke saat ini.
Dan sejak tarikh itu saya bertandang ke bumi Aceh, berulang alik dari Kuala Lumpur ke Banda Aceh setiap bulan, bermula dari penerbangan AirAsia ke sini cuma empat kali seminggu dengan dua-per-tiga kerusi penumpang lazimnya kosong, sehinggalah laluan ini bertambah kepada 11 kali seminggu sejak dua tahun lepas. Demikian sabarnya AirAsia bahawa laluan Kuala Lumpur – Banda Aceh yang diperkenalkannya menjadi ‘route’ popular kini dengan kadar penumpang demikian menggalakan.

Cewek manis pramugari AirAsia 

Teh Tarik

Memang sudah menjadi rutin saya memilih penerbangan awal pagi setiap kali ketika mau berangkat ke Aceh. Selesai check-in terus menuju ke surau di lantai satu KLIA2 untuk solat subuh; kebiasaannya berjemaah bersama kumpulan penumpang yang lain.
Kemudiannya menuju pulak ke Quizinne food court di lantai dua untuk menikmati teh tarik RM3.50, pakej minuman paling murah yang boleh anda dapatkan di kompleks lapangan terbang premier ini. Bersama teh tarik super ini pelanggan dihadiahkan sama sekeping karipap...... FOC.
Saya terus menuju ke sebuah mesin tiket elektronik ketika sampai di lapangan terbang jam 5.45 subuh tadi untuk urusan check-in sendiri. Mahukan proses check-in segera, nak elakkan dari beratur panjang dengan penumpang yang berpusu-pusu di kaunter tiket.

Cewek Manis

Hmmmm...... terperanjat jugak kerana setelah semua data dimasukkan, tiba-tiba muncul satu makluman di layar monitor mengarahkan saya membuat urusan check-in di kaunter tiket. “Apa hal?”
Terpaksa beratur ikut giliran selama sepuluh minit. Urusan check-in di kaunter dikendalikan cewek Malaysia yang nampak manis. Sejurus kemudian saya dihulurkan boarding pass penerbangan AK421.
Memang terperanjat. Cewek manis ini menghantar saya untuk duduk di bahagian ‘Hot Seat’ yang lazimnya diberikan kepada penumpang dengan tiket harga tinggi atau penumpang yang membuat tempahan kerusi utama dengan bayaran tambahan RM 40 untuk satu perjalanan.
Mungkin pemberian hotseat pagi ini cuma  sebagai satu kebetulan disebabkan semua kerusi dipenuhi penumpang. Tapi, tak jugak gamaknya kerana masih tertinggal lebih dari 30 kosong dari 198 kerusi yang tersedia.
Penerbangan pergi-pulang saya KUL-BTJ-KUL bulan lepas juga saya menikmati layanan istimewa ini. Duduk di barisan paling depan meskipun saya tidak menempah kerusi istimewa.

Insentif Pelanggan

Memang tuah badan gamaknya. Atau syarikat penerbangan tambang rendah ini menghargai penumpang tidak punya banyak pilihan seperti saya yang sudah lebih 160 kali menggunakan khidmatnya untuk laluan ini, setiap bulan sejak tujuh tahun lepas?
Atau ini sebagai salah satu daripada strategi jangka panjang AirAsia menyediakan insentif meski untuk pelanggan-pelanggan kecil. Pintarnya bos penerbangan ini, Tony Fernandes, dan tim pengendali syarikatnya bersabar dengan permulaan yang lembab serta memikat pelanggan yang besar atau perseorangan.
Kerusi saya di barisan lima sudah dipenuhi satu keluarga dari Kuantan, Pahang, yang berkunjung ke Banda Aceh pagi ini. Pramugari berskirt merah, sendat dan ketat, menghantar saya duduk di kerusi barisan paling depan.
Jet Airbus 737 yang membawa kami ke Aceh pagi ini nampak penuh rapi berseri. Aroma dalamannya serta kerusi dan semua peralatannya nampak baru dan segar. Ia pasti baru diterima oleh AirAsia seminggu dua lalu. Wow...... barangkali inilah kali pertama saya dapat menikmati penerbangan dengan sebuah jet paling baru.

Makan Angin

Jet kami meluncur laju membelah awan yang berlapis-lapis merentasi udara Selat Melaka menuju ke arah Medan, kemudiannya membelok ke Banda Aceh.
Suara juruterbang Kapten Adam Rabbani memberitahu bahawa pesawat yang membawa kami pagi ini terbang pada ketinggian 32 ribu kaki dari paras laut dengan kelajuan 890 kilometer sejam. Kami dijangka mendarat 20 minit lebih awal dari kebiasaannya selama sejam setengah.
Hujung tanjung di Krueng Raya di bahagian hujung pulau Sumatra sudah kami lintasi. Tetapi pesawat tidak menuju ke Bandara Iskandar Muda, lapangan terbang utama Aceh di Blang Bintang. Wow..... mungkin kami dibawa makan angin dulu dengan jet baru ini.
Sesaat kemudian Kapten Adam memaklumkan bahawa pendaratan penerbangan AK421 kami terpaksa dilambatkan selama 15 minit disebabkan urusan VVIP yang tidak dapat dielakkan di bandara Iskandar Muda.
Pak Jokowi bermalam di Banda Aceh tadi malam.
Kerana Jokowi

Di sebuah lapangan kerdil seperti Bandara Iskandar Muda apa jua kemungkinan dan kejutan boleh berlaku. Pesawat-Pesawat komersial tidak dibenarkan mendarat samada kerana hujan lebat dan angin kencang. Atau mesti berlegar dulu untuk memberi laluan kepada pesawat VVIP. Di sini siapa anda dan setinggi mana kuasa yang anda miliki menjadi penentu. Tokoh terpenting dalam kategori ini boleh menarik pihak berkuasa sebuah lapangan terbang mengarah anda terus berlegar di udara atau pulang saja.
Tidak ada pesawat lain kelihatan di hanger Iskandar Muda apabila Airbus 737 kami mendarat setelah berlegar di udara 20 minit. Suasana sekitar nampak sepi saja.

Apabila berada di dalam mobil Subaru 40 tahun, teksi tempatan yang membawa saya keluar dari lapangan terbang di daerah Blang Bintang ini, barulah saya tahu bahawa pesawat kami diperintah berlegar dulu lantaran jet VVIP dari Jakarta, Jokowi, yang juga selaku bapak Presiden Indonesia, berada di bandara Iskandar Muda pagi ini dalam perjalanan ke Lhokseumawe.


No comments:

Designed By