Kawah gunung berapi GALUNGGUNG
KEDINGINAN begitu terasa jam 7.00 pagi itu ketika motosikal yang kami naiki mula memasuki jalan-jalan kampung menuju ke Gunung Galunggung.
Meski jarak gunung berapi itu cuma 17 kilometer jauhnya dari kota Tasekmalaya, namun perjalanan dan pendakian kami memakan masa tidak kurang satu jam. Kami terpaksa meredah muka jalan berbatu-batu pejal muntahan Galunggung, berlopak dan becak di sana sini serta penuh dengan debu akibat kehadiran pelabagai kenderaan kecil dan besar yang mengangkut keluar hasil bahan batuan dari persekitaran gunung keramat ini.
FOTO: Rumah-rumah kedai membarisi kanan jalan tanpa turap di kaki Gunung Galunggung.
Barisan kanak-kanak yang berjalan kaki menuju ke sekolah pagi itu terpaksa menutup mulut dan hidung mereka apabila kenderaan besar muncul mengepuk dan menerbangkan debu tebal di permukaan jalan meskipun suasana sekeliling masih lembab dan desa-desa di bawah payung Gunung Galunggung masih diseliputi kabus awal pagi ini.
Seramai 68 orang terbunuh apabila kawah gunung berapi Galunggung meledak pagi 5 April 1982. Ledakaan gergasi Galunggung pagi itu memuntahkan lahar dingin dan debu belerang hangat menyelubungi ruang udara pergunungan itu serta seluruh penempatan Tasekmalaya. Kehangatan debu halus bercampur gas itu telah menyebabkan berlaku ledakan halalintar dan petir menggegar bumi Galunggung.
Kawah Gunung Galunggung terus marak menggegar, memuntahkan lahar dan debunya untuk selama sembilan bulan – fenoma paling luar biasa bagi sebuah gunung berapi yang kebiasaannya aktif untuk tempoh tiga atau empat hari sahaja.
Debu muntahan Galunggung membentuk awal tebal menutup seluruh angkasa persekitarannya dan Tasekmalaya untuk tempoh paling panjang itu. Dan ketika itu Tasekmalaya berada dalam kegelapan selama sembilan bulan. Siang sepertikan malam. Bahawa cahaya matahari tidak dapat menembusi debu tebal yang memenuhi langit persekitaran Gunung Galunggung dan Tasekmalaya.
FOTO: Anak kecil ini, yang tadinya menangis, kehairanan melihat kemunculan seorang pengembara luar yang tiba-tiba muncul pagi itu di depan pintu rumah keluarganya di sebuah desa 2 kilometer dari puncak Gunung Galunggung.
FOTO: Sekelompok kecil rumah-rumah penduduk di desa lembangan Galunggung. Kolam berukuran sederhana di depannya diisi dengan pelbagai jenis ikan yang diternak untuk keperluan keluarga.
Pada tempoh yang sama, 22 buah kampung di kaki Gunung Galunggung ditinggal kosong tanpa penghuni untuk lebih satu tahun akibat lahar yang membanjiri semua dataran dan kawasan rendah di kampung mereka, manakala sawah-sawah padinya pula ditutup debu gunung berapi yang tebal.
Letusan dan muntahan lahar gunung berapi Galunggung telah mengakibatkan kerugian tinggi tidak ternilai yang terpaksa ditanggung dan ditangisi oleh petani-petani di bawahnya, serta oleh seluruh penduduk Tasekmalaya sendiri. Namun sebaliknya, ledakan paling bersejarah yang dicipta oleh Galunggung 27 tahun itu dulu, membawa keuntungan besar kepada Jakarta.
Bahan pepejal, batuan dan pasir yang dimuntahkan oleh Galunggung adalah bahan terbaik dan paling utama boleh digunakan untuk kerja-kerja pembinaan gedung-gedung besar dan kecil serta juga bagi pembinaan jalanraya.
Pihak pemerintah Indonesia telah bertindak membina landasan keretapi dari Tasekmalaya pada 1984 khusus untuk membolehkan ‘emas hitam’ yang amat berharga ini terus menerus diangkut keluar dari Galunggung bagi keperluan pembinaan dan pembangunan Jakarta, kota metropolitan yang jaraknya cuma 380 kilometer dari Tasekmalaya.
FOTO: Hampir semuanya dilakukan secara manual dalam kerja-kerja baikpulih jalan di kesemua 22 buah desa di kaki Gunung Galunggung.
Kegiatan mengangkut keluar bahan pepejal, batu dan pasir dari Gunung Galunggung dan lembahananya kini terus hidup dan akan bernafas sehingga dua atau tiga puluh tahun lagi, sehingga setiap biji bahan pepejal muntahan gunung berapi ini dikikis seluruhnya.
Namun bagi kaum petani dan kanak-kanak di kaki Gunung Galunggung akan terus menyedut debu-debu tebal dan berterbangan serta terpaksa menggunakan jalan berlopak tanpa diturap untuk sepuluh atau 20 tahun akan datang.
Mereka, agaknya, cuma berhak menikmati jalan berdebu tanpa turap, meskipun bahan pepejal, batuan dan pasir paling berharga untuk negara dikeluarkan setiap hari, setiap pagi dan petang dari desa terpinggir ini.
No comments:
Post a Comment