Breaking News

Friday, June 21, 2013

TIOMAN DISERBU PELANCONG DUNIA

Masyarakat Mesra Pelancong

Para pelancong menunggu feri di Jeti Penumpang Mersing.
MEMANG ada rahsia besar yang mendorong Tioman terus menjadi buah mulut setiap pelancong dunia yang pernah bertandang ke pulau ini.

Meski setiap pengunjung terpaksa berbelanja agak besar datang ke sini, untuk makan dan minum, mengelilingi pulau dengan bot, memancing atau snorkling, namun apa yang dibelanjakan boleh dianggap setimpal dengan keindahan, keunikan yang disediakan oleh Tioman.

Negara jiran Indonesia memiliki pulau-pulau yang jauh lebih indah dan unik dari Tioman, atau destinasi-destinasi pelancongan lain di Malaysia. Namun, Tioman dan Malaysia lebih disenangi oleh dunia apabila memilih destinasi untuk berehat dan melancong.
Penulis, SHAHARON SALLEH, bersama dua kenalan baru, pelancong dari Italy yang begitu gembira sekali kerana dapat melancong ke Pulau Tioman.
Mengapa pelancong dunia lebih senang memilih Tioman, Langkawi atau Pulau Perhentian untuk melancong dalam ketika Sabang, sebuah pulau demikian menarik terletak di hujung utara perbatasan Indonesia, meskipun pemandangannya, perairannya dan hidupan lautnya jauh lebih indah, tersangat menawan?

Tioman memiliki hidupan laut yang demikian mempesonakan, jenis penginapan berbagai ragam dengan lokasi terpencil dan tersendiri guna memenuhi citarasa pengunjung semua peringkat – yang berada atau yang kurang berada.

Kemudahan perhubungan laut, darat dan udara dihadirkan demikian lengkap di Tioman. Ini memudahkan setiap pengunjung membuat pilihan untuk melakukan aktibiti setiap hari apabila berada di Pulau Tioman.
Snorkling, berenang bersama ikan-ikan pelbagai jenis dan berwarna-warni di perairan dengan air jernih berkaca, menjadi tarikan utama pelancong ke Pulau Tioman.

Dan suatu hal penting yang menarik pelancong untuk terus bertandang ke Tioman ialah kerana hampir setiap penduduk, pemastautin, pekerja dan jentera pelancongan di pulau ini amat mesra dengan pelancong.

Hampir setiap penduduk asal Tioman yang berkhidmat di sektor pelancongan di sini, juga tenaga-tenaga dari luar, dilihat senang sekali melayani pelancong untuk pelbagai hal dan masalah.

Pelancong tempatan gembira kerana untuk seketika mendapat peluang mengemudi sebuah bot laju.


Jika 30 atau 40 tahun sebelum ini masyarakat Tioman agak kekok bertemu dan berkomunikasi dengan pelancong luar, kini tidak lagi.

Segalanya berubah. Penduduk asal Tioman kini sudah terlalu biasa berbicara dengan pengunjung dari Eropah, Jepun, China atau Korea. Mereka kini lancar menggunakan bahasa Inggeris atau satu dua bahasa lain bila berdepan dengan pelancong antarabangsa.

Tioman hari ini bukan lagi sebuah pulau yang cuma dipenuhi kaum nelayan. Kehidupan penduduk kaum nelayan di sini sekarang cuma tinggal dalam kenangan sahaja. Ia sudah lama dikuburkan.
Pandangan yang demikian mempesonakan di Marina Tioman.
Hampir seluruhnya masyarakat pulau ini kini sudah mengubah penghidupan mereka kepada sektor pelancongan. Setiap keluarga di Tioman hari ini menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pelancong lantaran rezeki yang melimpah ruah mudah mereka raih
melalui hasil pelancongan.

Pantai di Pulau Tulai, tidak jauh dari Tioman, menjadi tarikan utama pelancong untuk kegiatan snorkling - menyaksikan keindahan alam laut di sini yang demkkian menawan.

Meski jerebu tebal menyelimuti Tioman dan pulau-pulau lain sekitarnya sejak tiga hari lalu, namun aktibiti pelancongan di sini tetap hidup, bergerak, membolehkan penduduk Tioman melayan pengunjung dunia yang tidak pernah jemu bertandang ke sini sepanjang tahun.

No comments:

Designed By