Breaking News

Monday, December 21, 2009

BANDUNG: SYURGA PHOTOGRAPHER

PENGAYUH-pengayuh beca sperti ini, dengan beca yang dihias begitu rupa, akan menyambut kedatangan anda ketika melancong ke Bandung.

Tempoh tiga hari untuk berada dan melancong cuma bagi berkunjung ke sebuah kota sahaja, dikira agak terlalu lama bagi seorang pelancong. Hal ini mungkin berbeza sekiranya anda berkesempatan melancong atau bercuti ke kota Bandung.

Anda mungkin memerlukan masa lima atau enam hari untuk menyelami dan mengenali lebih dekat ibu kota ‘Tanah Sunda’ ini dan masyarakatnya kerana Bandung memiliki resam tersendiri, terlalu mesra, lembut dan berbudi, berbeza dengan kota-kota besar lain di Asia Tenggara.

Pastinya anda tidak terasa terpinggir atau diabaikan ketika berada di kota istimewa yang menyimpan banyak sejarah ini.

Sungguh, warga Bandung dan warga Sunda itu sendiri hampir keseluruhannya memang penyantun, mesra, ramah dan amat berbudi.

Bandung secara umumnya hari ini lebih dikenal sebagai ‘syurga membeli belah’ untuk pelancong kelas pertengahan dan bawahan meskipun dengan bajet yang terhad.

Ia
menyediakan kemudahan penginapan untuk semua peringkat – dari yang tinggi hinggalah kepada penginapan paling murah.

Sekiranya melancong secara berkeluarga atau dalam kelompok rombongan, anda harus meneliti lebih dulu semua aturcara lawatan dan kegiatan.

Masalahnya mungkin muncul kelak jika semua butiran ini tidak diperhatikan, kerana lazimnya pelancong-pelancong kaum Hawa lebih gemar menghabiskan masa pagi, petang dan malam cuma di pusat-pusat beli-belah yang berselerakan di sekitar Bandung.

Banyak tempat yang boleh anda kunjungi ketika berada di kota ini.

Banyak pusat pelancongan menarik yang bukan saja terdapat di kota Bandung, malah sedia menanti kunjungan ramai di persekitarannya yang cuma memerlukan perjalanan satu jam sahaja.

Kelainan dan keistimewaan kota kesayangan Belanda ini terasa ketika anda berpeluang mengunjungi pelbagai pasar istimewanya.

Pasar buku dengan berpuluh kedai dan gerai
yang menghidangkan pelbagai cetakan ‘paperback’ dan terpakai dengan harga amat rendah, pasar seninya yang terbuka dan meriah, pasar lambakan barang-barang lama, barisan kedai dan bengkel yang menyediakan ukiran kayu dan pelbagai lagi.

Dan sekiranya anda seorang kaki fotografi (photographer) dan mahu merakamkan foto manusia dalam pelbagai aksi dan gaya, maka Bandung adalah kota utama yang harus anda kunjungi.

Kota ini akan menguji sejauh mana kehebatan dan ketangkasan anda di dalam melahirkan foto-foto dinamik yang tidak mampu dirakamkan oleh orang lain.

Bandung, dengan kata lain, adalah sebuah ‘syurga’ untuk photographer seperti anda.

Demikian...... di halaman yang sempit ini kita paparkan kumpulan foto-foto menarik berhubung wajah-wajah warga Bandung yang sekaligus menjadi cermin di belakang kehidupan masyarakat kota itu sendiri.
Read more ...

GUNUNG GALUNGGUNG: RAMAI PENGSAN MENDAKI PUNCAKNYA

Warong Kopi di puncak tebing kawah gunung berapi GALUNGGUNG
SETELAH satu jam duduk di belakang motosikal yang dipandu Mulyana, teman baru dari Tasekmalaya, akhirnya kami tiba di pelantar terakhir Galunggung. Tidak ada ruang jalan lagi di depan.

Yang ada di depan dan sekeliling pelantar terakhir di sini cuma hutan tebal dengan pokok-pokok yang sederhana besar, juga gunung-ganang yang luas terbentang.

Semua tumbuhan hidup subur dan menghijau di sini. Barisan pokok-pokok pakis berbatang besar nampak terlalu menarik di awal pagi itu dengan persekitaran Gunung Galunggung masih diselimuti kabus tebal.

Punggung yang melecet kepanasan dan hampir kebas kerana perjalanan bermotosikal yang sangat mencabar tadi, kini sertamerta pulih. Sakit dan kebasnya tak terasa lagi sebaik menikmati pemandangan sekitar yang memang mengasyikkan.

FOTO: Puncak tebing kawah gunung berapi Galunggung.

Suasana sekeliling terasa sunyi lantaran ketibaan kami yang demikian awal pagi ini. Cuma dua sahaja dari deretan berbelas gerai makan dan minuman di pelantar utama Galunggung ini yang sudah dibuka. Yang lain, peniaganya belum tiba lagi.

Kami memandang ke atas, ke arah tebing gunung yang tinggi, puncak di mana terletaknya kawah gunung berapi Galunggung.

Wowww.... tingginya bukan kepalang. Puncak Galunggung jam 8 pagi itu masih di selimuti kabus.

Misi adventure saya ke Tasekmalaya mesti diteruskan. Dan puncak Gunung Galunggung harus saya daki meskipun ia terlalu tinggi, setinggi 2,167 meter dari paras laut.

Papan tanda di bawah tertulis maklumat adanya 620 anak mata tangga, atau kira-kira 173 meter tinggi, yang mesti didaki untuk seorang pendaki sampai di puncak Galunggung bagi membolehkan mereka melihat sendiri kawah gunung berapi Galunggung yang tersohor itu.

Cabaran mendaki puncak Galuunggung sememangnya getir. Urat-urat betis dan peha terasa kejang meski belumpun separuh dari anak-anak tangga ini kami daki. Terpaksa ambil nafas, berhenti rehat empat kali dengan 10 minit satu rehat, sebelum kami sampai ke puncaknya.

FOTO: Mulyana, pemuda Sunda penuh berbudi, tercungap-cungap ketika mendaki 620 anak mata tangga.

Itupun, ketika di tengah-tengah tadi nyawa bagaikan rasa nak putus, nafas sesak dan dada terasa semakin terhimpit.

“Memang Pak, banyak pelancong yang pengsan bila tiba di puncak Galunggung,” sahut Mulyadi, salah seorang dari dua peniaga yang telah membuka warungnya di puncak Gunung Galunggung pagi itu. Tidak kurang dari sepuluh warung tanpa atap dibina di puncak gunung berapi ini.

“Kalau nggak benar-benar sehat dan kuat jangan cuba-cuba mahu mendaki puncak ini. Gawat nanti jadinya,” sambung peniaga berusia 60 tahun itu.

Kami berehat seketika sambil minum kopi panas yang disediakan Mulyadi sebelum menelusuri alam persekitaran Gunung galunggung. Puncak Galunggung memang dingin. Dan sang matahari belum lagi mampu menembusi kabus tebal yang menyelimuti gunung itu.

Saya menghela nafas panjang, menyedut udara Galunggung yang amat bersih dan nyaman dengan persekitarannya yang bebas dari sebarang cemaran. Terasa lega. Segar. Gumpalan kabus tebal menampar muka kami dengat lembut, agaknya menyapa kedatangan pengembara asing ini.

Suasana sekeliling hening dan sepi. Beberapa ekor burung layang-layang terbang rendah di puncak benteng kawah gunung berapi Galunggung. Pandangan sekeliling puncak Galunggung memang mengasyikkan. Kota Tasekmalaya tenggelam jauh dalam kabus tebal di hujung kaki gunung keramat ini.

Kami melihat ke bawah ke arah kawah besar jauh 200 meter ke bawah, pusat di mana gunung berapi Galunggung meledak, memuntahkan lahar dan debu tebal dalam peristiwa pagi 5 April 1982.

Di dalam kawah ini, yang seluas enam padang bolasepak, terbentuk satu tasik kecil dengan dua bukit kecil yang terbentuk akibat ledakan gunung berapi,serta sebahagian besar lain menjadi dataran dipenuhi dengan tumbuhan liar.

“Barangkali inilah sebenarnya yang dinamakan Tasekmalaya,” sebut hati saya mengingat bahawa penempatan luas ‘Tasekmalaya’ itu sehingga 1982 dulu tidak punya sebuah tasek pun, kecuali kawasan lembah yang terkenal sebagai jelapang padi utama masyarakat Sunda.

FOTO: Dalam tempoh lebih 25 tahun menjadi peniaga di puncak kawah Gunung Galunggung MULYADI pernah menyelamatkan ramai pelancong yang jatuh pengsan akibat mendaki puncak gunung ini.

Seluruh permukaan bumi Gunung Galunggung dipenuhi dengan pasir gunung berapi dan batu-batuan kecil yang trebentuk dari lahar yang dimuntahkan oleh ledakan 27 tahun dulu. Semua bahan pepejal dan pasir ini sekali ganda lebih ringan dan jauh lebih kukuh dari pepejal dan pasir biasa. Dan secara kasarnya ia lebih merupakan belerang dan emas hitam yang sangat bernilai.

Mulyadi dan rakan-rakan peniaga lainnya akan tetap setia menunggu dan bertunggu di puncak Galunggung untuk tahun-tahun yang akandatang meskipun pendapatan dari perniagaannya di puncak kawah gunung berapi ini sama sekali jauh dari memberansangkan.

“Kalau tidak ada kami di sini, maka tidak ada siapa yang akan membantu orang-orang yang pengsan kerana kecapekan mendaki puncak tinggi Galunggung,” ujar Mulyadi.
Read more ...

Friday, December 18, 2009

EMAS HITAM MENGALIR DARI BAWAH KAWAH GUNUNG GALUNGGUNG

Kawah gunung berapi GALUNGGUNG

KEDINGINAN begitu terasa jam 7.00 pagi itu ketika motosikal yang kami naiki mula memasuki jalan-jalan kampung menuju ke Gunung Galunggung.

Meski jarak gunung berapi itu cuma 17 kilometer jauhnya dari kota Tasekmalaya, namun perjalanan dan pendakian kami memakan masa tidak kurang satu jam. Kami terpaksa meredah muka jalan berbatu-batu pejal muntahan Galunggung, berlopak dan becak di sana sini serta penuh dengan debu akibat kehadiran pelabagai kenderaan kecil dan besar yang mengangkut keluar hasil bahan batuan dari persekitaran gunung keramat ini.


FOTO: Rumah-rumah kedai membarisi kanan jalan tanpa turap di kaki Gunung Galunggung.

Barisan kanak-kanak yang berjalan kaki menuju ke sekolah pagi itu terpaksa menutup mulut dan hidung mereka apabila kenderaan besar muncul mengepuk dan menerbangkan debu tebal di permukaan jalan meskipun suasana sekeliling masih lembab dan desa-desa di bawah payung Gunung Galunggung masih diseliputi kabus awal pagi ini.

Seramai 68 orang terbunuh apabila kawah gunung berapi Galunggung meledak pagi 5 April 1982. Ledakaan gergasi Galunggung pagi itu memuntahkan lahar dingin dan debu belerang hangat menyelubungi ruang udara pergunungan itu serta seluruh penempatan Tasekmalaya. Kehangatan debu halus bercampur gas itu telah meny
ebabkan berlaku ledakan halalintar dan petir menggegar bumi Galunggung.

Kawah Gunung Galunggung terus marak menggegar, memuntahkan lahar dan debunya untuk selama sembilan bulan – fenoma paling luar biasa bagi sebuah gunung berapi yang kebiasaannya aktif untuk tempoh tiga atau empat hari sahaja.

Debu muntahan Galunggung membentuk awal tebal menutup seluruh angkasa persekitarannya dan Tasekmalaya untuk tempoh paling panjang itu. Dan ketika itu Tasekmalaya berada dalam kegelapan selama sembilan bulan. Siang sepertikan malam. Bahawa cahaya matahari tidak dapat menembusi debu tebal yang memenuhi langit pe
rsekitaran Gunung Galunggung dan Tasekmalaya.


FOTO: Anak kecil ini, yang tadinya menangis, kehairanan melihat kemunculan seorang pengembara luar yang tiba-tiba muncul pagi itu di depan pintu rumah keluarganya di sebuah desa 2 kilometer dari puncak Gunung Galunggung.


FOTO: Sekelompok kecil rumah-rumah penduduk di desa lembangan Galunggung. Kolam berukuran sederhana di depannya diisi dengan pelbagai jenis ikan yang diternak untuk keperluan keluarga.

Pada tempoh yang sama, 22 buah kampung di k
aki Gunung Galunggung ditinggal kosong tanpa penghuni untuk lebih satu tahun akibat lahar yang membanjiri semua dataran dan kawasan rendah di kampung mereka, manakala sawah-sawah padinya pula ditutup debu gunung berapi yang tebal.

Letusan dan muntahan lahar gunung berapi Galunggun
g telah mengakibatkan kerugian tinggi tidak ternilai yang terpaksa ditanggung dan ditangisi oleh petani-petani di bawahnya, serta oleh seluruh penduduk Tasekmalaya sendiri. Namun sebaliknya, ledakan paling bersejarah yang dicipta oleh Galunggung 27 tahun itu dulu, membawa keuntungan besar kepada Jakarta.

Bahan pepejal, batuan dan pasir yang dimuntahkan oleh Galunggung adalah bahan terbaik dan paling utama boleh digunakan untuk kerja-kerja pembinaan gedung-gedung besar dan kecil serta juga bagi pembinaan jalanraya.

Pihak pemerintah Indonesia telah bertindak membina landasan keretapi dari Tasekmalaya pada 1984 khusus untuk membolehkan ‘emas hitam’ yang amat berharga ini terus menerus diangkut keluar dari Galunggung bagi keperluan pembinaan dan pembangunan Jakarta, kota metropolitan yang jaraknya cuma 380 kilometer d
ari Tasekmalaya.


FOTO: Hampir semuanya dilakukan secara manual dalam kerja-kerja baikpulih jalan di kesemua 22 buah desa di kaki Gunung Galunggung.

Kegiatan mengangkut keluar bahan pepejal, batu dan pasir dari Gunung Galunggung dan lembahananya kini terus hidup dan akan bernafas sehingga dua atau tiga puluh tahun lagi, sehingga setiap biji bahan pepejal muntahan gunung berapi ini dikikis seluruhnya.

Namun bagi kaum petani dan kanak-kanak di kaki Gunung Galunggung akan terus menyedut debu-debu tebal dan berterbangan serta terpaksa menggunakan jalan berlopak tanpa diturap untuk sepuluh atau 20 tahun akan datang.

Mereka, agaknya, cuma berhak menikmati jalan berdebu tanpa turap, meskipun bahan pepejal, batuan dan pasir paling berharga untuk negara dikelua
rkan setiap hari, setiap pagi dan petang dari desa terpinggir ini.
Read more ...

KEMBARA KE TANAH SUNDA

Panggilan namanya yang demikian istimewa terus mendorong mulut saya untuk terus berkata “Ya!” apabila dipelawa oleh seorang kenalan baru untuk mengikutinya berkunjung ke Tasekmalaya buat sehari dua.

Jadual kunjungan ke kawah gunung berapi Tangkuban Perahu pagi esok, yang dirancang awal oleh keluarga kami dalam percutian di Bandung, Indonesia, minggu pertama Disember ini, memang tidak terlintas dihati. Mungkin ia sudah terlalu ‘commercial’, atau dongeng Si Tanggang sebagai tidak benar-benar memikat bagi seorang pengembara tegar.

“Bapak harus duduk di depan untuk lihat sendiri kampung-kampung sepanjang perjalanan kita ke Tasekmalaya,” ujar Mulyana, lelaki Sunda yang menjadi kenalan baru ini, ketika kami menaiki bas ekspres dari Kota Bandung tengahari itu.

Jawa Barat, wilayah besar di Pulau Jawa yang hampir seluruh penduduknya dipenuhi masyarakat Sunda sejak hampir seribu tahun dulu, memang terlalu menarik.

FOTO: Di antara bentuk rumah penduduk di persekitaran laluan ke Tasekmalaya.

Kami lalui bandar-bandar kecil dan pekan-pekan tradisional. Sempat melihat kesungguhan masyarakat penjaja luarbandar Indonesia yang serba tradisi, gigih menjaja dan berniaga dengan apa cara jua untuk mencari sesuap dua nasi buat mengalas perut keluarga lantaran kekayan hasil bumi negara bukan untuk warga-warga kecil seperti mereka.

Laluilah jalan-jalan ini, dan anda akan melihat pelbagai rupa penjaja yang menggandar barang jualan, berkereta sorong, berkereta tolak, menjunjung dagangan di atas kepala, peniaga dengan tong atau kotak bergalas di bahu, atau apa saja. Mereka tidak pernah mengenal erti susah atau penat. Rezeki mesti mereka cari walau terpaksa menempuh situasai yang rumit dan memilukan.

Tanah Sunda, di sepanjang perjalanan ke Tasekmalaya, kaya dengan sawah padi yang terbentang luas. Hampir setiap inci bumi mereka diisi dengan padi, atau lain-lain tanaman yang hijau dan penuh subur – mencerminkan kesungguhan petani-petani ini memanfaatkan bumi yang dianugerahkan kepada mereka.

FOTO: Lelaki penjaja tradisional ini masih mampu mengukir senyum, dengan menggandar barangan dagangannya di atas bahu, walau terpaksa berhadapan dengan kehidupan begitu sempit.
Rumah-rumah petani dengan dinding anyaman buluh masih boleh dilihat hampir di setiap desa Sunda, di celah-celah rumah petani lain yang hampir kesemuanya dibina dengan saiz yang amat sederhana.

Dan yang paling menariknya hampir setiap buah rumah di daerah pedalaman Sunda akan memiliki sebuah kolam ikannya sendiri, samada ada kecil, sederhana atau besar. Ikan talapia, haruan, keli, koi, ikan emas dan beberapa yang lain akan diternak di dalam kolam ini untuk membekalkan keperluan ‘protein’ sesisi keluarga sepanjang tahun.

Tasekmalaya tampak tenang, tapi bercahaya, ketika bas kami memasuki kotanya jam 7.00 malamnya.

Mulyana, pemuda Sunda berusia 38 tahun dan bapa kepada empat orang anak, memperlihatkan wajah gembiranya ketika mempersilakan saya masuk ke dalam rumahnya di pinggir kota Tasekmalaya malam itu. Dan seperti masyarakat Melayu di gugusan pulau-pulau Melayu lainnya, kaum Sunda ternyata memiliki peradaban dan resam yang amat terpuji.

FOTO: Pemuda ini cuba menghiburkan penumpang (sambil mengintai ikhsan umum barang seribu dua Rupiah) apabila bas kami berhenti seketika di sebuah pekan kecil dalam perjalanan ke Tasekmalaya.


Esok kami akan mendaki kemuncak Gunung Galunggung, terletak 17 kilometer dari kota Tasekmalaya. Galunggung pernah menggegar dunia 27 tahun dulu apabila gunung berapi di bawah perut buminya meletus dan terus menerus memuntahkan lahar selama sembilan bulan.

Letusan Galunggung, dalam kejadian yang sukar dilupakan dunia itu, mengeluarkan debu belerang memenuhi udara Pulau Jawa sehingga ke sebahagian Australia, mencecah ketinggian 15 kilometer.
Read more ...
Designed By