Breaking News

Sunday, June 23, 2013

TIOMAN: Jejak Seorang Pengusaha Tabah


PELANCONG ANTARABANGSA TERPIKAT DENGAN NAZRI'S PLACE

Karekter lelaki berusia 71 tahun ini demikian menarik sekali. Jika dibariskan bilangan seribu pengendali pelancong di Tioman sejak 20 tahun lampau sehingga ke hari ini, maka Nazri dikira sebagai manusia paling popular di kalangan pelancong yang pernah bertandang ke pulau ini.

Meski usianya sudah memanjat demikian senior, Nazri masih dilihat begitu bertenaga, amat ceria, penuh dengan karekter menarik yang amat disenangi oleh semua tetamu, khususnya pelancong-pelancong dari Eropah atau Jepun.
Nazri Abdul Karim (kanan) bersama seorang tamu dari Kuantan, Pahang, di Nazri's Place, Tioman.

Saya membuka mulut menyapa dua pemuda dari Italy sambil menunggu ketibaan feri di Jeti Penumpang Mersing, untuk memulakan percutian ke Pulau Tioman bersama keluarga minggu lepas.

“Molto Italiano!” teriak saya sambil disambut penuh gembira oleh kedua-dua jejaka Italy itu.

Kedua-duanya demikian gembira melihat wujudnya warga Malaysia yang boleh bertutur sepatah dua bahasa Italy menyedari pengaruh dan resam Italy terlalu asing di sebelah sini.

Namun kami dikejutkan ketika itu juga bila seorang lelaki tempatan, lelaki berkulit sawomatang, tiba-tiba mencelah di depan kami dan bercakap kepada kedua-dua tamu dari Roma itu dalam bahasa Italy.

Terkejut besar tamu Eropah itu menyaksikan kepetahan lelaki tempatan ini, yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Nazri, bercakap dalam bahasa Itlay yang sangat asing ini.

Nazri Abdul Karim memang sangat disenangi oleh pelancong-pelancong Eropah kerana kemesraannya melayan sesiapa juga di samping kemampuannya menguasai  bahasa Inggeris, Peranchis, Jerman, Belanda dan bahasa Sepanyol.

“Saya dah begitu biasa bergaul dengan orang-orang Eropah dari pelbagi bangsa yang datang ke Tioman sejak 40 tahun dulu,” ujar Nazri bila saya temui di pondok chaletnya di Air Batang, Tioman pagi Selasa lepas.

Di samping belajar bahas-bahas asing ini melalui buku, Nazri melengkapkan keupayaannya dengan bahas-bahasa popular ini melalui pergaulan dengan pelancong yang datang ke sini.

Nazri adalah warga Tioman pertama yang mengendalikan usaha pelancongan di Tioman dengan menamakan tapaknya sebagai Nazri’s Place.

Dari sebuah dua pondok penginapan murah yang didirikan di Air Batang sejak 30 tahun dulu, dia kini menyediakan 34 buah chalet, sebuah restoran  dan sebuah bangunan khas untuk kemudahan kursus dan latihan kakitangan agensi kerajaan atau swasta.

Nazri dengan karekter istimewanya melayani sepasang pelancong dari Belanda yang menginap di chaletnya di Nazri's Place, Air Batang, Pulau Tioman.
Pondok-pondok penginapannya didirikan bersebelahan gunung dengan pohon-pohon rimba memagari persekitaran belakangnya, manakala pantai pasir, ombak dan lautan lepas terbentang di depannya.

Lokasinya amat istimewa. Pelancong cuma boleh masuk ke Nazri’s Place dan Air Batang dengan bot sahaja. Atau mereka terpaksa berjalan memanjat bukit tinggi melalui jalan kecil di tengah-tengah rimba tebal sejauh  hampir satu kilometer.

Keistimewaan lokasi dan persekitarannya, ditambah dengan karekter Nazri yang amat bersahaja dan ceria melayan karenah sesiapa sahaja, kerap menarik pelancong yang pernah menginap di Nazri’s Place, kembali bertandang ke sini setiap tahun.

Cerita mengenai Nazri dan setiap keunikan yang disediakannya di Pulau Tioman sering disiarkan di majalah-majalah pelancongan antarabangsa, termasuk Peranchis, Jerman, Inggeris, Italy, negara-negara Scandanivia dan Jepun.

Program televisyen ‘Lonely Planet’ turut memberi penghargaan kepada Nazri, karekter istimewa dari Tioman ini, dalam paparan pelancongan yang disiarkan Discovery Channel ke seluruh dunia.

Bangunan khas yang menyediakan kemudahan kursus dan latihan di Nazri's Place, Tioman.
Nazri kini sedang menyiapkan 34 buah lagi pondok penginapan di bahagian hujung Air Batang. Bangunan sebuah restoran baru menghadap ke laut lepas kini juga sedang didirikannya di Air Batang untuk memenuhi keperluan kaum pelancong yang terus menerus membanjiri Pulau Tioman akhir-akhir ini.

Jika anda ingin bersantai dan melancong ke Pulau Tioman jangan lupa singgah di Nazri’s Place atau menghubungi Nazri melalui : info@nazrisplace.com.

DAN jangan lupa untuk melihat sendiri celoteh menarik Nazri dalam temuramah dengan Gendang Dipalu ketika karekter istimewa Tioman ini ditemui di chaletnya tempoh hari.


Read more ...

Saturday, June 22, 2013

TIOMAN: CERITA HARIMAU JENAKA


Kerasnya Penggerun Harimau

KETIKA mula check-in di rumah penginapan sebaik tiba di Tioman Ahad lepas, kami kehairanan melihat kehadiran boneka seekor harimau berukuran 1.2 meter panjang terpangguk di bibir sebuah jendela kafetaria hotel yang kami tumpangi.

Saya bertanya sendiri: mengapa boneka seekor harimau terbuat dari kain yang disumbat dengan styrofoam ringan harus dipamerkan oleh pihak hotel dalam ketika ‘Hulubalang Rimba’ itu sendiri tidak pernah hidup atau ditemui di pulau kecil ini sejak ia dihuni seribu tahun yang lampau.

Boneka seekor harimau garang bersantai di atas meja. Pak belang penuh jenaka ini sudah lebih sepuluh tahun digunakan oleh Nazri, pengusaha chalet tersohor dari Air Batang, Tioman, untuk  menghindarkan masalah gangguan kera dan monyetdi chaletnya.
Dan lebih menghairankan lagi apabila kami melihat bonek-boneka harimau yang sama turut diletakkan pada kereta-kereta tolak yang digunakan petugas-petugas ‘house-keeping’ hotel ketika melakukan kerja pembersihan dari kamar ke kamar.

Bukan di hotel tempat saya dan keluarga menginap sahaja yang mengguna dan menghadirkan boneka-boneka harimau palsu, malah semua rumah penginapan dan chalet di Pulau Tioman menghadirkan boneka harimau masing-masing.

Kerana ia suatu hal yang sangat luarbiasa, akhirnya saya membuka mulut bertanyakan kepada seorang petugas kanan hotel yang kami tumpangi mengenai boneka harimau aneh ini.

Boneka harimau jenaka yang diletakkan di bibir tingkap Hotel Selesa khusus sebagai 'penggerun' gerombolan monyet dan kera yang sering menggeledah bilik-bilik tetamu di hotel berkenaan.
Dan jawabannya memang lucu. Fungsi kehadiran sang harimau palsu ini khusus untuk menghalang gerombolan kera dan monyet yang memenuhi kawasan hutan Pulau Tioman dari memasuki bilik-bilik penginapan atau mengganggu tetamu mereka.

“Jangan sangka patung ini patung biasa,” ujar Syamsiah, anak jati Tioman yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun di bidang perhotelan di pulau ini.

“Kita pindahkan patung pak belang ini dari satu tempat ke tempat yang lain setiap pagi dan petang,” ujar Syamsiah sambil menyambung:

“Bila lihat saja wajah harimau kami, semua monyet di sini tidak berani mendekati hotel. Jadinya kami tidak hadapi banyak masalah diganggu oleh monyet.”

Insiden kera dan monyet menggeledah bilik-bilik tamu untuk mencari makan memang merupakan suatu yang lumrah dihadapi para pengusaha hotel dan chalet di Tioman sejak lama dulu sehingga sekarang.

Petugas-petugas pembersih bilik kerap dikejutkan dengan kehadiran kawanan monyet ketika melakukan kerja pembersihan dari bilik ke bilik.

Namun, apabila ternampak boneka pak belang tertonggok di atas kereta tolak petugas-petugas ini, kawanan monyet ini akan bertempiaran lari, takut dibaham harimau boneka.

Petang itu saya menggonggong boneka harimau milik hotel – menuju ke arah gerombolan monyet-monyet yang sedang bersantai di pohon-pohon rimba berhampiran hotel.

Sebaik menyedari kahadiran saya bersama pak belang yang saya pikul itu, gerombolan monyet berkenaan terkejut besar. Mereka bertempiaran lari dengan jeritan riuh-rendah. Memang lucu. Pelik, tapi benar. Pekerja-pekerja hotel tergelak melihat insiden lucu itu.

Meski kera dan monyet-monyet di Tioman tidak pernah melihat harimau sepanjang hidup mereka, kerana sang belang ini memang tidak pernah hidup dan membiak di pulau ini, namun kerasnya gerun ‘Raja Rimba’ ini mungkin dapat dirasakan oleh binatang-binatang rimba di sini sehingga kelibat harimau palsupun amat mereka geruni.

Read more ...

Friday, June 21, 2013

TIOMAN DISERBU PELANCONG DUNIA

Masyarakat Mesra Pelancong

Para pelancong menunggu feri di Jeti Penumpang Mersing.
MEMANG ada rahsia besar yang mendorong Tioman terus menjadi buah mulut setiap pelancong dunia yang pernah bertandang ke pulau ini.

Meski setiap pengunjung terpaksa berbelanja agak besar datang ke sini, untuk makan dan minum, mengelilingi pulau dengan bot, memancing atau snorkling, namun apa yang dibelanjakan boleh dianggap setimpal dengan keindahan, keunikan yang disediakan oleh Tioman.

Negara jiran Indonesia memiliki pulau-pulau yang jauh lebih indah dan unik dari Tioman, atau destinasi-destinasi pelancongan lain di Malaysia. Namun, Tioman dan Malaysia lebih disenangi oleh dunia apabila memilih destinasi untuk berehat dan melancong.
Penulis, SHAHARON SALLEH, bersama dua kenalan baru, pelancong dari Italy yang begitu gembira sekali kerana dapat melancong ke Pulau Tioman.
Mengapa pelancong dunia lebih senang memilih Tioman, Langkawi atau Pulau Perhentian untuk melancong dalam ketika Sabang, sebuah pulau demikian menarik terletak di hujung utara perbatasan Indonesia, meskipun pemandangannya, perairannya dan hidupan lautnya jauh lebih indah, tersangat menawan?

Tioman memiliki hidupan laut yang demikian mempesonakan, jenis penginapan berbagai ragam dengan lokasi terpencil dan tersendiri guna memenuhi citarasa pengunjung semua peringkat – yang berada atau yang kurang berada.

Kemudahan perhubungan laut, darat dan udara dihadirkan demikian lengkap di Tioman. Ini memudahkan setiap pengunjung membuat pilihan untuk melakukan aktibiti setiap hari apabila berada di Pulau Tioman.
Snorkling, berenang bersama ikan-ikan pelbagai jenis dan berwarna-warni di perairan dengan air jernih berkaca, menjadi tarikan utama pelancong ke Pulau Tioman.

Dan suatu hal penting yang menarik pelancong untuk terus bertandang ke Tioman ialah kerana hampir setiap penduduk, pemastautin, pekerja dan jentera pelancongan di pulau ini amat mesra dengan pelancong.

Hampir setiap penduduk asal Tioman yang berkhidmat di sektor pelancongan di sini, juga tenaga-tenaga dari luar, dilihat senang sekali melayani pelancong untuk pelbagai hal dan masalah.

Pelancong tempatan gembira kerana untuk seketika mendapat peluang mengemudi sebuah bot laju.


Jika 30 atau 40 tahun sebelum ini masyarakat Tioman agak kekok bertemu dan berkomunikasi dengan pelancong luar, kini tidak lagi.

Segalanya berubah. Penduduk asal Tioman kini sudah terlalu biasa berbicara dengan pengunjung dari Eropah, Jepun, China atau Korea. Mereka kini lancar menggunakan bahasa Inggeris atau satu dua bahasa lain bila berdepan dengan pelancong antarabangsa.

Tioman hari ini bukan lagi sebuah pulau yang cuma dipenuhi kaum nelayan. Kehidupan penduduk kaum nelayan di sini sekarang cuma tinggal dalam kenangan sahaja. Ia sudah lama dikuburkan.
Pandangan yang demikian mempesonakan di Marina Tioman.
Hampir seluruhnya masyarakat pulau ini kini sudah mengubah penghidupan mereka kepada sektor pelancongan. Setiap keluarga di Tioman hari ini menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pelancong lantaran rezeki yang melimpah ruah mudah mereka raih
melalui hasil pelancongan.

Pantai di Pulau Tulai, tidak jauh dari Tioman, menjadi tarikan utama pelancong untuk kegiatan snorkling - menyaksikan keindahan alam laut di sini yang demkkian menawan.

Meski jerebu tebal menyelimuti Tioman dan pulau-pulau lain sekitarnya sejak tiga hari lalu, namun aktibiti pelancongan di sini tetap hidup, bergerak, membolehkan penduduk Tioman melayan pengunjung dunia yang tidak pernah jemu bertandang ke sini sepanjang tahun.
Read more ...

Thursday, June 20, 2013

TIOMAN: JEREBU BERSANTAI DI SINI


PELANCONG KELAMKABUT 
HADAPI JEREBU TEBAL
LANGIT menyatu dengan laut, sang matahari meratap hiba dan alam terdiam penuh berdukacita apabila jerebu demikian buruk menyelimuti seluruh Pulau Tioman selama 60 jam mulai senja Isnin kelmarin.

Keadaan serbenar jerebu yang melanda Tioman dan pulau-pulau lain sekitarnya pagi Rabu 19 Jun 2013. Matahari pagi bertukar warna akibat jerebu tebal.  

Tioman, sebuah pulau syurga yang memiliki seluruh keistimewaan tersendiri di tengah lautan lepas, bukan sahaja menarik kedatangan ratusan ribu pengunjung setiap tahun, malah ia turut menarik jerebu tebal untuk berhimpun dan bersantai di sini.

Apabila keluar ke anjung santai selepas menunaikan solat Subuh awal pagi Selasa kelmarin saya terperanjat melihat langit dan laut yang terbentang luas di depan kelam di selimuti jerebu tebal.

Pelancong yang sedang berurusan di kaunter jualan tiket di jeti Pekan Tekek untuk menaiki feri menuju ke Mersing.   
Dari anjung kondominium atas bukit itu saya lihat permuakaan air berubah menjadi amat kelam. Wajah laut bertukar sedih, suram dan muram. Anak-anak ombak kecil memukul lesu pantai jauh di bawah sana. Angin samudra masih membungkam, berehat dan tidak mahu berlari seperti lazimnya.


Tioman di selimuti jerebu amat tebal pagi ini. Saya mencari kaki langit yang biasanya bertapak di hujung air. Namun dalam pemandangan cuma dua tiga kilometer di depan kaki langit dan hujung air tidak kelihatan.

Marina paling indah di Tekek, sebuah pekan utama yang menggerakkan aktibiti pelancongan di Pulau Tioman. Marina ini dulu dibina hasil kesungguhan pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mahu menjadikan Tioman sebagai salah sebuah tarikan dunia.

Langit dan laut di depan, di seluruh persekitaran Pulau Tioman pagi ini sudah bersatu di bawah kelambu jerebu tebal. Suatu fenomina alam yang sangat luar biasa. Agak membimbangkan.

Jerebu di sini bersantai bersama bau asap yang kuat. Sebahagian penduduk dan lebih sepuluh ribu pelancong yang berada di Tioman pagi ini di serang batuk.




Jerebu bersantai di seluruh alam Tioman pagi Rabu.  

Landasan terbang tunggal di belakang Pekan Tekek di pulau ini terpaksa ditutup sepenuhnya Isnin, Selasa dan Rabu oleh jerebu tebal. Dua penerbangan pesawat kecil dari Subang dan satu dari Singapura terpaksa dibatalkan.

Aduuhhh..... lebih seratus penumpang tergendala, tak dapat datang ke Tioman untuk bercuti dan bersantai.

Namun lebih parah lagi apabila beratus pelancong lain dari KL dan Singapura menghdapai keadaan kelamkabut kerana tak dapat keluar dari Tioman oleh jerebu yang amat parah.

Foto dari dalam feri dalam perjalanan pulang ke Mersing. Pulau Tioman nampak kabur akibat jerebu buruk yang menyelimuti seluruh pulaunya. Jerebu juga telah mengakibatkan kesemua tiga penerbangan masuk dan keluar dari Tioman dibatalkan selama tiga hari sejak Isnin 17 Jun. 2013.  

Pelancong-pelancong yang datang dengan pesawat ini terpaksa juga meninggalkan Tioman, tetapi terpaksa menaiki feri untuk perjalanan dua jam menuju ke Mersing.


Satu keluarga 12 pelancong dari Punggol, Singapura, agak pusing kepala terpaksa menyediakan belanja lebih untuk kos feri dan sewa teksi dari Mersing menuju ke Johor Bharu sebelum seterusnya pulang ke Singapura.

Foto satu lokasi menarik di Tioman pada pagi Isnin apabila jerebu mula berkumpul di Pulau Tioman. 

Dan dalam suasana manusia yang kelamkabut untuk keluar dari Tioman, pengusaha-pengusaha feri terpaksa memuatkan lebih ramai penumpang dari had yang dibenarkan.

Pengunjung-pengunjung dalam dan luar negeri terus juga melakukan aktibiti masing-masing di Tioman meski jerebu terus bersantai di pulau ini.

Kampung-kampung sekitar Tekik, Air Batang, Salang, Genting, Paya dan Juara menjadi lokasi utama dikunjungi pelancong. Bot-bot pengusaha pelancongan lokal terus membawa pengunjung ke sekeliling pulau untuk kegiatan ‘snorkling’ – mandi dan benerang bersama jutaan ikan-ikan cantik pelbagai rupa yang menghiasi perairan Tioman.

Atau menyaksikan sendiri keindahan hidupan karang yang memang indah mestipun di pantai-pantai yang tohor.
Read more ...
Designed By