Breaking News

Monday, December 21, 2009

GUNUNG GALUNGGUNG: RAMAI PENGSAN MENDAKI PUNCAKNYA

Warong Kopi di puncak tebing kawah gunung berapi GALUNGGUNG
SETELAH satu jam duduk di belakang motosikal yang dipandu Mulyana, teman baru dari Tasekmalaya, akhirnya kami tiba di pelantar terakhir Galunggung. Tidak ada ruang jalan lagi di depan.

Yang ada di depan dan sekeliling pelantar terakhir di sini cuma hutan tebal dengan pokok-pokok yang sederhana besar, juga gunung-ganang yang luas terbentang.

Semua tumbuhan hidup subur dan menghijau di sini. Barisan pokok-pokok pakis berbatang besar nampak terlalu menarik di awal pagi itu dengan persekitaran Gunung Galunggung masih diselimuti kabus tebal.

Punggung yang melecet kepanasan dan hampir kebas kerana perjalanan bermotosikal yang sangat mencabar tadi, kini sertamerta pulih. Sakit dan kebasnya tak terasa lagi sebaik menikmati pemandangan sekitar yang memang mengasyikkan.

FOTO: Puncak tebing kawah gunung berapi Galunggung.

Suasana sekeliling terasa sunyi lantaran ketibaan kami yang demikian awal pagi ini. Cuma dua sahaja dari deretan berbelas gerai makan dan minuman di pelantar utama Galunggung ini yang sudah dibuka. Yang lain, peniaganya belum tiba lagi.

Kami memandang ke atas, ke arah tebing gunung yang tinggi, puncak di mana terletaknya kawah gunung berapi Galunggung.

Wowww.... tingginya bukan kepalang. Puncak Galunggung jam 8 pagi itu masih di selimuti kabus.

Misi adventure saya ke Tasekmalaya mesti diteruskan. Dan puncak Gunung Galunggung harus saya daki meskipun ia terlalu tinggi, setinggi 2,167 meter dari paras laut.

Papan tanda di bawah tertulis maklumat adanya 620 anak mata tangga, atau kira-kira 173 meter tinggi, yang mesti didaki untuk seorang pendaki sampai di puncak Galunggung bagi membolehkan mereka melihat sendiri kawah gunung berapi Galunggung yang tersohor itu.

Cabaran mendaki puncak Galuunggung sememangnya getir. Urat-urat betis dan peha terasa kejang meski belumpun separuh dari anak-anak tangga ini kami daki. Terpaksa ambil nafas, berhenti rehat empat kali dengan 10 minit satu rehat, sebelum kami sampai ke puncaknya.

FOTO: Mulyana, pemuda Sunda penuh berbudi, tercungap-cungap ketika mendaki 620 anak mata tangga.

Itupun, ketika di tengah-tengah tadi nyawa bagaikan rasa nak putus, nafas sesak dan dada terasa semakin terhimpit.

“Memang Pak, banyak pelancong yang pengsan bila tiba di puncak Galunggung,” sahut Mulyadi, salah seorang dari dua peniaga yang telah membuka warungnya di puncak Gunung Galunggung pagi itu. Tidak kurang dari sepuluh warung tanpa atap dibina di puncak gunung berapi ini.

“Kalau nggak benar-benar sehat dan kuat jangan cuba-cuba mahu mendaki puncak ini. Gawat nanti jadinya,” sambung peniaga berusia 60 tahun itu.

Kami berehat seketika sambil minum kopi panas yang disediakan Mulyadi sebelum menelusuri alam persekitaran Gunung galunggung. Puncak Galunggung memang dingin. Dan sang matahari belum lagi mampu menembusi kabus tebal yang menyelimuti gunung itu.

Saya menghela nafas panjang, menyedut udara Galunggung yang amat bersih dan nyaman dengan persekitarannya yang bebas dari sebarang cemaran. Terasa lega. Segar. Gumpalan kabus tebal menampar muka kami dengat lembut, agaknya menyapa kedatangan pengembara asing ini.

Suasana sekeliling hening dan sepi. Beberapa ekor burung layang-layang terbang rendah di puncak benteng kawah gunung berapi Galunggung. Pandangan sekeliling puncak Galunggung memang mengasyikkan. Kota Tasekmalaya tenggelam jauh dalam kabus tebal di hujung kaki gunung keramat ini.

Kami melihat ke bawah ke arah kawah besar jauh 200 meter ke bawah, pusat di mana gunung berapi Galunggung meledak, memuntahkan lahar dan debu tebal dalam peristiwa pagi 5 April 1982.

Di dalam kawah ini, yang seluas enam padang bolasepak, terbentuk satu tasik kecil dengan dua bukit kecil yang terbentuk akibat ledakan gunung berapi,serta sebahagian besar lain menjadi dataran dipenuhi dengan tumbuhan liar.

“Barangkali inilah sebenarnya yang dinamakan Tasekmalaya,” sebut hati saya mengingat bahawa penempatan luas ‘Tasekmalaya’ itu sehingga 1982 dulu tidak punya sebuah tasek pun, kecuali kawasan lembah yang terkenal sebagai jelapang padi utama masyarakat Sunda.

FOTO: Dalam tempoh lebih 25 tahun menjadi peniaga di puncak kawah Gunung Galunggung MULYADI pernah menyelamatkan ramai pelancong yang jatuh pengsan akibat mendaki puncak gunung ini.

Seluruh permukaan bumi Gunung Galunggung dipenuhi dengan pasir gunung berapi dan batu-batuan kecil yang trebentuk dari lahar yang dimuntahkan oleh ledakan 27 tahun dulu. Semua bahan pepejal dan pasir ini sekali ganda lebih ringan dan jauh lebih kukuh dari pepejal dan pasir biasa. Dan secara kasarnya ia lebih merupakan belerang dan emas hitam yang sangat bernilai.

Mulyadi dan rakan-rakan peniaga lainnya akan tetap setia menunggu dan bertunggu di puncak Galunggung untuk tahun-tahun yang akandatang meskipun pendapatan dari perniagaannya di puncak kawah gunung berapi ini sama sekali jauh dari memberansangkan.

“Kalau tidak ada kami di sini, maka tidak ada siapa yang akan membantu orang-orang yang pengsan kerana kecapekan mendaki puncak tinggi Galunggung,” ujar Mulyadi.

No comments:

Designed By