Breaking News

Wednesday, May 15, 2013

NAJIB KETEPIKAN MCA DARI KABINET



Pinggirkan MCA dari Kabinet
NAJIB TIDAK HATI-HATI
 Apakah rahsia dan strategi yang dipegang oleh Najib di dalam tindakannya meminggirkan mana-mana wakil MCA untuk duduk di dalam kabinet baru Kerajaan Malaysia kini menjadi tandatanya umum.

Keputusan Najib membiarkan wakil-wakil MCA duduk di luar kabinet dalam ketika Barisan Nasional (BN) sekarang berada  pada kedudukan agak rapuh di Parlimen, dilihat sebagai satu tindakan paling nekad.

DATUK SERI NAJIB 
Pimpin BN menangi PRU13. Kini berhadapan 
dengan bantahan berpanjangan dari Anwar Ibrahiim

MCA ditolak oleh pengundi-pengundi keturunan Tionghua pada pilihanraya 5 Mei lepas. Cuma tujuh sahaja dari barisan 15 calon MCA memenagi kerusi Parlimen, dan kemenangan calon-calon parti itu pada keseluruhannya ekoran sokongan pengundi-pengundi Melayu dan Tamil.

Najib punya alasan kuat untuk tidak mengundang wakil MCA menyertai kabinet kali ini setelah pucuk pimpinan parti itu setahun yang lepas membuat keputusan akan menarik diri dari kabinet dan mana-mana agensi kerajaan sekiranya parti mereka gagal pada PRU13.

MCA gagal meraih sokongan pengundi-pengundi Tionghua ekoran kepimpinan parti yang lemah, tidak segagah sewaktu ia dipimpin barisan tokoh-tokoh terkemuka sedekad yang lepas.

DATUK SERI CHUA SOI LEK
Bawa MCA keluar dari kerajaan

Tokoh-tokoh lama MCA seperti Lee San Choon, Tan Koon Swan, Lee Kim Sai dan lain-lainnya serentak bangkit menggesa presiden MCA sekarang, Chua Soi Lek meletakkan jawatan secara terhormat kerana kegagalan parti pada pilihanraya baru-baru ini.

Mereka mahukan kepimpinan MCA dirombak, dibangun kembali di semua pringkat ke arah meraih kembali keyakinan masyarakat keturunan Cina yang kini dilihat lebih memihak kepada DAP.

Umum tidak melihat bahawa tindakan meminggirkan MCA dari kabinet sebagai satu langkah bijak - jawaban terhadap keputusan PRU13 yang melihat pengundi keturunan Cina rata-rata menolak BN.

Tindakan drastik Najib dalam pembentukan kabinet hari ini sekaligus memberi tamparan keras terhadap MCA, terhadap penyokong-penyokong yang masih setia dengan parti itu.
Tidaklah wajar bagi seorang ayah menghukum anaknya atas kegagalan anak itu mendapat markah terbaik di dalam peperiksaan. Dan tidaklah wajar bagi Najib, sebagai pengerusi BN, menolak MCA sedemikian rupa dalam suasana politik yang gawat sekarang, kerana ini akan menyebabkan parti itu terluka penuh kecewa.

Tindakan peminggiran ini dilihat sebagai langkah tidak berhati-hati  Najib di dalam berhadapan dengan kemelut MCA sekarang. Tidak mustahil tindakan ini boleh memberi kesan balas yang berat kepada BN, lantaran nanti BN akan terkapai-kapai mencari rakan baru lebih baik yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh MCA.

Perbincangan dengan fikiran terbuka dengan pucuk pimpinan MCA adalah jalan terbaik yang seharusnya diguna oleh BN di dalam membantu menyelamatkan MCA dari berkubur, seterusnya menghindari masyarakat keturunan Cina dari diresapi sikap dan fahaman radikal seperti fahaman radikal DAP.

No comments:

Designed By