Kerasnya Penggerun Harimau
KETIKA mula check-in di rumah
penginapan sebaik tiba di Tioman Ahad lepas, kami kehairanan melihat kehadiran boneka
seekor harimau berukuran 1.2 meter panjang terpangguk di bibir sebuah jendela kafetaria
hotel yang kami tumpangi.
Saya bertanya sendiri: mengapa
boneka seekor harimau terbuat dari kain yang disumbat dengan styrofoam ringan
harus dipamerkan oleh pihak hotel dalam ketika ‘Hulubalang Rimba’ itu sendiri tidak
pernah hidup atau ditemui di pulau kecil ini sejak ia dihuni seribu tahun yang
lampau.
Dan lebih menghairankan lagi apabila
kami melihat bonek-boneka harimau yang sama turut diletakkan pada kereta-kereta
tolak yang digunakan petugas-petugas ‘house-keeping’ hotel ketika melakukan kerja
pembersihan dari kamar ke kamar.
Bukan di hotel tempat saya dan
keluarga menginap sahaja yang mengguna dan menghadirkan boneka-boneka harimau
palsu, malah semua rumah penginapan dan chalet di Pulau Tioman menghadirkan boneka
harimau masing-masing.
Kerana ia suatu hal yang sangat
luarbiasa, akhirnya saya membuka mulut bertanyakan kepada seorang petugas kanan
hotel yang kami tumpangi mengenai boneka harimau aneh ini.
Boneka harimau jenaka yang diletakkan di bibir tingkap Hotel Selesa khusus sebagai 'penggerun' gerombolan monyet dan kera yang sering menggeledah bilik-bilik tetamu di hotel berkenaan. |
“Jangan sangka patung ini patung
biasa,” ujar Syamsiah, anak jati Tioman yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun di
bidang perhotelan di pulau ini.
“Kita pindahkan patung pak belang
ini dari satu tempat ke tempat yang lain setiap pagi dan petang,” ujar Syamsiah
sambil menyambung:
“Bila lihat saja wajah harimau
kami, semua monyet di sini tidak berani mendekati hotel. Jadinya kami tidak
hadapi banyak masalah diganggu oleh monyet.”
Insiden kera dan monyet menggeledah
bilik-bilik tamu untuk mencari makan memang merupakan suatu yang lumrah
dihadapi para pengusaha hotel dan chalet di Tioman sejak lama dulu sehingga
sekarang.
Petugas-petugas pembersih bilik
kerap dikejutkan dengan kehadiran kawanan monyet ketika melakukan kerja
pembersihan dari bilik ke bilik.
Namun, apabila ternampak boneka
pak belang tertonggok di atas kereta tolak petugas-petugas ini, kawanan monyet
ini akan bertempiaran lari, takut dibaham harimau boneka.
Petang itu saya menggonggong boneka
harimau milik hotel – menuju ke arah gerombolan monyet-monyet yang sedang bersantai
di pohon-pohon rimba berhampiran hotel.
Sebaik menyedari kahadiran saya
bersama pak belang yang saya pikul itu, gerombolan monyet berkenaan terkejut
besar. Mereka bertempiaran lari dengan jeritan riuh-rendah. Memang lucu. Pelik, tapi benar. Pekerja-pekerja hotel tergelak melihat insiden lucu itu.
Meski kera dan monyet-monyet di
Tioman tidak pernah melihat harimau sepanjang hidup mereka, kerana sang belang ini
memang tidak pernah hidup dan membiak di pulau ini, namun kerasnya gerun ‘Raja
Rimba’ ini mungkin dapat dirasakan oleh binatang-binatang rimba di sini
sehingga kelibat harimau palsupun amat mereka geruni.
No comments:
Post a Comment