Breaking News

Sunday, June 23, 2013

TIOMAN: Jejak Seorang Pengusaha Tabah


PELANCONG ANTARABANGSA TERPIKAT DENGAN NAZRI'S PLACE

Karekter lelaki berusia 71 tahun ini demikian menarik sekali. Jika dibariskan bilangan seribu pengendali pelancong di Tioman sejak 20 tahun lampau sehingga ke hari ini, maka Nazri dikira sebagai manusia paling popular di kalangan pelancong yang pernah bertandang ke pulau ini.

Meski usianya sudah memanjat demikian senior, Nazri masih dilihat begitu bertenaga, amat ceria, penuh dengan karekter menarik yang amat disenangi oleh semua tetamu, khususnya pelancong-pelancong dari Eropah atau Jepun.
Nazri Abdul Karim (kanan) bersama seorang tamu dari Kuantan, Pahang, di Nazri's Place, Tioman.

Saya membuka mulut menyapa dua pemuda dari Italy sambil menunggu ketibaan feri di Jeti Penumpang Mersing, untuk memulakan percutian ke Pulau Tioman bersama keluarga minggu lepas.

“Molto Italiano!” teriak saya sambil disambut penuh gembira oleh kedua-dua jejaka Italy itu.

Kedua-duanya demikian gembira melihat wujudnya warga Malaysia yang boleh bertutur sepatah dua bahasa Italy menyedari pengaruh dan resam Italy terlalu asing di sebelah sini.

Namun kami dikejutkan ketika itu juga bila seorang lelaki tempatan, lelaki berkulit sawomatang, tiba-tiba mencelah di depan kami dan bercakap kepada kedua-dua tamu dari Roma itu dalam bahasa Italy.

Terkejut besar tamu Eropah itu menyaksikan kepetahan lelaki tempatan ini, yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Nazri, bercakap dalam bahasa Itlay yang sangat asing ini.

Nazri Abdul Karim memang sangat disenangi oleh pelancong-pelancong Eropah kerana kemesraannya melayan sesiapa juga di samping kemampuannya menguasai  bahasa Inggeris, Peranchis, Jerman, Belanda dan bahasa Sepanyol.

“Saya dah begitu biasa bergaul dengan orang-orang Eropah dari pelbagi bangsa yang datang ke Tioman sejak 40 tahun dulu,” ujar Nazri bila saya temui di pondok chaletnya di Air Batang, Tioman pagi Selasa lepas.

Di samping belajar bahas-bahas asing ini melalui buku, Nazri melengkapkan keupayaannya dengan bahas-bahasa popular ini melalui pergaulan dengan pelancong yang datang ke sini.

Nazri adalah warga Tioman pertama yang mengendalikan usaha pelancongan di Tioman dengan menamakan tapaknya sebagai Nazri’s Place.

Dari sebuah dua pondok penginapan murah yang didirikan di Air Batang sejak 30 tahun dulu, dia kini menyediakan 34 buah chalet, sebuah restoran  dan sebuah bangunan khas untuk kemudahan kursus dan latihan kakitangan agensi kerajaan atau swasta.

Nazri dengan karekter istimewanya melayani sepasang pelancong dari Belanda yang menginap di chaletnya di Nazri's Place, Air Batang, Pulau Tioman.
Pondok-pondok penginapannya didirikan bersebelahan gunung dengan pohon-pohon rimba memagari persekitaran belakangnya, manakala pantai pasir, ombak dan lautan lepas terbentang di depannya.

Lokasinya amat istimewa. Pelancong cuma boleh masuk ke Nazri’s Place dan Air Batang dengan bot sahaja. Atau mereka terpaksa berjalan memanjat bukit tinggi melalui jalan kecil di tengah-tengah rimba tebal sejauh  hampir satu kilometer.

Keistimewaan lokasi dan persekitarannya, ditambah dengan karekter Nazri yang amat bersahaja dan ceria melayan karenah sesiapa sahaja, kerap menarik pelancong yang pernah menginap di Nazri’s Place, kembali bertandang ke sini setiap tahun.

Cerita mengenai Nazri dan setiap keunikan yang disediakannya di Pulau Tioman sering disiarkan di majalah-majalah pelancongan antarabangsa, termasuk Peranchis, Jerman, Inggeris, Italy, negara-negara Scandanivia dan Jepun.

Program televisyen ‘Lonely Planet’ turut memberi penghargaan kepada Nazri, karekter istimewa dari Tioman ini, dalam paparan pelancongan yang disiarkan Discovery Channel ke seluruh dunia.

Bangunan khas yang menyediakan kemudahan kursus dan latihan di Nazri's Place, Tioman.
Nazri kini sedang menyiapkan 34 buah lagi pondok penginapan di bahagian hujung Air Batang. Bangunan sebuah restoran baru menghadap ke laut lepas kini juga sedang didirikannya di Air Batang untuk memenuhi keperluan kaum pelancong yang terus menerus membanjiri Pulau Tioman akhir-akhir ini.

Jika anda ingin bersantai dan melancong ke Pulau Tioman jangan lupa singgah di Nazri’s Place atau menghubungi Nazri melalui : info@nazrisplace.com.

DAN jangan lupa untuk melihat sendiri celoteh menarik Nazri dalam temuramah dengan Gendang Dipalu ketika karekter istimewa Tioman ini ditemui di chaletnya tempoh hari.


No comments:

Designed By